Tuesday, June 23, 2009

BRTM 2009: Juara milik siapa?


BERSEDIA... Tujuh daripada lapan peserta BRTM, (belakang, dari kiri), Adli, Ikbal dan Nizam sementara barisan hadapan dari kiri Jo-An, Aina, Zilla dan Fatin.


BINTANG RTM muncul lagi. Walaupun pengaruhnya tidak segah program realiti lain, namun ia mencatat rekod sebagai satu-satunya pertandingan yang masih berpaksi kepada bakat dan kualiti nyanyian 100 peratus pilihan juri.

Hampir empat dekad berlalu, jenama Bintang RTM bukan sesuatu yang asing.

Bakat-bakat yang dicungkil daripada pertandingan itu terbukti menghimpun nama-nama besar yang cukup gah.

Malah, ada di antaranya sudah boleh diangkat sebagai bintang sepanjang zaman.

Siapa tidak kenal dengan nama-nama seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Juliza Adzlizan, Rosemaria, Rohana Jalil dan Azharina.

Melangkah ke edisi tahun 2009, BRTM akhirnya menyenaraikan lapan peserta yang bakal berentap pada pertandingan akhir di Stadium Negara, pukul 8.30 malam pada 28 Jun ini.

Mereka ialah Nur Ernie Shahirah Zakri, 17, atau Ernie, Nur Azilla Mohd. Ibrahim, 23, (Zilla); Jo-Anna Sue Henly Rampas,(Jo-Ann), 20, dan Nur Fatin Nabila Noor Sazley,(Fatin) 18.

Tidak ketinggalan, Saidatul Aina Jamaluddin,(Aina) 22; Arnizam Michael,(Nizam), 22; Mohammad Adlizan Baharudin, (Adli), 23 dan Mohd. Ikbal Abdul Hatam, (Ikbal); 18.

Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara BRTM 2009 untuk meneruskan legasi seni senior-senior mereka memahat nama sebagai penghibur yang disegani?.

Segalanya bakal terjawab pada malam kemuncak yang mengangkat tema 'Malam Seribu Bintang' itu.

Setiap peserta mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri. Di kalangan 30 peserta yang bertanding di peringkat suku dan separuh akhir lapan daripadanya berjaya mengatasi kegugupan dengan menyerlahkan bakat nyanyian yang ada pada mereka.

Kalau diukur dari segi pengalaman, sudah tentu rata-rata finalis BRTM 2009 kurang kelebihan itu.

Namun, kepercayaan terhadap kebolehan diri, menjadikan pentas BRTM 2009 sebagai platform untuk mereka berkongsi bakat serta mencabar keupayaan diri.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahaya pada sidang media BRTM baru-baru ini menjelaskan, RTM sentiasa memastikan adanya pembaharuan seiring peningkatan usia BRTM.

"Untuk BRTM 2009, RTM akan pastikan ia menjadi acara kemuncak yang bakal diingati oleh semua pihak.

"Kita akan pastikan persembahan pada malam itu sebagai yang terbaik, lain daripada yang lain tetapi tetap RTM.

"RTM tidak boleh jadi seperti stesen lain kerana tumpuan kami dari dahulu sehingga kini lebih kepada kualiti suara.

"Sebab itu kalau kita dengar sahaja suara seseorang penyanyi itu menyanyi, kita sudah boleh tahu dari mana penyanyi itu datang, malah, suara mereka ada yang sudah diangkat sebagai suara sepanjang zaman," kata Ibrahim yang turut mengumumkan Telekom Malaysia (TM) sebagai penaja utama BRTM 2009.

Antara kelainan yang bakal mengisi malam kemuncak itu, kata penerbit rancangan, Azman Hashim, selain nyanyian diiringi orkestra sepanjang tujuh minit persembahan, gelagat penyokong yang memberi sokongan terhadap peserta kegemaran mereka akan turut dipaparkan menerusi lintas langsung ke negeri-negeri kelahiran mereka.

Kepada yang berjayawa mereka akan membawa pulang hadiah yang tidak kurang hebatnya.

Untuk BRTM 2009, johan bakal membawa pulang hadiah utama, berupa wang tunai RM20,000 trofi beserta sijil penyertaan. Tidak ketinggalan TV LCD 40 inci serta kamera digital Samsung.

Naib johan pula bakal menerima hadiah wang tunai RM15,000, trofi beserta sijil. Hadiah lain termasuklah TV LCD 32 inci dan kamera digital Samsung.

Sementara tempat ketiga bakal menerima hadiah berupa wang tunai RM10,000, trofi serta sijil. Hadiah lain termasuklah TV LCD 32 inci dan pemain DVD mudah alih.

Hadiah bagi persembahan terbaik dan bintang paling popular pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil.

Harapan finalis BRTM

Sementara itu, kesemua lapan peserta BRTM berkongsi rasa yang sama.

Biarpun masing-masing memasang impian untuk menjulang gelaran juara namun, rasa gemuruh, risau dan gementar berbaur menjelang pertandingan akhir nanti.

Ikuti cerita menarik mengenai mereka menjelang malam penentuan BRTM pada 28 Jun ini.

ZILLA

"Saya masih lagi tidak percaya dapat ke peringkat akhir sebab ini merupakan pertandingan besar pertama yang saya sertai. Sebelum ini, niat saya hanyalah untuk menemani adik ke uji bakat, biarpun berjaya terpilih menyertai BRTM namun dia (adik) tewas di peringkat suku akhir.

"Untuk pertandingan akhir, saya rasa kesemua finalis ada kekuatan dan kelebihan tersendiri jadi susah untuk saya jangka saingan yang terdekat.

"Bagaimanapun, apabila sudah sampai ke tahap ini keyakinan sudah ada dan apa yang saya harapkan ialah dapat melakukan yang terbaik," kata Zilla yang bakal menyanyikan dua lagu, Bertamu Di Kalbu dan Saving All My Love secara medley di peringkat akhir nanti.

FATIN

Minat menyanyi seawal usia 12 tahun mendorong gadis kelahiran Johor, Fatin, untuk menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.

Pernah mencuba nasib menyertai uji bakat program realiti TV termasuk Akademi Fantasia, ruang menyertai BRTM ternyata lebih terbuka buatnya.

Selain BRTM, rezeki berganda buatnya apabila ditawarkan sebagai artis syarikat rakaman Universal Music baru-baru ini.

Menurut Fatin, BRTM merupakan platform terbaik buatnya sebagai latihan untuk mempersiapkan diri sebagai artis.

Fatin bakal menyanyikan tiga lagu iaitu Wajah yang dipopularkan oleh Jaclyn Victor, Mencintaimu (Kris Dayanti) dan Asmara (Anneke Gronloh).

JO-AN

Jika Fatin dilamar oleh sebuah syarikat rakaman, peserta jelita, Jo-An pula dilamar oleh dua syarikat rakaman iaitu Metadome dan Warner Music.

Namun, Jo-An yang masih menuntut di Advance Tertiary College (ATC) dalam jurusan undang-undang masih belum membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut kerana bimbang tidak dapat memberi perhatian terhadap pelajarannya.

"BRTM berbeza daripada program nyanyian lain sebab ia melihat kepada suara berbanding rupa dan fizikal.

"Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah semasa uji bakat mereka tutup skrin televisyen dan mendengar suara terlebih dahulu, jadi adillah untuk semua," kata Jo-An yang bakal menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Faizal Tahir, iaitu Bercinta dan lagu Because Of You.

ADLI

Bagi Adli yang baru menamatkan pelajaran dalam bidang muzik di Aswara, terpilih sebagai peserta akhir BRTM 2009 merupakan sasaran terbesar dalam hidupnya.

"Sebagai bekas pelajar jurusan muzik, boleh dikatakan saya sudah mencapai sasaran menyertai BRTM apatah lagi berjaya menjadi finalis dalam pertandingan besar seperti ini.

"Saya memang nak jadi penyanyi dan ada keinginan untuk memiliki album sendiri. Sebaik menyertai BRTM, orang ramai mula mengenali saya dan saya mengandaikan cita-cita saya telah tercapai," kata Adli yang menjanjikan persembahan yang bakal menghiburkan pada malam tersebut.

Pada suku akhir ke-6 BRTM, Adli tersingkir bagaimanapun diserapkan semula ke pertandingan itu menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton.

NIZAM

Turut pernah tersingkir dari BRTM yang disertainya pada tahun 2007, kali ini hasrat Nizam untuk menebus kekecewaan lalu berjaya dipenuhi.

"Memasuki BRTM dan bergelar penyanyi merupakan impian saya dari dahulu lagi. Tahun ini, saya berjaya juga ke peringkat akhir walaupun telah tersingkir pada peringkat separuh akhir.

"Saya yakin dengan BRTM. Biarpun produknya lambat memperoleh populariti namun, melihat kepada artis-artis kelahiran BRTM yang berjaya menempa nama, lambat laun akan nampak juga hasilnya," katanya.

IKBAL

Mempertaruhkan lagu nyanyian Hasnol, Lagu Ku Untukmu dan Kata yang dipopularkan oleh Hazami, menurut Ikbal, kesesuaian suaranya menyanyikan lagu-lagu berentak balada mendorong dia memilih dua lagu tersebut.

Menyedari persaingan kuat daripada rakan-rakannya, pemuda itu bagaimanapun mengharapkan yang terbaik dalam persembahannya pada pertandingan akhir itu nanti.

AINA

Berbeza dengan rakan-rakannya, anak jati Kuala Lumpur, Aina berpengalaman dalam seni sebelum menyertai BRTM.

Pernah terlibat sebagai penyanyi latar untuk teater Puteri Gunung Ledang the Musical dan P.Ramlee The Musical, kelebihan tersebut digenggam Aina sehingga melayakkannya ke cabaran akhir BRTM 2009.

Terdorong atas desakan keluarga dan rakan-rakan, dia pernah mencuba nasib ke uji bakat BRTM 2005 namun, bintangnya ketika itu masih belum bersinar.

Sebagai finalis BRTM 2009, harapannya ialah memenangi pertandingan itu dan meluaskan bakat seni yang ada padanya.

Pada peringkat akhir nanti, dua lagu yang bakal dinyanyikan secara medley oleh Aina ialah Hanya Satu dendangan Nora dan Destinasi Cinta yang dipopularkan oleh Datuk Siti Nurhaliza.

ERNIE

Peserta paling muda, Ernie yang masih lagi menuntut di tingkatan lima, Methodist Girl School, Kuala Lumpur, peluang menyertai BRTM tidak harus ditolak biarpun dia perlu memberi tumpuan terhadap peperiksaan Sijil Penilaian Malaysia (SPM) yang bakal didudukinya tidak lama lagi.

"Kelainan yang membezakan BRTM dengan pertandingan lain ialah peserta ada kebebasan untuk menjalani kehidupan harian termasuklah belajar sebab komitmen hanya diperlukan pada hujung minggu sahaja.

"Insya-Allah, selepas tamat BRTM saya akan beri tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran.

"Saya memang minat menyanyi sejak kecil malah, saya turut berita-cita untuk menjadi pensyarah vokal suatu masa nanti," kata Ernie yang pernah menjadi naib johan pertandingan Bintang Kecil peringkat negeri Sarawak ketika zaman kanak-kanaknya.

Malam Seribu Bintang bakal dikendalikan oleh tiga pengacara iaitu Izwan Pilus, Alisha dan penyampai Muzik FM, Muaz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: