SEJAK dua minggu lalu, ramai juga kawan Cik Normah yang bercerita mengenai filem Syurga Cinta arahan Ahmad Idham. Kata mereka, sudah lama juga mereka tidak menonton filem cinta yang sedemikian. Rata-rata, mereka menggemari hasil arahan Idham berkenaan.
Khabarnya, sejak ditayangkan pada 21 Mei lalu, filem lakonan Awal Ashaari, Heliza, Adik Haziq, Shaheizy Sam dan ramai lagi itu mendapat pungutan yang agak baik.
Sehingga Rabu lalu, filem komedi cinta berunsurkan keislaman itu sudah pun memungut RM2.2 juta. Tidak mengecewakan bagi sebuah filem yang menampilkan muka baru, serta dibuat dalam genre berkenaan.
Pada 4 Jun lalu, sebuah lagi filem keluaran Metrowealth Movies Production, Jangan Pandang Belakang Congkak lakonan Cat Farish, Lan Pet Pet, Shaheizy Sam dan Lisa Surihani mula menemui penonton di pawagam. Sebagaimana Syurga Cinta, filem seram komedi ini juga diarahkan oleh Idham.
Wah! nampaknya filem terbitan David Teo silih berganti memasuki panggung. Sebelum ini, filem seram arahan Pierre Andre, Jangan Tegur, turut mendapat perhatian penonton.
Tetapi, selepas Jangan Pandang Belakang Congkak, filem keluaran Metrowealth nampaknya berehat sekejap daripada tayangan. Filem keluaran David yang akan memasuki pawagam seterusnya ialah Senario The Movie Episode 2: Beach Boys, filem ke-32 daripada syarikat terbabit. Filem ini dijangka menemui peminat pada musim Aidilfitri nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: