Friday, June 19, 2009

H1N1: Wajib isi borang isytihar kesihatan


MUHYIDDIN bersama Tiong Lai
menunjukkan poster panduan kesihatan untuk menangani virus H1N1 pada sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam.


KUALA LUMPUR - Semua pelancong, pelawat atau warganegara Malaysia yang kembali dari luar negara diwajibkan untuk mengisi borang pengisytiharan kesihatan bermula minggu depan.

Peraturan itu akan diwartakan oleh Kementerian Kesihatan dan mereka yang melanggar arahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, borang tersebut akan dicetak dalam beberapa bahasa untuk kemudahan orang ramai.

"Borang ini wajib diisi di semua pintu masuk ke negara ini termasuk di lapangan terbang dan borang itu perlu diserahkan kepada pegawai kesihatan. Proses pemantauan dibuat untuk mengetahui mereka dijangkiti atau tidak.

"Jadi, saya minta semua pihak tidak mengabaikan perkara ini dan membantu kita malah peraturan ini sudah diguna pakai di banyak negara," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik Influenza A (H1N1) di Parlimen semalam.

Sehubungan itu, semua pejabat kedutaan Malaysia di seluruh dunia akan diberitahu mengenai peraturan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: