Tuesday, June 2, 2009

Tatu bukan bukti cinta


KAREENA KAPOOR


AKTRES Kareena Kapoor dikenali sebagai seorang yang tidak malu untuk meluahkan segala isi hatinya kepada umum.

Apabila ditanya tentang cinta yang terputus di tengah jalan bersama Shahid Kapoor dan cinta hati semasanya bersama pelakon Saif Ali Khan, Kareena tidak akan menolak soalan tersebut. Malah dia dengan tenang kelihatan selesa menjawab soalan yang diaju.

"Saya tidak pernah rasa tidak selesa apabila menjawab soalan tentang Shahid atau pun Saif. Memang Shahid pernah berada dalam hidup saya, tetapi kami tidak ditakdir bersama.

"Namun, kami mempunyai banyak kenangan bersama dan Shahid seorang lelaki yang cukup baik. Saya tidak kekok kerana saya menghormati kehidupan lampau saya.

"Sama juga dengan Saif, dia juga menghormati kehidupan lampau saya dan saya menghormati kehidupannya dahulu. Tiada apa yang hendak disembunyikan," ujarnya.

Apabila ditanya mengapa akhir-akhir ini Saif semakin kurang dilihat bersamanya, mungkinkah hubungan yang terbina menuju ke arah keretakan, Kareena bagaimanapun menolak dakwaan tersebut.

"Sekarang ini masa untuk bekerja. Dia juga sedang sibuk sebagai seorang penerbit dan filem terbarunya, Love Aaj Kal. Kami tidak perlu kerap berjumpa, kerana kami telah menghabiskan masa bersama secukupnya," katanya sambil memberitahu tidak merancang untuk berkahwin dalam jangka masa dua tahun akan datang seperti yang digembar-gemburkan.

Biasanya pasangan bercinta akan membuat tatu di badan masing-masing sebagai bukti cinta, berlainan pula dengan Kareena yang mengatakan tatu tidak diperlukan sebagai bukti cinta.

"Saif tidak suka wanita yang mempunyai tatu. Dia merasakan wanita terlalu suci untuk ditandakan dengan tatu. Saya juga memiliki pandangan yang serupa dengannya. Tanpa tatu, saya rasa, dia tahu betapa saya mencintainya," ungkap Kareena lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: