PUNCAK ALAM – Pencuri 'profesional' kini diburu polis selepas kegiatannya memecah tabung surau di Bandar Puncak Alam, kelmarin, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, kejadian kira-kira jam 8.33 pagi itu disedari timbalan pengerusi surau tersebut yang masuk untuk memastikan kipas dan lampu telah ditutup dengan baik.
Menurutnya, bagaimanapun, dapati tabung besi yang berada di tiang masjid telah dipecahkan.
“Pengadu kemudian telah memeriksa CCTV sebelum dapati seorang lelaki yang masuk ke dalam surau dengan memegang gergasi besi telah memotong kunci mangga peti besi.
“Suspek turut menceroboh sebuah bilik di surau berkenaan seperti mencari sesuatu. Suspek kemudian keluar dari surau dan beberapa minit kemudian datang dengan membawa grender untuk memotong kunci mangga,” katanya.
Tambahnya, suspek berjaya memotongnya dan mengeluarkan sejumlah wang daripada dalam tabung besi berkenaan.
Abdul Aziz berkata, siasatan dapati suspek masuk melalui tangga blok dari arah belakang kerana terdapat tempat meletak kenderaan di belakang surau.
Katanya, kerugian dianggarkan berjumlah RM400.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, rakaman video berdurasi dua minit itu menjadi viral di laman sosial apabila menunjukkan seorang lelaki mengumpil tabung besi.