Friday, December 16, 2016

Sufian Suhaimi Takut Tenggelam Selepas Satu Lagu Hits



Sufian mengakui berasa tertekan untuk mengekalkan momentumnya sebagai penyanyi.
PETALING JAYA: Pendatang baharu, Sufian Suhaimi mengakui mula berasa tertekan untuk mengekalkan momentumnya sebagai penyanyi selepas lagunya, Terakhirmendapat sambutan luar biasa.
Sufian, 24, berkata, perasaan itu wujud dalam dirinya kerana tidak mahu menjadi penyanyi dan hanya dikenali menerusi satu lagu sahaja.
"Sejujurnya saya memang tidak pernah menyangka Terakhir akan mendapat sambutan luar biasa daripada peminat dan populariti lagu itu membuatkan saya ada rasa tertekan.
Sufian Suhaimi tampil dengan single terbaharu berjudul Harus Aku. 
"Ini kerana saya tidak mahu menjadi penyanyi 'one hit wonder' dan sedar perlu tampil dengan lagu lebih baik daripada Terakhir," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Sufian berkata, sebagai komposer dia juga perlu sentiasa bersedia dengan lagu-lagu baharu untuk memastikan kehadirannya dalam industri dapat bertahan lama.
Bagaimanapun kata Sufian, dia bersyukur apabila single terbaharunya, Harus Aku mula mendapat sambutan dan maklum balas pendengar.

"Apabila menulis atau mencipta sesebuah lagu ia harus datang daripada hati dan bukannya dibuat secara tergesa-gesa.
"Seperti Terakhir saya sudah hasilkannya beberapa tahun lalu dan buat masa ini saya mempunyai beberapa simpanan lagu lain untuk dilancarkan pada masa hadapan.
"Alhamdulillah Harus Aku yang sudah lama saya siapkan mula mendapat perhatian dan diharap ia dapat menyaingi populariti Terakhir," ujarnya.

Sementara itu, Sufian berkata, selain fokus kepada kariernya, dia kini turut aktif menyumbangkan lagu untuk penyanyi lain.

Kata Sufian, dia tidak menganggap ia sebagai bebanan, sebaliknya bidang penulisan dan menggubah lagu adalah minatnya sejak dahulu.

Dalam perkembangan lain, Sufian berkata, selain giat mempromosikan Harus Aku, dia kini sibuk dengan persediaan pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu (AJL31) yang akan diadakan pada 22 Januari depan.
Katanya, dia akan menampilkan persembahan berlainan untuk acara itu dan berharap ia dapat diterima peminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: