![]() |
ARTIS: Dayang Nurfaizah
GENRE: Pop R&B
KOLABORASI antara penyanyi bersuara lunak dari Sarawak dengan Planet Hollywood Kuala Lumpur begitu sinonim. Sebelum pusat hiburan terkenal itu menghentikan operasinya di negara ini, Dayang Nurfaizah acap kali menjadikannya sebagai destinasi utama untuk melancarkan apa saja aktiviti berkaitan karier seninya.
Keakraban itu juga menyebabkan Dayang sering mengabadikan detik istimewa setiap kali menyambut ulang tahun kelahirannya di pusat hiburan berkenaan dengan sebuah persembahan istimewa. Tiada jemu, tiada lelah kerana bagi Dayang, persembahan istimewa itu adalah sebagai tanda penghargaan serta terima kasih atas sokongan peminat yang sentiasa bersamanya.
Saat suka dan duka Dayang diabadikan bersama mereka yang menghargai bakat besar miliknya hingga akhirnya melahirkan sebuah rakaman yang sangat bermakna dalam diri penyanyi itu.
Tiada siapa menafikan kekuatan bakat yang dimiliki penyanyi bertubuh kecil molek ini. Keampuhan vokalnya yang tersendiri meletakkan Dayang dalam kelas yang tersendiri. Tiada tolok banding kerana kelebihannya meletakkan Dayang di liga yang selesa.
Album ini menghimpunkan rangkaian lagu terbaik pernah dirakamkannya , dibawakan kembali secara langsung dengan iringan pemuzik ternama seperti Jenny Chin, Mac Chew, Lewis Pragasam, Aji, Andy Peterson serta dua penyanyi latar, Eja dan Widy.
Semua yang terbaik bersatu dalam sebuah album lalu dan pastinya, ia menghidangkan sebuah produksi yang berbaloi untuk dimiliki.
Mengimbangi antara lagu popular nyanyiannya serta lagu kegemarannya, setiap satu saling melengkapi untuk memberi sebuah hiburan secara langsung dalam sebuah album.
Antara lagu popular Dayang yang dialunkan dalam persembahan itu adalah Hakikat Cinta, Seandainya Masih Ada Cinta, Erti Hidup, Pintaku Yang Terakhir dan Hilang.
Nikmati juga kelunakan Dayang mengalunkan dengan gaya tersendiri lagu Inggeris kegemarannya seperti We Belong Together, Touch My Body, No Air, Umbrella, Bleeding Love dan Sexyback secara medley.
KATA HIP:
ALBUM yang menterjemahkan kehebatan Dayang di pentas kecil sebelum berjaya merealisasikan impiannya beraksi di konsert besar. Dia sudah bersedia untuk sebuah konsert besar cuma mungkin masa belum menyebelahinya.
ARTIS: Hijau Daun
GENRE: Pop Progresif
TERLEBIH dulu mengenali permainan dunia hiburan di kampung kelahiran, Didie, Arya, Richan, Array dan Deny melangkah serius sejak 2002 dan melahirkan dua single yang menerima sambutan hebat di Lampung, Indonesia.
Album perdana, Ikuti Cahaya mengangkat 10 lagu bernuansa pop progresif membentangkan pelbagai selitan irama menyegarkan termasuk sentuhan Brit Pop dalam lagu seperti Dejavu dan Lihatlah.
Membawakan falsafah klorofil yang memberi oksigen kepada kehidupan, Hijau Daun berharap kehadiran mereka dapat memberi nafas baru kepada kehidupan muzik Indonesia.
Percubaan yang ternyata berhasil apabila album yang mempertaruhkan Suara (Ku Berharap) sebagai single pertama ini melonjak di posisi yang selesa sebaik dipasarkan pada 26 Ogos 2008.
Mencatat sebagai sebuah band yang melakar fenomena menerusi penjualan nada dering melebihi tiga juta unit, lalu bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Sony Music cuba mengetengahkan mereka di negara ini.
Malangnya, Hijau Daun juga tidak bebas daripada apa yang pernah dipersembahkan band yang hadir terdahulu sebelum mereka. Atau mungkin kerana berasal dari Lampung, maka persembahan muzik mereka kental dengan nuansa Melayu dan mendayu-dayu.
Mereka cuba mengikuti jejak yang diukir Peterpan kerana ada beberapa persamaan dalam persembahan. Malangnya usaha itu tidak berhasil kerana produksi ini tidak disokong sentuhan hebat dan mengesankan.
Menyemak senarai lagu dari trek pertama hingga terakhir, tiada sentuhan luar biasa yang membezakan Hijau Daun dengan band Indonesia lain.
KATA HIP:
PRODUKSI kurang mantap serta tidak disokong faktor kuat lain yang mampu menunjangi perjuangan Hijau Daun untuk mencipta nama besar di negara ini.
ARTIS: Ciara
GENRE: R&B/Hip Hop
ALBUM ketiga yang menterjemahkan kematangan malah meluahkan kewanitaan dan seksualitinya dengan lantang dan berani.
Paparan yang ketara menerusi klip video single perdananya, Never Ever dan Love Sex Magic yang menyatukannya dengan Justin Timberlake membuahkan keyakinan terhadap produksi terbarunya ini.
Ciara hadir lebih mempesona apabila bersatu dengan nama hebat seperti Ludacris, Chris Brown, Justin Timberlake dan Missy Elliott, mengadunkan alunan R&B dan hip hip yang membentuk identitinya dengan sentuhan pop menggoda.
Fantasy Ride juga memperlihatkan keberanian Ciara untuk keluar daripada kepompong selesanya, sebaliknya memperluaskan spektrum muziknya dengan mencuba genre yang pelbagai.
Mungkin Ciara bernasib baik kerana dapat bekerjasama dengan penerbit berprofil tinggi, namun ia tidak semestinya membuahkan pulangan yang memuaskan.
Jujurnya Ciara bukan penyanyi yang mempunyai vokal hebat, namun produksi ini dibantu oleh pemuzik hebat yang berjaya menzahirkan sesuatu yang mengagumkan ketika di studio.
KATA HIP:
PERSONALITI penyanyi juga memainkan peranan untuk menghidupkan sesebuah produksi dan persembahan Ciara ada ketika dibayangi oleh faktor lain hingga melonggarkan identiti dirinya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: