ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Kedah mendapati dua premis dipercayai menjual 'biskut berasap' yang dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan pengguna di daerah ini, ditutup sejak tiga hari lalu.
Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pihaknya menerima aduan daripada Persatuan Pengguna Negeri Kedah berhubung lima aduan berlaku kelecuran di mulut dan tangan pengguna yang memakan biskut itu.
Beliau berkata berhubung aduan itu pihaknya membuat pemeriksaan di dua lokasi yang didakwa iaitu di perkarangan Stadium Darulaman dan Bandar Baru Mergong tetapi mendapati kedua-dua kedai ditutup.
"Operasi di dua premis berkenaan ditutup sejak tiga hari lalu dan kami percaya pemiliknya mengambil langkah berwaspada bagi mengelak daripada diambil tindakan setelah isu itu menjadi viral," katanya.

Dalam pada itu, beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenai "Isu Penggunaan Cecair Nitrogen Dalam Makanan" semalam yang turut menjelaskan berhubung penggunaan cecair nitrogen dalam makanan.
Menerusi kenyataan itu, Dr Noor Hisham berkata bagi tujuan keselamatan pengguna, pengeluar atau penyedia makanan yang menggunakan cecair nitrogen dalam penghasilan makanan mereka perlu memastikan cecair itu meruap sepenuhnya sebelum dijual kepada pengguna untuk mengelakkan melecur (cryogenic burn) atau radang dingin (frostbite).
Justeru, Dr Norhizan berharap penyedia makanan dan pengguna di negeri ini mengambil perhatian tentang perkara itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengemukakan aduan dan maklumat kepada jabatan berkenaan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat atau melalui laman sesawang di http://jknkedah.moh.gov.my  atau facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sekiranya merasa ragu-ragu tentang keselamatan makanan yang terdapat di pasaran.