KAMPUNG BELUKAR - Seorang kerani di sebuah syarikat lesen memandu sudah serik untuk memakai barang kemas ke tempat kerja selepas kerugian hampir RM3,500 apabila dipukau semasa berada di tempat kerjanya di Langgar, baru-baru ini.
Norfiza Ismail, 23, berkata, dia dipukau oleh seorang pelanggan yang mendakwa mahu mengambil lesen memandu dan perwatakan pelanggan tersebut nampak baik dan berkata-kata manis.
Menurutnya, dia kerugian seutas rantai leher emas yang bernilai RM2,000 dan seutas rantai tangan yang berharga RM1,500 dan semasa dia dipukau dia mendakwa seolah-olah mengikut arahan pelanggan itu untuk membuat apa yang disuruhnya.
“Semasa kejadian kira-kira jam 3 petang, datang seorang gadis yang ‘free hair’, memakai cermin mata dan selalu tersenyum manis bertanyakan mengenai bayaran untuk mengambil lesen kereta dan memperkenalkan namanya sebagai Intan.
“Perwatakannya yang baik dan ramah membuatkan saya rasa selesa dan dia menyatakan akan berkahwin dalam seminggu lagi dan menyatakan bahawa dia tinggal di Taman Bandar Baru Pokok Sena,” katanya semasa ditemui Sinar Harian di rumahnya, di sini.
Norfiza berkata, ‘Intan’ juga memberitahu bahawa bapanya bekerja sebagai seorang anggota polis, manakala ibunya pula bekerja sebagai seorang jururawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Disebabkan latar belakang yang baik, saya bertambah mesra dengannya dan bercakap seolah-olah seperti seorang kawan yang lama tidak jumpa,” katanya.
Menurutnya, selepas 15 minit bercakap, Iintan’ mula memainkan peranannya dengan bertanyakan tentang rantai leher dan rantai tangan yang dipakainya dan bertanyakan di mana dibelinya kerana dia juga sudah lama mahu mencari bentuk rantai seperti itu.
“Mula-mula pelanggan itu meminta saya melukis bentuk rantai leher dan rantai tangan saya, saya kata pada dia saya tidak pandai melukis,” katanya.
Norfiza berkata, selepas itu, Intan melihat betul-betul pada matanya dan dia juga sama-sama berbuat demikian, tidak lama kemudian dia hanya melihat Intan membuka rantai tangannya dan meminta dia membuka rantai lehernya, dia seolah-olah hanya menurut apa yang disuruhnya.
“Waktu itu, saya sedar tidak sedar dan nampak apa yang dia buat dan hanya melihat dia keluar begitu sahaja, selepas dia tidak nampak di depan mata, barulah saya sedar bahawa saya dipukau dan cuba mengejar tetapi kelibatnya sudah hilang,” katanya.
Menurutnya, selepas itu dia terus pergi membuat laporan di Balai Polis Langgar dan tidak lama selepas itu Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar memintanya datang untuk membuat pengecaman melalui rekod gambar.
“Rupa-rupanya gadis itu sudah lama membuat kerja ini dan sudah banyak orang yang telah terpedaya, dan pihak polis juga menyatakan mereka juga sedang berusaha menjejaknya,” katanya.
Norfiza berkata lagi, niatnya untuk memakai rantai leher emasnya yang berharga RM3,000 yang diterimanya sebagai hantaran perkahwinannya itu pada pagi sebelum dia dipukau tidak jadi, dan dia beralih untuk memakai rantai leher lamanya dan bersyukur hantaran kahwinnya masih lagi dalam simpanannya.
“Walaupun rantai leher lama, namun dia sangat bernilai dan selepas ini saya sudah serik untuk memakai barang kemas untuk pergi ke tempat kerja,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: