Friday, December 16, 2016

Bakal Berduet Dalam Konsert, Afgan Yakin Kredibiliti Fazura



Afgan bakal berduet dengan Fazura dalam konsert jelajahnya, Sides di Miri, Sarawak pada 24 Disember ini.
PETALING JAYA: Bintang terkenal Indonesia Afgan yakin dengan kredibiliti Fazura sebagai penyanyi apabila mereka bakal berduet pada konsert jelajah Sides yang akan diadakan di Miri, Sarawak.
Afgan atau Afgansyah Reza, 27, berkata, walaupun kemampuan Fazura sebagai penyanyi pernah dipertikaikan namun dia melihat gabungan mereka itu nanti sebagai peluang wanita itu membuktikan bakatnya kepada peminat.

"Tidak adil untuk terus menilainya hanya kerana kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Saya sebagai penyanyi juga bukan selalunya sempurna ketika mengadakan persembahan dan seharusnya dia diberi peluang untuk membuktikan diri.

"Saya yakin dengan kredibilitinya sebagai penyanyi walaupun kami tidak pernah bekerjasama sebelum ini," katanya.
Afgan menang trofi Personaliti Luar Negara Melodi pada Anugerah Melodi 2016 baru-baru ini.
Konsert jelajah tersebut bakal diadakan di Stadium Bandaraya Miri, Sarawak pada 24 Disember ini.

Selain Miri, Afgan akan mengadakan sebuah lagi konsert di Johor Bahru pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, ditanya tentang pemilihan Fazura, Afgan berkata, ia dibuat oleh pihak penganjur yang ingin menggandingkan mereka.

Kata Afgan, sebelum bersetuju dia terlebih dahulu mendengar lagu nyanyian Fazura selain menonton muzik video penyanyi itu di Youtube kerana bersikap selektif berhubung penyanyi yang akan bekerjasama dengannya.

"Saya belum memilih lagu apa yang bakal kami persembahkan tetapi pastinya ia bersesuaian dengan vokal Fazura.
Fazura.
"Walaupun agak bimbang kerana belum pernah bertemu dengannya tetapi pihak penganjur ada menghantar lagu dan muzik video nyanyiannya untuk saya dengar," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai konsert itu, Afgan berkata, dia bakal menyampaikan 20 lagu menerusi persembahan yang dijangka berlangsung selama dua jam itu.

Dalam perkembangan lain, Afgan mengakui terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang anugerah Personaliti Luar Negara Melodi, Anugerah Melodi 2016 baru-baru ini.

Kata Afgan lagi, kemenangan itu disifatkan Sebagai mewakili artis dari negaranya yang berjaya diterima peminat di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: