Kemelut yang berlaku di antara penerbit filem Dimensi Cinta iaitu Harian Inovatif Sdn. Bhd., dan juga syarikat perfileman Sunday To Sunday milik Eddie Pak masih belum selesai apabila para artis pula mendesak supaya masalah yang berlaku dapat diselesaikan secepat mungkin.
Pelakon Fahrin Ahmad yang merupakan teraju utama filem berkenaan mengharapkan kedua-dua syarikat tersebut dapat menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelakon dengan segera.
Menurut Fahrin dia sudah menerima 30 peratus bayaran tetapi baki 70 peratus lagi yang mencecah puluhan ribu ringgit masih belum dibayar. Bukan saja Fahrin tetapi pelakon lain seperti Scha, Adam (AF2), Zarina (AF2) dan juga krew terlibat turut menghadapi masalah yang sama.
Bagi melerai masalah berkenaan Fahrin selaku pelakon utama filem itu tidak mempunyai jalan lain sebaliknya bercadang untuk menuntut bayaran yang masih tertunggak itu bersama-sama pelakon lain.
Kata Fahrin, dia telah bersepakat untuk menghantar satu petisyen kepada Harian Inovatif Sdn. Bhd., dan juga Sunday To Sunday agar mereka dapat mencari jalan menyelesaikan masalah berkenaan.
"Saya mahu masalah bayaran yang tertangguh ini dapat diselesaikan dengan kadar segera kerana kami semua memerlukan wang.
"Kami nak bayar sewa rumah, nak bayar kereta dan banyak lagi keperluan lain. Kepada pelakon macam saya mungkin beban itu tak begitu terasa tetapi bagaimana dengan krew yang mengharapkan pendapatan berkenaan bagi menyara hidup?" soal Fahrin.
Menurut pelakon tersebut, dia telah bertemu dengan pihak Harian Inovatif Sdn. Bhd. dan produser syarikat itu telah menjelaskan segala-galanya mengenai prosedur bayaran yang telah mereka buat melalui Sunday To Sunday.
Berpuas hati dengan penjelasan berkenaan Fahrin mengakui bersimpati terhadap nasib syarikat tersebut yang seolah dipermainkan oleh pihak tertentu.
Bagaimanapun Fahrin mengharapkan satu keputusan tercapai oleh pihak-pihak yang terlibat untuk mengatasi kemelut berkenaan.
Kata Fahrin, dia berasa bertanggungjawab mengumpul semua tanda tangan pelakon dan krew untuk diserahkan kepada kedua-dua syarikat tersebut kerana kecewa dengan masalah itu.
"Saya tahu sekarang ini berlaku kemelut di antara dua syarikat tersebut tetapi walau apa pun berlaku lepaskan kami (pelakon) dulu dengan menyelesaikan tunggakan dengan segera," katanya.
Apa yang diharapkan Fahrin kedua-dua pihak dapat mencari jalan memastikan filem berkenaan yang sudah siap penggambaran dapat ditayangkan segera.
Ini kerana dengan cara itu wang kutipan hasil tayangan dapat diberikan kepada pelakon sekiranya pihak-pihak tertentu menghadapi masalah kewangan untuk membayar tunggakan seperti yang telah dijanjikan.
Scha pula yang hanya mendapat 10 peratus sahaja bayaran juga terkejut kerana sehingga hari ini masalah dalaman yang berlaku di antara keua syarikat berkenaan masih belum selesai.
Mengakui agak serik, dia mengharapkan pihak terlibat tidak memungkiri janji seperti yang telah ditandatangani dalam kontrak.
"Saya harap selepas kami menghantar petisyen nanti, pihak yang berkenaan akan dapat mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: