Tuesday, June 2, 2009

20 peserta adu nasib dalam Pilih Kasih

Seramai 20 peserta dari seluruh Malaysia akan menguji nasib mereka untuk bergelar pelakon pilihan Rosyam Nor menerusi program realiti TV pertama yang mencungkil bakat lakonan, Pilih Kasih (PK) tajaan Telekom Malaysia (TM) yang akan disiarkan bermula Sabtu ini menerusi Pentas Pilih Kasih jam 8.30 malam di TV2.

Sesuatu yang menarik apabila setiap langkah, penglibatan dan penghasilan rancangan realiti TV Pilih Kasih ini akan dirakam dan ditayangkan menerusi slot jurnal hariannya, Kisah Pilih Kasih yang telah memulakan siarannya pada setiap Isnin hingga Khamis pada jam 4.30 petang di TV2.

Peserta yang terdiri daripada sepuluh lelaki dan sepuluh wanita ini akan berentap setiap minggu selama 12 minggu. Peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang diterajui dua pengarah terkenal iaitu Along Kamaludin dan Amie Maziah.

Kedua-dua pengarah itu akan bertanggungjawab untuk menghasilkan dua filem pendek sebagai tugasan mingguan yang akan ditayangkan selama 10 minit.

Along akan mengarahkan filem pendek bertajuk Pemburu manakala Amie akan mengarahkan filem pendek, Mangsa.

Peserta juga akan diberikan skrip bagi menjayakan segmen teater. Teater yang akan diarahkan Erma Fatima akan menguji sekali lagi bakat lakonan mereka secara live setiap minggu.

Pada majlis memperkenalkan 20 peserta akhir PK yang berlangsung di Restoran Seri Melayu baru-baru ini, terdapat beberapa peserta yang berpengalaman sebagai pelakon cuma kurang dikenali.

Antaranya ialah Iqbal Mazlan, 20, yang pernah berlakon untuk drama bersiri Sofea Zahra siaran Astro Prima dan beberapa buah komersial TV. Selain Iqbal, seorang lagi peserta yang menjadi pelakon utama drama Surat Cinta di RTM, Bea Rameshan, 21, turut tersenarai sebagai peserta akhir.

Seorang lagi perserta akhir, Ray Redzuan, 30, pernah menyertai program realiti tarian di 8TV dan merupakan koreografer kepada pemenang program Sehati Berdansa, Lisdawati dan Fauzi Nawawi.

Turut tersenarai adalah pasangan adik-beradik dari Sabah, Khafie, 24, dan adiknya, Zara Suriana, 19, yang akan berentap dalam kumpulan yang sama di bawah bimbingan Amie Maziah.

Ahli kumpulan Flava, Ahdan, 25, turut diberi peluang menonjolkan bakat lakonannya melalui PK.

Walaupun pernah menyertai program realiti Gangstarz, menurutnya, rezeki ada di mana-mana.

Turut terpilih ialah Zulin Aziz (20, K. Lumpur), Aris Yamin (21, Sarawak), Nabila Dally (18, Sabah), Indera Hafiz (25, P. Pinang), Shania (20, Kelantan), Diwan Nawi (19, Kelantan) Ana Dahlia (26, Perak), Sofian Bujang (24, Sarawak), U. Haizah (22, Sabah), Emilie Hanif (19, Perak) Wanina Zaki (21, Terengganu), Reza Hasbi (20, Perak), Fiona Benard (21, Sabah) dan Aman Sharoni (20, Johor).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: