Thursday, June 4, 2009

Festival pamer budaya 7 negara


PERSEMBAHAN kebudayaan etnik Sabah turut dipersembahkan di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Pelbagai persembahan unik di Pasar Seni mulai esok sehingga hujung minggu ini

LEBIH 10,000 pelancong asing dijangka mengunjungi Festival Kebudayaan Pelancongan Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang julung kali diadakan bermula hari ini sehingga hujung minggu ini dan jumlah itu bertambah 8,000 lagi sempena musim cuti sekolah ini.

Pelancong berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan etnik daripada tujuh negara yang berkampung di perkarangan Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Pengarah yang juga penganjur dari Rentasche Carriers Sdn Bhd, Rasydan Rahim berkata, festival yang bertujuan mempromosikan pelbagai budaya tempatan negara masing-masing diadakan bagi memperkenalkan negara ini ke peringkat antarabangsa.

“Antara negara yang bersetuju hadir bagi memeriahkan festival ini adalah Jepun, Brazil, India, Thailand, Indonesia dan Singapura. Ia akan memaparkan kriteria etnik dan antarabangsa negara yang terbabit bagi mempromosikan produk pelancongan disamping mengembangkan pengaruh festival sebagai penghubung budaya antara Malaysia dan seluruh dunia.

“Ini adalah kali pertama ia diadakan di negara ini. Sebelum ini kita pernah menghantar beberapa kumpulan kebudayaan ke luar negara bagi menyertai festival kebudayaan yang dianjurkan negara luar.

Rasydan Rahim

“Saya sangat berbesar hati apabila negara ini terpilih sebagai tuan rumah buat pertama kali. Kesempatan ini akan diambil untuk memperlihatkan kepelbagaian kebudayaan negara kita kepada pengunjung luar negara,” katanya.

“Festival ini berasaskan lima elemen utama iaitu tarian, peralatan muzik, masakan, permainan dan fesyen tradisional selain jejak warisan negara. Saya yakin pelancong akan tertarik dengan pelbagai permainan tradisional yang bakal kita tunjukkan pada festival itu seperti dam aji, gasing, congkak, anyaman bakul, batik lukis dan banyak lagi.

“Setiap negara akan membawa kebudayaan etnik mereka untuk dipersembahkan kepada negara kita, selain persembahan istimewa setiap negara yang akan diadakan pada setiap hari. Mereka juga akan membawa pelbagai barangan kebudayaan untuk dipamerkan kepada kita.

“Pengunjung tempatan turut berpeluang mengenali dan merasai pengalaman mengenai kebudayaan di setiap negara yang menyertai festival ini. Saya juga percaya ramai pengunjung yang selama ini tidak pernah melihat kebudayaan negara luar dan inilah masanya untuk mereka merasai sendiri pengalaman itu,” katanya.

Festival yang mendapat sokongan dan bantuan Kementerian Pelancongan Malaysia dan Tourism Malaysia akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan.

“Saya berharap festival ini akan terus diadakan setiap tahun dan kita berharap peningkatan penyertaan daripada negara luar akan terus bertambah pada setiap tahun,” katanya.

Aktiviti sepanjang tiga hari

5 Jun (Jumaat)

10 pagi : Latihan oleh semua negara dan Pasar Seni

2 petang : Pameran dan persembahan kebudayaan daripada semua negara.

8.30 malam : Majlis perasmian Festival Kebudayaan Pelancongan Antarabangsa Kuala Lumpur 2009



6 Jun (Sabtu)

2 petang : Pameran, demonstrasi batik lukis, permainan tradisional dan persembahan kebudayaan daripada semua negara.

8.30 malam : Persembahan kebudayaan daripada semua negara

7 Jun (Ahad)

2 petang : Pameran, demonstrasi batik lukis, permainan tradisional dan persembahan kebudayaan daripada semua negara.

8.30 malam: Majlis penutupan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: