Friday, June 19, 2009

Bakat lakonan Ray tidak dihargai

Program realiti pertama yang mencungkil bakat lakonan, Pilih Kasih (PK) telah pun memasuki minggu kedua menerusi episod mingguannya Pentas Pilih Kasih (PPK).

Penulis sempat hadir di Auditorium Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban untuk menyaksikan secara langsung PPK yang disiarkan menerusi TV2 pada Sabtu lalu jam 8.30 malam.

Pada pendapat penulis, konsep yang diketengahkan Rosyam Nor selaku penerbit amat berkualiti dan mampu mendidik peserta PK menjadi pelakon berkaliber pada satu hari nanti.

Dengan wujudnya segmen monolog dan teater yang dipersembahkan secara ‘live’ amat menarik minat penulis dan rakan-rakan media yang hadir pada malam itu.

Peserta-peserta yang terpilih cukup berdedikasi mempamerkan bakat lakonan masing-masing walau pun sebelum ini ada di kalangan mereka langsung tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan.

Bayangkan, dalam tempoh seminggu, mereka mampu menggalas tugas yang diberikan kepada mereka. Skrip untuk penggambaran drama pendek, ‘Mangsa’ dan ‘Pemburu’ diterima pada setiap hari Ahad, sehari selepas PPK.

Kemudian, dua hari diperuntukkan masa untuk menjalani penggambaran drama tersebut sebelum mula menerima tugasan berikutnya iaitu monolog dan teater. Dua hari juga diperuntukkan untuk menjalani latihan sesi monolog dan teater itu di Istana Budaya sebelum mengadakan rehearsal di Auditorium Tuanku Muhammad, Seremban.

Apa yang mereka lalui cukup mencabar dan memenatkan tetapi hasilnya pada malam PPK amat mengagumkan kami di kalangan media. Syabas diucapkan kepada tenaga pengajar.

Namun pada sesi penyingkiran malam itu, peserta yang mendapat pujian dalam kalangan juri kerana bakat lakonannya yang cukup meyakinkan, Ray Redzuan terpaksa menghadapi kenyataan bahawa perjuangannya dalam PK berhenti di situ.

Panel juri yang terdiri daripada Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah dan pengarah terkenal, Aziz M Osman serta Rosyam sendiri amat kecewa dengan keputusan itu tetapi sudah lumrah program realiti yang nasib perserta ditentukan oleh jejari pengundi.

Ketika ditemu bual pada sidang media sejurus selepas persembahan, Ray akui bahawa dia tidak menyangka akan tersingkir pada malam itu.

“Tidak terlintas langsung saya akan tersingkir pada malam ini, tetapi saya redha sebab sentiasa bersedia. Kecewa juga sebab banyak lagi yang perlu saya pelajari di sini,” jawab Ray mengulas mengenai penyingkirannya.

Ray yang berumur 30 tahun menafikan faktor umur menjadi punca tamatnya perjuangannya pada malam itu.

“Saya tidak terfikir faktor umur punca penyingkiran saya tetapi menganggap rezeki saya tidak ada dalam pertandingan ini.

“Mungkin saya boleh katakan, pecahan undi berlaku sebab ramai peserta berasal dari Sabah turut memasuki pertandingan ini,” jelasnya jujur.

Ray sebelum ini pernah menjadi koreografer kepada pasangan Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang memenangi rancangan Sehati Berdansa dan juga finalis So You Think You Can Dance.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: