![]() |
| MENTOR kumpulan Evo, Jaclyn Victor mengalirkan air mata ketika anak didiknya diumumkan tersingkir untuk mara ke peringkat separuh akhir. |
BERBANDING awal kemunculan rancangan realiti Mentor yang dimulakan pada tahun 2005, kesuraman program pencarian bakat nyanyian terbitan TV3 itu semakin kian dirasai.
Entah di mana silapnya, rata-rata membangkitkan persoalan yang serupa. Hambar dan kurang menyengat.
Mungkinkah disebabkan impak daripada lambakan pelbagai rancangan realiti di negara ini maka kemeriahan dan kekuatan yang ada pada Mentor umpama 'disedut' dan hilang sedikit demi sedikit atau mungkinkah kerana Mentor musim kali ini bersiaran tiga tahun selepas Mentor 2 melabuhkan tirai, menyebabkan ia kian dilupakan?
Ironinya, format yang ada pada Mentor sudah cukup membuktikan bahawa rancangan itu berbeza daripada mana-mana rancangan realiti nyanyian lain.
Mempertaruhkan nama-nama besar pentas nyanyian sebagai mentor, paparan-paparan menarik yang mengupas bagaimana seseorang mentor mendidik serta mendedahkan teknik nyanyian kepada protege mereka ternyata sesuatu yang cukup menarik untuk dikongsi bersama peminat.
Namun, selama tiga musim mengetengahkan format yang serupa, rancangan yang berjaya mencungkil bakat Pija dan Fiq sebagai juara musim pertama dan kedua itu dilihat semakin kurang impaknya.
Di mana silapnya, kurang publisiti atau kegagalan pihak penganjur mengetengahkan keunikan para peserta Mentor itu sendiri?.
Atau mungkinkah kerana masyarakat hari ini sudah mula muak dengan kebanjiran artis realiti?. Tepuk dada tanya selera.
Menjawab persoalan tersebut, Penerbit Mentor 3, Muhamad Sufian Isa berkata, sesiapa sahaja boleh mengeluarkan pendapat masing-masing.
"Dengan adanya beberapa pembaharuan, kita buat yang terbaik untuk Mentor kali ini.
"Setakat ini, penerimaan daripada penonton memang sangat baik. Lagipun, dalam Mentor yang kita ingin tonjolkan ialah bakat.
"Kelainan yang kita buat untuk Mentor kali ini termasuklah perkenalkan memanggil peserta-peserta yang gagal dalam uji bakat Mentor sebelum ini untuk menyanyi pada setiap akhir konsert.
"Saya tengok ia memang mendapat maklum balas yang baik daripada penonton dan tidak ada lagi pada mana-mana rancangan realiti televisyen lain," kata Sufian sambil memberitahu Mentor 3 ditonton oleh 2.9 juta penonton setiap minggu.
Malam Ahad lalu menyaksikan protege Lah Ahmad iaitu Fira atau nama sebenarnya Hunanis Zafira Huzaini, 18, menguasai pertandingan.
Dengan jumlah mata sebanyak 72.1 peratus termasuk 15 markah yang diberikan oleh juri awam, Fira yang menyanyikan dua buah lagu iaitu Terlanjur Bercinta duet bersama penyanyi Faizal Tahir serta medley Ayat-Ayat Cinta dan Just Dance membuktikan kehadirannya dipentas itu bukan sia-sia.
Bersama dua pesaing kumpulan A iaitu Chaq dan Evo, mereka berentap merebut tempat ke peringkat separuh akhir kumpulan A.
Dengan mata terkumpul sebanyak 162.4 peratus, Fira mengenepikan hak Evo yang memperoleh 161.7 peratus mata terkumpul untuk ke peringkat separuh akhir kumpulan A bersama Chaq yang berjaya mempertahankan mata terkumpul tertinggi sebanyak 190.9 peratus.
Keputusan di atas kertas dua minggu lalu dilihat lebih memihak kepada Chaq dan Evo. Apatah lagi masing-masing memperoleh jumlah mata 138.3 peratus dan 109.4 peratus berbanding Fira yang hanya memperoleh jumlah mata sebanyak 90.3 peratus.
Mungkin inilah yang dinamakan rezeki. Biarpun hanya memperoleh 39.7 peratus markah pada konsert pertama kumpulan A, dia bangkit membuktikan kebolehan diri apabila peningkatan ketara berjaya ditonjolkan pada konsert kedua kumpulan A sehingga berjaya memperoleh sebanyak 50.6 peratus markah.
Tidak dinafikan persembahan Fira pada malam tersebut cukup memukau dengan serlahan vokal menerusi lagu Terlanjur Bercinta.
Kenapa Jac menangis?
Penyingkiran Evo pada minggu lalu ternyata memberi impak yang bukan kecil kepada mentornya, penyanyi terkenal Jaclyn Victor.
Malah, penyanyi itu turut mengalirkan air mata apabila dua anak didiknya itu terkandas untuk ke peringkat seterusnya.
Persoalannya, mengapa Jac perlu menangis?.
Apakah kerana perasaan kasihan atau rasa kecewa dengan keputusan juri?
Sudah menjadi adat pertandingan realiti. Kalau tidak memang sudah tentu terkandas dan sebagai seorang yang pernah lahir daripada program realiti (Malaysian Idol), Jac seharusnya lebih bersikap profesional.
Bagaimanapun, bukan saja-saja dia ingin mempamerkan riak kesedihan di khalayak ramai.
Ketika ditemui sejurus selesai konsert ketiga kumpulan A, Jac memberitahu masanya telah banyak dihabiskan untuk menjayakan Mentor.
Bukan tidak puas hati, namun sebagai mentor, kata Jac dalam masa yang singkat dia dapat melihat peningkatan dan usaha daripada dua anak didiknya itu.
"Saya sudah cuba sedaya upaya untuk mengajar mereka (anggota Evo). Saya menangis bukan kerana kalah atau tersingkir tetapi mengenangkan terlalu banyak masa yang saya sudah beri.
"Bukan itu sahaja, saya ada minta bantuan daripada orang berpengalaman dalam seni iaitu Syafinaz Selamat dan Pat Ibrahim untuk membantu persembahan mereka.
"Saya cuba nak memuaskan hati semua orang. Tetapi nak buat macam mana, hari ini (Ahad lalu) tidak kesampaian.
"Bila buat sungguh-sungguh komen pula agak kurang memberangsangkan. Mungkin sebab masa latihan tidak mencukupi. Dalam masa yang singkat saya mengajar mereka (Evo), saya harap mereka telah faham apa yang saya cuba sampaikan," kata Jaclyn mengulas mengenai penyingkiran anak didiknya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: