Friday, June 19, 2009

Skuad Melodi jadi tumpuan!

Sejak mula diterbitkan pada tahun 1992, Melodi bagaikan tidak punya masa untuk berhenti siaran! Aktiviti persada hiburan yang sentiasa bergolak mendorong Melodi untuk terus tampil setiap minggu menghidangkan paparan yang dinanti umum dalam cara pengolahannya yang tersendiri.

Jika dulu penonton Melodi tertumpu kepada pengacaranya sahaja, namun kini situasinya berubah kerana wartawannya juga turut menjadi tumpuan. Oleh itu Skuad Melodi telah diwujudkan. Skuad yang dianggotai lima wartawan penyiaran hiburan ini diterajui sendiri oleh penerbit rancangan ini iaitu Nas Ahmad, yang popular dengan segmen Terjah.

Satu-satunya wartawan berbangsa Cina iaitu Michelle Wee juga akan terus menggalas tugasan mengendalikan segmen ‘Serkap’ yang kian sinonim dengan dirinya. Bagi segmen ‘Kes’ pula akan dikendalikan oleh wartawan Zamzuri Zaini atau ‘Ayau’. Manakala Azmi Jamsari pula tampil dengan segmen baru iaitu ‘S.A.M.A.N’ (Selesaikan Apa Masalah Artis Negara). Seorang lagi wartawan iaitu Azwan Azmi akan mengendalikan segmen baru iaitu ‘Bicara Filem’.

Walaupun setiap anggota Skuad Melodi mempunyai segmen tersendiri, namun kesemua mereka turut memaparkan hasil tinjauan untuk segmen lain, seperti segmen Panas, Album, Konsert, Kontroversi, Teater, Sensasi, Eksklusif. Selain itu, beberapa segmen juga diperkenalkan, antaranya, Usik-usik Aja, Gegar!, Potensi, Simpati, Tahniah, Sila Jawab, Takziah, dan Gosip.

Mulai Ahad ini juga, Melodi muncul dengan wajah baru yang merangkumi montaj, grafik dan set. Masih mengekalkan pasangan pengacara Wahid dan Fara Fauzana, Melodi dijangka akan terus jadi tumpuan penonton. Jangan lupa saksikan Melodi siaran langsung setiap Ahad jam 12:30 tengah hari, di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: