AJAI dan Liza. |
BULAN ini saja, Cik Normah kerap dengar kisah suka dan duka dunia seni kita. Cuma Cik Normah minta dan tak putus berdoa semoga tahun ini kes perceraian membabitkan selebriti berkurangan.
Tapi Cik Normah percaya itu semua adalah ketentuan dari-Nya. Soal jodoh pertemuan, perpisahan, maut dan rezeki bukanlah urusan kita. Apa yang kita boleh buat ialah berusaha sebaik mungkin selepas itu berserahlah kepada-Nya.
Sebelum terlupa, Cik Normah nak ucapkan selamat berbahagia dengan teman sepejabat di meja B*Pop, Suzan Ahmad yang selamat melangsungkan hari bahagianya dengan vokalis kumpulan Jinbara, Tia. Cik Normah minta maaf banyak-banyak sebab tak dapat meluangkan masa kerana sibuk menguruskan majlis kahwin anak buah di kampung.
Baru-baru ini juga teman sepejabat Cik Normah yang membuat liputan konsert Mentor 3 yang menyaksikan penyingkiran kumpulan Evo protege kepada Jaclyn Victor memberitahu bahawa komposer Ajai mengesahkan desas- desus yang keluar di sisipan hiburan B*Pop adalah tepat sekali.
Ia mengenai perancangan Ajai dan bakal isterinya, Liza Ilias yang dijangka menamatkan zaman solo mereka sebelum tibanya Ramadan tahun ini. Kalau macam itu, tak lama lagi, bolehlah Cik Normah merasa nasi minyak mereka pula.
Kisah khabar angin mengenai perpisahan beberapa pasangan kekasih di kalangan selebriti turut tersebar luas baru-baru ini membabitkan Ashraf Muslim dan cinta hatinya, Sherry Ibrahim serta Fizz Fairuz dan Almy Nadia. Dalam hati kecil Cik Normah harap kemelut yang melanda hubungan mereka tidak akan berpanjangan. Alah, biasalah adat orang bercinta pasti ada pasang surutnya. Lumrah semua itu. Cik Normah rasa khabar angin mengenai keretakan hubungan dua pasangan kekasih ini tidak benar sama sekali dan yakin mereka masih bersama.
Setahu Cik Normah, Fizz dan Almy masih lagi bahagia bercinta. Begitu juga dengan Sherry dan Ashraf. Orang kata mereka sedang melalui proses kematangan dalam hubungan mereka.
Tapi kalau sudah suka sama suka, masing-masing ada kemampuan, kenapa hendak bertangguh-tangguh untuk bernikah. Itu adalah lebih baik daripada asyik menjaja kisah cinta yang akhirnya tidak berpenghujung, sebaliknya sekadar untuk mempopularkan diri saja.
Cik Normah muak juga dengan alasan sesetengah artis menangguhkan urusan perkahwinan atas alasan sibuk dengan kerja. Takkan nak fikir kahwin apabila sudah tidak ada kerja pula?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: