![]() FELIX menaruh harapan tinggi kepada Aku Juga Iya setelah kegagalan album pertama. |
Lebih setahun menyepi, Naib juara AF3 muncul dengan album terbaru
DIAMNYA selama setahun kebelakangan ini bukan bermakna Felix Agus 'lenyap' dari persada seni. Ini kerana dalam senyap, ada beberapa perkara dilakukannya demi memastikan perjalanan seninya tidak terhenti.
“Perjuangan saya belum selesai,” kata Felix bersemangat.
Bagi anak muda kelahiran Kota Belud itu, pengembaraannya di persada seni adalah perjalanan panjang belum ada noktah dan ia perlu diteruskan demi menghargai sokongan peminat yang tidak berganjak.
Walaupun menyepi selama setahun selepas kontraknya tamat bersama Maestro Talent Management Sdn Bhd (Maestro), Felix, 27, enggan menyerah kalah lantaran menyedari bakat di jiwa tidak wajar dipersia.
Dan, sebagai hadiah istimewa kepada peminat, dia muncul berbekalkan buah tangan berbentuk album kedua bertajuk Aku Juga Iya yang memuatkan lapan lagu.
“Ini adalah tanda kasih dan sayang saya kepada peminat. Terima kasih kerana masih menghargai perjuangan saya sebagai anak seni.
“Tanpa sokongan mereka dan susah senang bersama, saya tidak mampu sampai ke tahap sini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran albun keduanya di 1Borneo, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Naib juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu berharap album keduanya dapat kembali melonjakkan namanya untuk mencari ruang bernafas di bidang seni.
Terkenal dengan ungkapan `susah susah saja', Felix akur sambutan terhadap album sulungnya Warkah Berlagu Pilu yang diterbitkan Maestro pada 2005 kurang memberangsangkan.
"Perkara sudah berlaku, tak perlu dikesalkan, jauh sekali untuk saya berputus asa. Malah, kegagalan album pertama mendorong saya bekerja lebih gigih untuk memperbaiki kelemahan.
"Setahun saya `bertapa' mencari lagu yang sesuai dengan jiwa dan walaupun album kedua sudah dilancarkan, saya belum boleh menarik nafas lega kerana ingin melihat penerimaan umum.
"Saya benar-benar berharap ia diterima dengan baik," katanya.
Pelancaran album Aku Juga Iya yang diterbitkan D' Sulap Entertainment Sdn Bhd, disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun.
Felix mengharapkan lagu Aku Juga Iya yang ditulis sendiri liriknya, bakal mendapat tempat di hati peminat.
Mengimbas proses pembikinan album, dia pantas menyebut lagu Harapan Kosong yang berirama balada sebagai paling susah dirakamkan dan memerlukan penghayatan mendalam.
Katanya, promosi album berkenaan dimulakan di Sabah sebelum ke Semenanjung.
“Saya tahu ramai peminat di Semenanjung menunggu kemunculan album ini dan saya akan ke sana tidak lama lagi," katanya yang dikejutkan dengan kehadiran rakannya Marsha Milan Londoh lalu mengambil kesempatan berduet.
Penerbit album dan pengurus D' Sulap Entertainment Sdn Bhd, Jasmin Tarmin atau Jass, berkata kira-kira 95 peratus proses penghasilan album Felix dilakukan sendiri oleh penyanyi itu, termasuk urusan selepas produksi dan pembikinan klip video.
"Album ini mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan," katanya.
Selain Aku Juga Iya dan Harapan Kosong, album itu turut memuatkan tiga lagu ciptaan Felix sepenuhnya iaitu Maafkan Aku, Akar Cinta dan sebuah lagu bahasa Dusun iaitu Tulan ko Limo (Bulan Kelima) yang dimuatkan khusus untuk sempena pesta tradisi, Pesta Kaamatan.
Turut dimuatkan ialah lagu Aku Laki-Laki dan sebuah lagi lagu Dusun, Nokosuai Ginawoku.
Trek terakhir ialah Aku Juga Iya versi instrumental dengan petikan gitar oleh manakala sebuah cakera padat video (VCD) bonus turut disediakan yang memuatkan klip video Aku Juga Iya, koleksi gambar Felix dan sedutan di sebalik tabir pembikinan klip video Aku Juga Iya.
Album berkenaan sudah mula diedar 2 Mei lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: