Saturday, June 6, 2009

Rumah mekanik ada pistol, peluru - Suspek kes dadah turut miliki tiga bilah parang, cota, kapak, walkie-talkie


WAN ABDUL BARI (dua dari kanan) menunjukkan pistol dan senjata yang dirampas dari rumah seorang mekanik di Taman Tan Yu Lai, Batu 6 1/2, Jalan Puchong, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sepasukan polis yang menyerbu sebuah rumah milik seorang mekanik kereta terkejut apabila menemui pelbagai jenis senjata berbahaya termasuk dua pucuk pistol dan peluru di Taman Tan Yu Lai, Batu 6 1/2, Jalan Puchong di sini kelmarin.

Tangkapan pukul 10 malam itu dilakukan selepas polis menerima satu maklumat mengenai suspek yang kelihatan mencurigakan ketika berada di hadapan rumahnya.

Difahamkan, lelaki berusia 38 tahun amat dikehendaki oleh polis Raub berkaitan kes pengedaran dadah selain pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, selepas disoal siasat, polis kemudian telah pergi ke rumah suspek yang terletak di taman yang sama.

"Polis yang menggeledah rumah suspek menjumpai dua pucuk pistol iaitu jenis lama dan Revolver bersama 39 butir peluru dan tiga bilah parang berukuran antara 0.95 meter dan 1.03 meter.

"Kita turut merampas sebilah kapak, tiga batang besi tajam, sebatang rotan, sebatang cota, dua buah walkie-talkie, beberapa buah telefon bimbit dan sebuah kereta proton iswara berwarna biru,'' katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: