Tuesday, June 2, 2009

Afdlin mahu berehat tahun ini

PENGARAH dan pelawak popular, Afdlin Shauki kelihatan ceria ketika ditemui di majlis pelancaran Pek Mustika yang mengandungi saluran Astro Citra, Astro Warna dan Astro B4U di sebuah pusat beli-belah terkemuka baru-baru ini.

Manakan tidak, pada majlis yang sama beliau turut diumumkan sebagai wajah yang mewakili Astro Warna, saluran komedi tempatan 24 jam pertama di Malaysia.

“Mungkin orang akan selalu lihat saya di kaca TV selepas ini tapi filem masih kecintaan saya. Apa pun, saya gembira kerana pihak Astro memberi kelonggaran kepada saya untuk meneruskan aktiviti mengacara dan mengarah,” ujarnya yang menyifatkan kewujudan Astro Warna sangat bagus kerana memberi peluang kepada pelawak tanah air untuk lebih menyerlah.

Bagaimanapun menurut Afdlin, dia bercadang mahu mengurangkan sedikit kesibukan kerja pada tahun ini. Malah jika ada rezeki, dia bercadang mahu menunaikan umrah bersama isteri.

“Kalau boleh saya juga nak tambah seorang lagi anak dan melebihkan masa bersama keluarga. Insya-Allah, berat badan pun akan turun sikit kot pada tahun ini,” ujarnya sambil tertawa.

Dalam pada itu, Afdlin menyatakan dia kini sedang menanti empat filem arahan dan lakonannya untuk ditayangkan iaitu Papadom, Setem, My Spy dan Berani Punya Budak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: