
Didie dan bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Norisham Ismail bernikah 6 Mei lalu di Pejabat Agama Keramat.
Ini merupakan pernikahan kali kedua buat Didie setelah rumah tangga yang dibina bersama pelakon, Ridzuan Hashim hanya bertahan selama sepuluh tahun sebelum roboh pada tahun 2002.
Sejak itu, ibu kepada lima anak ini lebih suka mengamalkan pendekatan ‘low-profile’ dan jarang mahu tampil di dada media.
Bagaimanapun, apabila perkahwinan kali keduanya dapat dihidu, tiada alasan lagi untuk Didie mengelak daripada memberikan komennya.
“Kami memang dah lama merancang untuk berkahwin. Cuma, hasrat itu asyik tertangguh kerana masing-masing sibuk dengan kerja. Apatah lagi saya bekerja dengan produksi dan bukan boleh ambil cuti sesuka hati saja. Setelah banyak kali merancang akhirnya 6 Mei lalu, sehari selepas selesai penggambaran drama R&R barulah hasrat kami itu dimakbulkan Tuhan,” katanya.
Menurut Didie, dia tidak pernah menyembunyikan perkahwinannya dengan Norisham yang sudah dikenalinya selama enam tahun.
“Kebetulan dua hari selepas majlis pernikahan saya dan suami ke Jakarta untuk bercuti. Percutian itu sebenarnya telah ditempah lebih awal dan tidak ada kaitan dengan keputusan untuk menikah hari tu. Orang mungkin tak dapat cari saya kerana talian telefon tidak begitu baik di sana. Apa pun, saya tak pernah cuba nak sorokkan perkahwinan ini,” luah Didie dengan tenang.
Tambahnya, dalam masa terdekat ini dia dan suami merancang majlis resepsi untuk rakan-rakan dan pihak media.
“Saya tak pernah lupakan kawan-kawan dan media. Cuma waktu nikah hari tu, masa terlalu singkat jadi kami tak sempat nak buat majlis macam orang lain,” katanya.
Menyentuh tentang kehidupan kini yang kembali ‘berdua’ setelah sekian lama bergelar ibu tunggal, Didie melahirkan rasa syukur kerana ditemukan jodoh dengan suami yang sanggup menerima dirinya dan anak-anak seadanya.
“Ini merupakan perkahwinan pertama buat suami saya. Bagaimanapun, dia tidak kekok berkongsi tanggungjawab dengan saya menjaga anak-anak.
"Sebenarnya sebelum kahwin pun dia sudah mesra dengan kami anak-beranak, malah semua anak-anak saya sangat sayangkan dia dan selalu bertanya bila kami nak berkahwin,” ujar Didie yang menaruh harapan semoga jodohnya kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: