PASIR PUTEH - Pereka set pentas dan prop penggambaran akhirnya memilih untuk menjadi penternak rusa selepas mengambil keputusan untuk menetap di kampung halamannya sejak beberapa tahun lalu.
Mustafa Daud, 52, berkata, sebahagian daripada tanah kebun seluas 0.92 hektar di Kampung Bukit Yong dekat sini, dijadikan kandang rusa sejak setahun lalu.
Sebagai permulaan katanya, dia menternak lima rusa sejak setahun lalu dan tiga hari lepas, salah seekor daripadanya melahirkan seekor anak.
“Daripada pemerhatian saya, kandang seluas ini boleh diisi antara 50 hingga 60 ekor rusa, saya akan berusaha ke arah itu dan yakin dapat mencapainya,” katanya.
Walaupun bidang yang diceburi sekarang jauh berbeza dengan bidang sebelum ini, Mustafa berkata, dia sudah mula membiasakan diri.
Katanya, dia mesti memilih bidang lain kerana peluang pekerjaan dengan kemahiran yang dimiliki amat terhad di negeri ini berbanding Johor dan Kuala Lumpur dan menganggap penternakan merupakan jalan penyelesaiannya.
“Pada mulanya saya tidak tahu apa-apa mengenai rusa tapi saya belajar sedikit demi sedikit daripada mereka yang lebih berpengalaman dan mendapatkan maklumat mengenainya melalui internet.
“Saya merujuk kepada Pejabat Veterinar dan yakin dapat memenuhi syarat dikeluarkan terutamanya syarat tidak boleh menternak biri-biri dalam waktu sama bagi mengelak jangkitan kuman,” katanya.
Mustafa berkata, rusa lebih senang diternak berbanding haiwan lain kerana terlalu mudah untuk mendapatkan makanan yang sesuai selain dedak khusus untuknya.
Menurutnya, ketika memulakan projek penternakan rusa setahun lalu, membeli rusa jantan dan betina pada harga RM5,000 di Pasir Mas.
“Saya memang berhasrat mengkomersialkan projek penternakan ini, menternak dan menjualnya sebagai sumber pendapatan utama dan saya berharap jabatan berkaitan membantu usaha saya ini.
“Masih banyak yang perlu saya pelajari dalam bidang ini atau bidang lain yang boleh saya usahakan sebagai projek sampingan di atas tanah kebun ini,” katanya.