Wednesday, December 28, 2016

Akim & The Majistret Bikin Konsert Di Dewan Filharmonik Petronas (DFP)



PETALING JAYA: Kumpulan Akim & The Majistret teruja apabila diberi penghormatan untuk mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 20 Februari depan.
Vokalisnya, Akim Ahmad, 25, berkata, mereka sudah lama memasang impian untuk beraksi di pentas berprestij itu kerana bukan semua penyanyi berpeluang berbuat demikian.
"Apabila mendapat peluang itu memang kami sangat teruja kerana tidak semua diberi kesempatan beraksi di DFP.
"Ia satu penghormatan buat kami sebagai sebuah kumpulan dan Insya-Allah akan memberikan persembahan terbaik pada malam itu nanti," katanya.
Dalam pada itu, Akim berkata, pada persembahan itu nanti mereka akan menyampaikan lapan ke sepuluh buah lagu khas buat peminat.
Kata Akim, konsert di DFP itu nanti akan memberi cabaran kerana perlu menyesuaikan dengan persekitaran dan bunyi di dalam dewan berkenaan.
"Kebanyakan lagu kami adalah genre rock dan kami perlu membuat susunan semula agar ia tidak terlalu keras kerana DFP mempunyai persekitaran dan bunyi tersendiri.
"Sekiranya muzik rock itu terlalu kuat bimbang ia akan memberi gangguan pula kepada penonton.
"Jadi mungkin kami akan mengurangkan elemen rock supaya sesuai dengan persembahan di DFP," ujarnya.
Sementara itu, Akim berkata, buat masa ini mereka belum memilih lagu yang bakal disampaikan namun menjanjikan seleksi kegemaran peminat.
"Latihan pun masih belum bermula dan Insya-Allah Januari ini kami akan mula mencari lagu sesuai dan buat persediaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: