NAMPAKNYA mungkin tahun ini akan menjadi tahun pertaruhan sulung aktres muda, Diana Danielle untuk ke pentas teater. Cik Normah dapat tahu biarpun ramai pelakon remaja berdarah campuran di Malaysia, anak kesayangan Norsiah Ramli itu dikatakan menjadi pilihan utama untuk memegang watak penting dalam sebuah teater yang bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB).
Cik Normah dapat cerita ini pun menerusi kawan sepejabat yang sempat melepak dengan ‘orang kuat’ pentas berprestij itu, baru-baru ini selepas menonton pementasan teater Mana Setangginya.
Teater itu diberi judul Natrah dan Diana dikatakan calon paling cocok membawakan watak utama. Malahan pelakon yang baru saja tamat sesi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dikatakan menjadi pilihan pertama kerana Diana dikatakan rajin dan bersungguh-sungguh terhadap dunia lakonan.
Amboi tinggi melambung pujian ‘orang kuat’ IB itu. Kalau ikut perancangan sesi latihan teater itu dijangka bermula pada November nanti. Memang nampak macam jauh lagi nak sampai ke bulan itu, tapi masa sekarang bergerak cepat saja. Pejam celik, alih-alih sudah sampai hujung tahun.
Kalau semuanya berjalan dengan lancar, Cik Normah nak jadi orang pertama mengucapkan tahniah kepada Diana kerana dipilih menjadi antara pelakon teater ini. Teater yang sama versi Inggeris pernah dipentaskan sebelum ini. Ia berkisarkan kisah benar sejak zaman British lagi membabitkan Malaysia dan Belanda.
Selain Diana, beberapa pelakon lain dicalonkan untuk berlakon dalam teater ini seperti Umie Aida dan Fizz Fairuz. Tapi baru calon saja, belum pasti lagi mereka akan muncul. Semuanya hanya sekadar cakap kosong tanpa ada hitam putih. Cik Normah pun tak sabar menunggu hasilnya kelak. Khabarnya, Erma Fatima turut dirisik untuk menggalas tugas mengarahkan teater itu. Cik Normah pun ‘tabik spring’ dekat IB yang sentiasa berusaha mementaskan terapi hiburan yang terbaik untuk penggemar dunia seni termasuklah pementasan teater. Cik Normah pun teruja nak tengok persembahan Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain dalam konsert masing-masing hujung bulan ini.
Bulan depan, macam-macam persembahan menanti termasuklah pementasan The Merchants Of Bollywood. Bukan main seronok lagi Cik Normah lihat kawan sepejabat yang berpeluang menonton persembahan itu di Milan, Itali bulan lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: