![]() ANTRA babak menarik persembahan Mana Setangginya. |
Mana Setangginya padat dengan kritikan sosial , bersifat siapa makan cili, dialah yang terasa pedas
ASALNYA mahu dipentaskan di Panggung Negara (kini Istana Budaya) kira-kira sedekad nan lalu. Namun atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan, naskhah Mana Setangginya diperam begitu saja oleh penulis skrip asal, Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan. Bagaimanapun, kalau sudah namanya rezeki memang tak akan ke mana-mana.
Buktinya, selepas sepuluh tahun dan di tempat yang sama, Mana Setangginya kembali menebarkan harumannya seolah-olah membawa perkhabaran bahawa janji yang terlafaz suatu ketika dulu perlu ditunaikan. Mulai 13 Jun lalu, selama sembilan hari teater arahan Zaifri Husin ini menemui khalayaknya membawa mesej dan pengajaran berguna kepada penontonnya.
Mendasari Mana Setangginya, bererti penonton perlu menyelami apa yang tersemat di dalam pemikiran Noordin yang lebih mesra disapa Cikgu Nordin. Setiap peristiwa yang berlaku sehari-hari diterjemahkan secara tersirat menerusi karya tulisannya. Lihat saja drama tulisannya sebelum ini seperti Bukan Lalang Ditiup Angin, Jangan Bunuh Rama-Rama dan Tiang Seri Tegak Berlima. Semuanya mengandungi makna yang tersurat dan tersirat.
Begitu juga dengan skrip Mana Setangginya. Walaupun naskhah itu ditulis kira-kira sedekad lalu namun dari segi penceritaan, perwatakan dan isu yang dibangkitkan semuanya cukup relevan dengan apa yang berlaku pada masa ini. Memilih isu fitnah, tamakkan kuasa serta sikap suka jatuh menjatuhkan antara satu sama lain membuatkan Mana Setangginya padat dengan kritikan sosial dan bersifat siapa makan cili, dialah yang terasa pedasnya.
“Teater ini tidak bermaksud untuk menyindir mana-mana pihak jauh sekali mengaitkan wataknya dengan individu tertentu. Cuma apa yang ingin kami tekankan di sini adalah, isu fitnah yang kita lihat semakin berleluasa ketika ini. Kita cuma mahu tonjolkan betapa bahayanya fitnah dan bagaimana fitnah mampu memporak perandakan keadaan.
![]() |
| AZIZAH MAHZAN cemerlang membawakan watak Mira. |
“Tapi kalau ada pihak yang terasa, itu terpulang pada mereka kerana kami tidak berniat untuk menyindir sesiapa. Cuma kami mahu sesiapa yang menonton mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku” tegas Zaifri ketika ditemui pada majlis pratonton teater itu malam Isnin lalu.
Tambah Zaifri walaupun pada awalnya dia rasa gementar apabila buah tangannya ini mula masuk panggung Sabtu lalu, namun perasaan itu hilang sebaik saja mendapat pujian pelbagai pihak.
“Bukanlah saya hendak memuji diri sendiri tetapi rasa gembira juga apabila Datuk sendiri berpuas hati dengan pementasan itu. Dia ada datang menonton malam semalam (Ahad) dan dia kata dia berpuas hati dengan apa yang dilihatnya. Tapi dia tak adalah mengulas satu demi satu.
“Iyalah, bukan mudah hendak mengarahkan naskhah Datuk. Saya akui teater ini memang berat. Bukan saja dari segi isu yang diketengahkan tetapi juga bagaimana hendak menghasilkannya dalam bentuk teater.
“Bahagian paling sukar untuk teater ini adalah dari segi sudut artistik. Saya mengambil banyak masa untuk mengkaji mengenai set. Bukannya apa, kita tak ada contoh yang spesifik. Situasi ini bukan berlaku di Malaysia. Jadi selagi tak puas hati dengan apa yang ditunjukkan pereka, saya akan suruh dia buat balik,” cerita Zaifri yang mempunyai pengalaman luas dalam pengarahan teater. Antara teater popular sentuhannya adalah Lantai T Pinkie, Tiang Seri Tegak Berlima, Malam Haram dan juga Muzikal Ali Baba.
Pada awal pembukaan, teater ini bergerak dengan perlahan. Penonton dihidangkan dengan tarian dan nyanyian yang menceritakan apa sebenarnya yang berlaku ketika itu. Graf semakin memuncak apabila teater ini memasuki segmen ketiga di mana yang memaparkan babak di Kota Gemilang, yang berada di bawah pemerintahan Uzza, seorang Raja yang kejam.
Elemen sedih, komedi, gembira dan aksi semuanya disatukan penulis dalam teater ini. Seperti biasa, pelakon Azizah Mahzan sekali lagi menunjukkan kecemerlangannya membawakan watak Mira, yang juga menjadi tukang cerita dalam teater ini. Sebagai pencerita, Azizah berjaya membuatkan penonton faham dan tahu apa yang sebenarnya berlaku.
Tidak kurang hebat malam itu adalah pelakon berpengalaman Shahruddin Thamby yang membawakan watak Hawar, yang ada ketika dibenci dan ada masanya mampu membuatkan penonton terbahak-bahak dengan aksi komedinya. Turut membintangi teater ini ialah Tony Eusoff (Juda), Sabrina Ali (Iriam), Iqbal Taufik (Uzza), Azman Abu Bakar (Ibra), Rudy De Luna Jr (Subat) dan Mohd Nor Fatih Mohtar (Silbi)
Sebagai sebuah teater yang dikendalikan oleh anak tempatan, Mana Setangginya berjaya mencatat sejarah tersendiri. Adegan terbang seperti yang diuar-uarkan sebelum ini berjaya menjadi menjadi tarikan dan mempesonakan ramai.
“Tapi ia bukanlah tarikan utama semata-mata. Ada juga faktor lain yang membuatkan orang ramai hendak menonton teater ini. Memang kami mahu selitkan adegan terbang ini untuk menaik taraf teater Melayu dan ini adalah julung kali teater tempatan mewujudkan adegan terbang di Istana Budaya.
“Cuma kami tak dapat menunaikan janji kami sebelum ini untuk pari-pari ini terbang ke arah penonton kerana ia membabitkan soal keselamatan. Selepas diambil kira soal keselamatan, maka kami terpaksa membatalkan hasrat itu dan fokuskan kepada adegan terbang di atas pentas saja,” ujar Zaifri.
Seperti yang ditegaskan Zaifri, watak Juda, Hawar, Iriam, Ibra, Silbi dan Subhat sebenarnya ada di mana-mana juga.Malah mereka sudah pun wujud sejak beribu-ribu tahun lalu.
“Demi kerana tamakkan kuasa, mereka sanggup menggali dan membongkar aib orang semata-mata kerana mahu orang itu jatuh. Dan itulah juga yang dilakukan oleh Silbi dan Subhat ke atas Iriam.
“Dalam teater ini saya banyak menggunakan unsur perlambangan termasuk watak dan perwatakan. Begitu juga dengan perkataan sodom wa gamurah juga adalah perlambangan kepada sifat keji yang diamalkan pengikut Uzza,” dedah Zaifri.
Siapakah watak-watak itu? Hanya penulis dan pengarah saja yang tahu jawapannya.
SINPOSIS: Mana Setangginya
BERKISAR kepada perkampungan nelayan di tepi pantai. Penduduknya menyara hidup dengan memerangkap ikan dan menjual hasil pokok setanggi. Nelayan dilarang menangkap ikan pada Sabtu, iaitu hari beribadat.
Kumpulan nelayan yang derhaka di bawah pimpinan Hawar sudah berpindah ke bukit yang dinamakan Kota Gemilang.Walaupun hidup mewah, mereka melanggar perintah. Kedatangan Uzza selaku orang asing membawa falsafah baru dalam kehidupan mereka. Juda anak Hawar mengahwini kekasihnya, Iriam anak kepada Ibra. Tetapi Silbi dan Subhat menabur fitnah akan asal-usul Iriam.
Juda bermuka-muka akan kebaikannya untuk mengaburi penduduk kampung. Lantaran itu, dia dan ayahnya mahu kampung nelayan yang bertaburan mengiktiraf kedudukan mereka sebagai raja. Yang ingkar akan diserang. Mereka menguasai kampung ini dan berkehendakkan segala tangkapan hendaklah dijual kepada mereka.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: