Monday, June 1, 2009

SMS pengukuh cinta...Darling




SUDAH namanya jodoh. Seruan Ilahi sudah tiba dan pilihan hati juga sudah termeteri menjadi satu hubungan yang suci lagi dirahmati.

Siapa sangka, selepas satu perkenalan yang tidak dijangka pada Ogos 2008, Nasreen Ngasri, 26, atau lebih dikenali sebagai Darling rupa-rupanya telah bertemu seorang lelaki yang tepat. Lelaki yang diamanahkan sebagai pemimpin untuknya di dunia dan di akhirat, serta lelaki yang dijodohkan sebagai teman hidup dan kini sah bergelar suami.

"Hubungan kami cepat, macam air lalu, tetapi bukan bermakna kami tidak mengenali hati budi masing-masing.

"Bagi saya, dialah lelaki yang tepat untuk saya. Dia sangat matang walaupun usianya baru 34 tahun, ikutkan umur, saya kira dia masih muda. Begitu juga dengan Azlin (suami), dia juga rasa dah sampai waktunya. Dia sudah mampu untuk berkahwin dan yang penting kami serasi bersama," ujar Darling dalam senyum mekar di bibir.

Di wajah Darling masih bersisa debaran bergelar pengantin baru, apatah lagi, majlis pernikahannya menjadi lebih bermakna apabila insan yang paling banyak berjasa dalam hidupnya, bapa sekali gus walinya sendiri, Ngasri Sain bertindak sebagai juru nikah yang menyempurnakan detik ijab kabulnya.


CINTA memerlukan pengorbanan dan demi kesempurnaan keluarga yang dibina, kedua-dua pengantin baru ini sedia untuk melakukannya.


"Bukan sahaja kami, saya tahu babah (panggilan untuk bapanya) juga gementar sewaktu mahu menikahkan kami. Dia boleh jadi pengacara di depan ribuan orang ramai, tapi semasa mahu menikahkan saya, saya nampak dia berdebar-debar," ujar Darling yang anggun dalam busana serba putih, rekaan Putra dari Butik Cosry.

Biarpun sudah bergelar isteri, hubungan anak dengan bapa tidak akan terputus. Tanggungjawab selama 26 tahun menjaga dan membesarkan Darling sudah bertukar tangan. Daripada tangan seorang ayah, kini tugas itu terpikul di bahu Nur Azlin.

Bagi Ngasri, barangkali soal itu yang membuatkan kolam matanya berlinangan. Sejak dilahirkan hingga dewasa mereka tinggal serumah, kini seorang lagi anak perempuannya 'diambil' lelaki lain demi untuk membina keluarga sendiri.

"Saya akui, di kalangan enam orang anak saya, Darling yang paling rapat dengan saya. Dengan dia, saya banyak bercerita dan banyak beri nasihat. Perkahwinan bukan untuk setahun atau dua tahun tapi untuk seumur hidup, itu yang saya nasihatkan kepada anak-anak. Kepada Bell (abang Darling) pun begitu juga.

"Setakat ada seorang atau dua orang anak, itu belum cukup, belum ada apa sebenarnya. Kena banyak bersabar dan buang ego, bila dah lepas lapan tahun barulah rasa lega sikit.


MASA depan yang masih jauh mahu diteroka bersama-sama selepas Darling dan Azlin bergelar suami isteri.


"Kahwin adalah permulaan hidup dan saya sedar, perkahwinan sekarang menjadi semakin sukar kerana masing-masing bekerja. Isteri juga penyumbang pendapatan, tapi bila isteri kerja, suami jangan ambil mudah. Itu yang buat isteri terasa hati sedangkan suami wajib menjaga segala kebajikan dan keperluan isteri," katanya yang sudah 36 tahun berkongsi hidup dengan isteri, Habibah Jaafar.

Kahwin juga haruslah ikhlas demi sehidup semati. Jika ada satu pihak menyakitkan hati, janganlah mahkamah dijadikan sasaran. Itulah antara pesanan Ngasri untuk Darling sebagai benteng hidup berumah tangga.

Suami Darling, Nur Azlin bukan artis, bahkan ketika di awal perkenalan, dia tidak pernah tahu bahawa Darling seorang pelakon yang lahir daripada sebuah keluarga seni.

Apabila berkahwin dengan seorang selebriti, paling tidak, tempias populariti pasti akan terpercik ke mukanya. Baik buruk kehidupan mereka sebagai suami isteri pasti akan sampai ke pengetahuan media.

Kelihatan kekok dan terhenti-henti dalam berbicara, mungkin Nur Azlin perlu lebih masa untuk lebih serasi bersapa dengan media.

Bagi Azlin, dia tidak pernah mempersiapkan diri dengan sebarang persediaan untuk bergelar suami artis. Soal latar belakang dan cerita sensasi yang pernah membabitkan isterinya tidak pernah mencetuskan kegusaran di hati Nur Azlin. Apa yang penting, mereka berdua tahu di mana tempat berpihak.


KELUARGA besar Darling memberi sepenuh restu kepada pernikahan ini.


"Saya tahu dan faham karier artis. Saya harap dia tahu jaga diri, faham tanggungjawab seorang isteri. Saya percaya kepadanya dan mahu dengar apa sahaja berita daripada mulutnya sendiri, bukan daripada orang lain," kata Nur Azlin yang bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Tambah Nur Azlin juga, dek kesibukan jadual dan komitmen terhadap karier masing-masing, mereka jarang bertemu sepanjang tempoh perkenalan. Selain pandangan mata, SMS menjadi pengikat kasih mereka.

"Saya selalu bertugas di luar kawasan, selalu ke luar negara. Bila di luar negara, nak buat panggilan pun susah, agak mahal. Jadi SMS sajalah.

"Kami selesa berhubung melalui SMS, daripada awal kenal, sampailah kahwin. Adakalanya sukar untuk saya berkata-kata secara langsung, kalau dengan SMS, lebih mudah, tulis saja. Tetapi saya lamar dia secara terbuka, bukan menerusi SMS," kata lelaki berkulit cerah ini sedikit tergelak.

Masing-masing miliki karier. Selain berlakon, Darling sendiri bergelar penerbit dan memiliki syarikat produksi sendiri manakala Nur Azlin pula sering ke luar negara kerana komitmen kerja. Darling dan Nur Azlin menjadikan masa dan jadual kerja sebagai perkara utama untuk mereka berkompromi.


DARLING dan Azlin berjanji untuk saling melengkapi, kasih mengasihi dan sayang menyayangi.


Darling juga percaya hanya komunikasi yang berkesan dapat mengekalkan sesebuah hubungan.

"Saya pernah cakap dengan Azlin, kalau kami tak boleh berkompromi dengan masa dan jadual kerja saya yang tidak menentu, lebih baik jangan buat keputusan untuk berkahwin.

"Kami bincang soal itu secara masak-masak dan masing-masing setuju. Tapi dalam bab menyesuaikan diri dengan status dan tanggungjawab sebagai isteri, saya akui, saya kena ambil sedikit masa.

"Selama 26 tahun saya hidup solo, lepas jadi isteri kena jaga makan dan pakai suami, berat sikit rasanya," luah Darling tidak mahu berlawan dengan adiknya, Anne dalam soal anak.

Sama seperti suami yang tidak menetapkan sebarang tempoh untuk memiliki zuriat sendiri, kata Darling, dia menerima dengan hati terbuka jika dikurniakan anak dalam masa terdekat.

"Saya rapat dengan anak-anak saudara, tapi tak boleh lawan Anne. Dia seorang ibu yang produktif," kata Darling berseloroh, 'mengenakan' adiknya, Anne Ngasri yang juga seorang pelakon popular.

Tentang perancangan untuk berbulan madu, Darling dan Nur Azlin memilih Paris sebagai lokasi paling ideal untuk diabadikan sebagai destinasi impian mereka.

"Tiket sudah ditempah tapi apa yang merisaukan saya adalah penularan wabak H1N1. Kalau jadi, bulan depan kami akan ke sana tapi sebelum itu, kami ada juga merancang hendak bercuti ke tempat lain, tengoklah nanti," katanya yang masih perlu mempersiapkan diri untuk majlis persandingan di rumah pengantin lelaki di Bukit Katil, Melaka, Khamis ini.

Secara kebetulan majlis pernikahan Darling pada 30 Mei lalu berlangsung sehari sebelum tarikh lahir bapanya, Ngasri Sain yang jatuh pada 31 Mei, manakala tarikh sama juga diabadikan sebagai tarikh persandingan Darling dan Nur Azlin. Tarikh lahir Darling pula jatuh pada 2 Jun.

"Tarikh itu memang bermakna tapi bukanlah untuk hadiah hari jadi sesiapa, kami memang merancang dan tarikh itu dipilih kerana kena dengan suasana cuti sekolah," kata Darling mengakhiri 'sidang media' singkat di atas pelamin pernikahan baru-baru ini.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: