PADA tahun lalu, seorang pengarah yang boleh dikira masih rebung menghasilkan sebuah filem yang boleh dikira menyengat juga walaupun kurang mendapat sambutan apabila ditayangkan di pawagam. Sejak itu, namanya agak meletup jugalah. Semangatnya hendak membuat filem pun terus bertambah-tambah.
Masalahnya, apabila filem keduanya ditayangkan kepada rakan media, ramai yang bersungut kerana ia tidak sebaik yang digembar-gemburkan. Kira teruk jugalah, kata seorang teman Cik Normah. Lepas itu, seorang lagi rakan berkesempatan menonton filem seterusnya oleh pengarah ini. Dia pun berpendapat, hasilnya tidaklah seberapa.
Masing-masing berasakan, lebih baik jika pengarah tadi mengasah bakat pengarahan dan penghasilan filem di televisyen terlebih dulu. Bukan saja bajet lebih kecil boleh digunakan untuk menghasilkan telefilem, malah jumlah penontonnya juga mungkin jauh lebih besar berbanding penonton yang ke panggung untuk menonton filem pertamanya dulu.
Tapi, bagaimana pula filem pertamanya boleh dikira menjadi? Ha, kata seorang rakan lain, filem itu sebenarnya dirujuk dulu kepada orang lama dalam dunia filem sebelum disunting dan ditayangkan kepada umum. Sebab itulah perjalanan ceritanya nampak cantik. Bagi filem kedua dan ketiganya, dengar cerita, dia langsung tidak merujuk kepada ‘pakar’ yang sama. Jadi, hasilnya tidaklah seberapa.
Lagi satu, Cik Normah sendiri perasan, produksi yang menerbitkan filemnya bukanlah besar sangat. Mereka tidak ada peruntukan yang banyak. Penggambaran pun diadakan dalam keadaan tergesa-gesa saja sebab nak jimatkan belanja. Sebab itulah ramai yang mencadangkan, pembikin filem ini hasilkan dulu produk untuk televisyen.
Dengar khabar juga, pengarah dan penerbit filemnya agak kuat berangan. Tak tahulah betul ke tidak? Tetapi daripada cara mereka bercakap, seolah-olah filem mereka memang bermutu tinggi dan layak dipertandingkan pada festival antarabangsa. Tak apalah, kita tengoklah nanti bagaimana kesudahannya.
Cik Normah hanya mendoakan yang terbaik buat mereka. Tetapi, kata orang tua-tua, sebelum berlari, biarlah kita berjalan merangkak dan berjalan dulu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: