BIARPUN terpaksa bersaing dengan filem aksi dan komedi yang sering menjadi pilihan penonton di pawagam, filem animasi turut mempunyai pengikutnya yang tersendiri.
Sambutan terhadap filem dari genre ini jarang sekali mengecewakan, malah sering mendapat kutipan yang tinggi untuk setiap penerbitannya.
Filem animasi hari ini bukan hanya menjadi pilihan golongan kanak-kanak, tetapi juga penonton dewasa yang mencari hiburan santai yang mampu memberikan keseronokan bersama.
Menyedari situasi itu, produksi Caramel Film cuba menyuntik idea-idea baru dan menampilkan jalan cerita yang lebih menarik dalam animasi terbitan mereka.
Terbaru, rumah produksi ini tampil dengan Ballerina, sebuah animasi menarik yang memaparkan kesungguhan seorang anak gadis yang begitu komited dalam mengejar cita-citanya untuk bergelar seorang penari balet.
Meski hanya merupakan sebuah filem animasi yang lebih mengutamakan hiburan di dalamnya, filem arahan Eric Summer dan Eric Warin ini turut menampilkan banyak mesej positif yang boleh dijadikan pengajaran.
Setiap watak yang diperkenalkan menerusi animasi ini mempunyai karakter mereka yang tersendiri yang penuh warna-warni dan begitu menghiburkan.
Bersesuaian dengan golongan sasaran iaitu kanak-kanak, animasi ini mengetengahkan jalan cerita yang mudah difahami.
Sehingga ke hujung kisahnya setiap babak di susun dengan begitu santai, namun cukup menarik dan menghiburkan.
Ballerina mengambil latar di Paris pada tahun 1879,  mengisahkan tentang seorang gadis yatim piatu yang mempunyai impian untuk menjadi seorang penari balet.
Demi mengejar impiannya, dia telah meninggalkan kampungnya di Brittany dan berhijrah ke Paris. Dia kemudiannya telah lulus dalam satu sesi uji bakat dengan menggunakan nama orang lain untuk mendapatkan tempat di Grand Opera.
Secara keseluruhannya, animasi yang membariskan pelakon suara seperti Elle Fanning, Dane DeHaan, Carly Rae Jepsen, Maddie Ziegler, Terence Scammel ini cukup menghiburkan dan banyak memberikan inspirasi kepada penonton.