Friday, December 16, 2016

Akim Ahmad Belajar Erti Sabar Sepanjang Stacy Hamil



Akim Ahmad teruja bakal menimang cahaya mata pertama pada Februari depan.
PETALING JAYA: Penyanyi Akim Ahmad mengakui dia banyak belajar untuk menjadi seorang penyabar sejak isterinya, Stacy hamil anak pertama mereka.
Akim atau Afiq Hakim Ahmad, 25, berkata, ini kerana sejak akhir-akhir ini emosi Stacy yang sedang hamil tujuh bulan sering tidak menentu sehingga adakalanya dia dimarahi tanpa sebab.
"Mungkin saya kadang-kadang tidak memberi perhatian lebih kepadanya jadi dia marah tanpa sebab tetapi saya percaya itu adalah emosi anak dan bukannya Stacy.
"Sebagai suami saya perlu belajar untuk mengawal situasi itu dan perlu banyak beralah dan bersabar kerana saya perlu faham itu bukan kehendaknya.
"Pada masa sama ia mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih baik," ujarnya.
Dalam pada itu, Akim berkata, Stacy yang dijangka bersalin pada Februari depan berada dalam keadaan baik dan kini berehat sepenuhnya.
Kata Akim, dia meminta isterinya itu untuk tidak bekerja buat sementara waktu kerana bimbang ia akan memberi kesan kepada bayi mereka.
Akim dan Stacy tidak kisah tentang jantina anak yang bakal dilahirkan. 
"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar kami akan menerima kelahiran anak pertama pada Februari depan.

"Bagaimanapun setakat ini kami masih belum mengetahui jantina anak kerana dia 'menyorok'.

"Pun begitu, saya dan Stacy tidak kisah kerana paling penting anak yang bakal dilahirkan itu nanti cukup sifat dan sihat," jelasnya.

Tambah Akim lagi, persiapan menyambut ahli keluarga baharu itu juga sudah dilakukan, namun ia dibuat secara sederhana.

Dalam perkembangan lain, Akim berkata, dia bersama kumpulannya Akim & The Majistret bakal mengadakan konsert istimewa di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 20 Februari depan.

Kata Akim, mereka sangat teruja dengan peluang itu kerana sudah lama ingin beraksi di pentas berprestij itu.

"Apabila mendapat peluang itu memang kami sangat teruja kerana bukan semua penyanyi dapat peluang itu.

"Apa yang boleh kami janjikan persembahan di DFP akan berbeza daripada yang pernah kami lakukan sebelum ini kerana perlu menyesuaikan dengan persekitaran dan bunyi dalam dewan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: