Tuesday, June 23, 2009

Udang kerpan ke Eropah Oktober


SHAHRIDAN (kiri) bertukar dokumen dengan Prof. Abu Bakar sambil di perhatikan oleh Nor Mohamed (tengah) dan Mukhriz di Jerlun semalam.


JERLUN - Blue Archipelago Berhad (Blue Archipelago) akan membina sebuah kilang memproses udang mentah dan pusat penetasan udang bernilai RM20 juta di ladang berkenaan sebelum mengeksportnya ke pasaran Eropah, Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Shahridan Faiez berkata, kilang yang terletak dalam ladang Kerpan itu dijangka mampu memproses 20 tan udang mentah sehari.

"Kita akan dapat mengeksport udang itu ke Eropah dengan baik kerana lokasi kolam dan kilang berada di tempat yang sama.

"Syarikat turut menerima nombor pendaftaran dari Eropah dan ini akan memudahkan kerja-kerja mengeksport udang-udang Kerpan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian program pembangunan kemahiran akuakultur antara Blue Archipelago dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.

Syarikat itu mengambil alih ladang tersebut pada 1 Januari lalu.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor UPM, Prof. Abu Bakar Salleh; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menurut Shahridan, antara usaha yang akan dilakukan syarikatnya ialah menaik taraf infrastruktur ladang yang kini berusia lebih daripada 15 tahun itu.

Tambah beliau, antara kelebihan yang terdapat di ladang yang memiliki 226 kolam itu ialah ia turut dilengkapi dengan sistem pengambilan air sepanjang 2.8 kilometer ke Selat Melaka.

"Kami mampu mengeluarkan antara 1,500 hingga 2,000 tan udang harimau setahun," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: