JIKA dahulu dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) hanya digunakan oleh pasukan tentera dalam operasi keselamatan, namun kini, ia mula menjadi kegilaan ramai.
Perkembangan teknologi juga membolehkan orang ramai memiliki dron dan ia menjadi hobi alaf baru bagi golongan muda pada masa ini.
Melihat manfaat yang ada, Persatuan Belia Dinamik Barat (PBDB) memberi peluang ahlinya mengenali permainan itu dengan lebih mendalam.
Jika ada masa terluang, pada setiap minggu mereka akan berkumpul di City Park Seremban 2, dekat sini diketuai oleh ‘Pilot’ Razwin Diny, 22, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat dari UniKL, Dengkil Sepang, Selangor.
Menurutnya, idea mengetengahkan permainan itu sebagai salah satu aktiviti riadah persatuan kerana melihat minat kebanyakan anak muda yang mula menjurus kepada bidang teknologi maklumat.
“Nak belajar main dron, dalam masa sehari pun boleh. Ia sama seperti permainan alat kawalan jauh lain, cuma bezanya dron ada banyak aplikasi seperti kamera untuk merakam visual dan boleh juga untuk buat pemetaan kawasan.
“Itu yang sebenarnya menarik minat anak muda untuk lebih mengenali dron. Malah ia sebenarnya dapat memupuk minat terhadap bidang teknologi maklumat,” katanya.
Bagaimanapun kata Razwin, seseorang itu perlu jelas dengan etika penerbangan dron di negara ini kerana ia tidak boleh diterbangkan sewenang-wenangnya.
Bagi mereka yang baharu berjinak-jinak dinasihatkan supaya mencari rakan-rakan yang boleh mengajar mengenai dron agar mereka diberi pengetahuan tentang jenis-jenis dron yang sesuai dengan aktiviti dilakukan.
“Misalnya ada yang sekadar menjadikan permainan dron sekadar hobi, pertandingan dan  sebagai sumber rezeki dan ruang tonjol bakat membuat video atau menghasilkan gambar menarik.
“Dari segi harga pula, ia boleh diperoleh bermula serendah RM200 dan boleh mencecah sehingga lebih RM30,000,” katanya.
Tanggapan sesetengah orang yang menganggap dron permainan yang mempunyai kelas tersendiri atau sesuai untuk orang kaya adalah tidak benar kerana ia kini boleh didapati dengan harga mampu milik.
Sementara itu, ahli PBDB Muhammad Ridzuan Ismail,15, menyifatkan dirinya sebagai bertuah kerana mengenali dron yang dapat membantunya meninggalkan aktiviti merempit.
Katanya, dia tidak malu untuk mengakui sebelum ini dia sering mengisi masa lapangnya dengan aktiviti merempit.
“Saya teruja bila berpeluang main dron sebab nak beli sendiri, memang susahlah kerana harganya agak mahal untuk pelajar macam saya.
“Sejak bermain dron ini, saya mula berminat dengan sains dan berharap dapat mengikuti kelas aliran sains tahun hadapan,” katanya.
Manakala Nur Ain Noor Ahsikim,17, berkata, dia mula berminat dengan dron selepas melihat cara pengendaliannya di Youtube.
“Bagi saya ia bukan sekadar permainan biasa, tapi memerlukan kemahiran dan ilmu tentang selok- belok mengenainya.
“Sekarang ia dah jadi hobi baru saya dan sasaran saya supaya suatu hari nanti dapat menyertai pertandingan perlumbaan dron,” katanya.