KELIBAT figura ini di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Sejak dari awal penglibatan, dia sudah punya golongan peminat tersendiri, bahkan tahun demi tahun, masih ramai yang menjadi penyokong setia kepada karier muzik lelaki bernama Anuar Zain ini.
Bahkan atas dorongan dan sokongan yang tidak pernah kurang itu mendorong lelaki berusia 46 tahun ini terus berkarya demi peminat tercinta.
Lebih lagi dedah adik kepada penyanyi Ziana Zain ini, muzik juga mampu menjadi terapi kepada orang lain.
"Ada peminat pernah bercerita, lagu nyanyian saya menjadi terapi buatnya memulihkan emosi.
"Malah ada juga cerita yang saya dengar, sebuah ikatan perkahwinan dapat diselamatkan selepas mereka mengharungi saat sukar. Mereka mendapat kekuatan itu menerusi lagu Bila Resah.
"Benda sama juga diceritakan oleh kakak saya apabila lagu-lagunya membantu menyembuhkan seorang wanita yang sudah dimasukkan ke hospital sakit jiwa akibat tekanan perasaan.
"Jadi saya tahu, di samping saya terus berkarya, menyanyikan lagu baru, ada lagu yang mampu menjadi terapi buat sesetengah insan.
"Ia menjadi pendorong buat saya untuk memberi yang terbaik," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Anuar, dia juga tidak melihat muzik sebagai sebuah terapi semata-mata, tapi juga menjadi pengikat silaturahim.
"Bagi saya muzik juga menyatukan orang ramai. Dalam kes saya, ada peminat yang datang ke persembahan saya, mereka berkenalan dan masih berkawan hingga kini.
"Saya rasa puas hati dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat dan inilah cara saya membantu mereka," katanya.
Mengakui seorang yang sentimental, Anuar berkata, dia masih memilih untuk menghasilkan album berbanding single.
"Mungkin kerana orang lama dan biasa dengan cara lama, saya masih gemar memilih cara lama.
"Bila ada album, orang akan beli dan simpan, walaupun ada yang mengeluh harga album mahal.
"Tapi bila kita hasilkan single sahaja, orang akan lupa.
"Malah bila kita ada album, bila kita sunyi, kita boleh mainkan lagu-lagu yang ingin kita dengar semula.
"Kalau single, biasanya orang download, tapi kadang-kadang bila 'memory full' orang akan padam.
"Sebab itulah saya lebih 'prefer' kepada cara lama, lebih sentimental," jelasnya yang masih dalam rangka siri jelajah promosi album kelimanya yang sudah terjual 11, 000 ribu unit dalam tempoh kurang dua bulan dipasarkan.
Persembahan istimewa
Bagi meneruskan hiburan eksklusif buat para peminat, pelantun Sedetik Lebih ini bakal berkolaborasi dengan Yonder Music melalui satu konsert yang diberi nama Yonder Music Libe Series By The Lake: Anuar Zain & You.
Ia bakal diadakan di Panggung Anniversary Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada 21 Januari 2017 bermula jam 8 malam selama 90 minit.
Tiket-tiket berharga RM888 untuk VVIP (zon A), RM788 (VIP zon B), RM588 (Cat 1 zon C), RM488 (Cat 2 zon D), serts RM388 (Cat 3 zon E) boleh didapati di www.ticketcharge.com.my bermula sejak 9 Disember lalu.
Anuar berkata, dia tidak menganggap seperti mengadakan sebuah konsert, tapi lebih kepada persembahan istimewa untuk peminat.
"Saya kira ini adalah 'showcase' untuk album baru saya.
"Untuk lebih intim dan memberi kepuasan, saya tidak rancang untuk menampilkan artis jemputan. Hanya saya dan peminat," ujarnya.
Bakal diiringi 14 pemuzik yang diketuai oleh Sze Wan yang bertindak sebagai Pengarah Muzik, Anuar berkata, tidak ada gimik pada persembahan itu nanti kerana dia bukanlah seorang yang sukakan gimik.
“It will be a great show, good lighting, good music and good quality audio. Saya percaya kepada Yonders,” jelasnya.