Tuesday, June 23, 2009

Restu Mak Mah...Adlin




Adlin segak dalam persalinan tradisional Jawa, manakala Emelda cantik berkebaya menyerlahkan seri wajahnya

TETAMU yang bertali arus membanjiri kediaman yang tersergam di Kampung Bukit Cherakah, Klang, Selangor disertai cuaca mendamaikan seakan memberi restu kepada langkah baru yang dibina pasangan selebriti, Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila Abdul Hamid.

Debaran menghitung detik mengharap segala perancangan berakhir sempurna terhakis sudah. Apa yang terbentang kini adalah cabaran mengemudi rumah tangga yang dibina bersama restu ibu dan keluarga pada 23 Mei lalu meniti laluan bahagia hingga ke akhir hayat.


Hampir sebulan selepas diijabkabulkan di Masjid An-Nur, Batu 8, Tambun, Perak, pasangan pengantin baru yang mengakhiri ikatan percintaan mereka selama empat tahun dengan lafaz bermakna itu kembali diraikan pada majlis sambut menantu di kediaman keluarga pengantin lelaki pada tengah hari Ahad lalu.

Adlin segak dan kacak dalam persalinan tradisional Jawa, manakala Emelda atau akrab disapa Melayu berkebaya menyerlahkan seri di wajahnya sekali lagi bersanding penuh adat bersama iringan doa moga perkahwinan itu membahagiakan mereka di dunia dan akhirat.

Andai selama ini kediaman yang dibina sejak empat tahun lalu hanya menerima kehadiran ahli keluarga sebagai penyeri, namun petang itu suasananya berubah.



Kediaman pelakon veteran, Ruminah Sidek, ibu kepada Adlin dibanjiri lebih 5,000 tetamu yang sedia meluangkan waktu untuk bersama memeriahkan majlis sambut menantu.

Besar hati Ruminah atau Mak Mah menerima kehadiran semua tetamu yang sudi hadir untuk mendoakan perjalanan baru anak lelakinya itu.

Baginya, kehadiran semua tetamu membawa bersama rezeki dari Allah untuk dikongsi dan majlis sambut menantu itu menjadi lambang keutuhan kasih sayang serta mengeratkan silaturahim antara sesama insan.

Biarpun tidak menang tangan melayan tetamu yang hadir sejak awal jam 9 pagi, namun senyuman yang sentiasa terukir di raut wajah manisnya menterjemahkan segenap ruang bahagia selepas Adlin menemui jodoh dengan Emelda.


Kata Mak Mah, jemputannya sekadar 2,000 tetamu namun sudah menjadi kelaziman jumlah itu akan berganda dan ikhlas dari hatinya, dia berterima kasih kepada semua yang datang.

"Alhamdulillah kerana Allah memberikan laluan yang mudah pada hari ini. Semuanya berjalan dengan baik dan cuaca hari ini juga selesa tidak terlalu panas dan hujan pun hanya seketika.

"Semua yang datang mak raikan untuk sama-sama meraikan hari bahagia ini. Mak hanya insan kecil di depan Allah dan sebab itu mak tidak berkira soal modal kerana Dia yang memberikan rezeki," katanya.

Ruminah bersyukur kerana biarpun menantunya kurang sihat namun majlis itu berjalan sempurna. Malah, malam sebelumnya, kediaman itu disirami dengan doa serta bacaan ayat suci apabila diadakan acara marhaban untuk kesemua tujuh cucunya yang baru dilahirkan.

"Malam tadi pun ramai tetamu yang datang. Biasalah hidup berkampung sudah menjadi kewajipan untuk mak menjemput qariah berdekatan untuk sama-sama memeriahkan majlis ini.

"Semua di kampung ini ialah kawan mak dan setiap kali ada majlis, mereka tidak pernah lupa menjemput mak bersama. Sesekali terbit rasa bersalah apabila undangan mereka tidak dapat dipenuhi kerana mak sibuk dengan kerja.

"Jadi pada hari ini, mak undang semua untuk mengeratkan silaturahim antara kami," katanya yang sesekali terpaksa memberhentikan temu bual untuk bersalaman dan berterima kasih kepada tetamu yang datang.

Dalam senyum, sesekali air matanya mengalir namun jauh di sudut hati, Mak Mah sebagai ibu terharu kerana impiannya untuk melihat anak dan menantunya bersanding dalam adat Jawa termakbul.

"Ia memang permintaan mak tetapi untuk menguruskan selok belok hal ini mak tidak pandai. Jadi mereka berbincang dengan perunding perkahwinan segala perancangan berkaitan persandingan hari ini.

"Tetapi, mak tetap sediakan satu pelamin khas untuk mereka di dalam rumah," kata Mak Mah yang tidak menang tangan pada hari bersejarah anak kesayangannya itu.

Majlis sambut menantu turut diserikan dengan kehadiran teman artis seperti Datin Seri Tiara Jacquelina dan suami, Datuk Seri Effendi Norwawi, Azean Irdawaty, Norlia Ghani, AR Badul, Maimun Talib, Serina Redzuawan, Anita Baharom, Rosnah Johari, AC Mizal dan isteri, Emylia Rosnaida.

Selesai bersanding, pasangan mempelai diarak ke meja santapan untuk upacara makan beradab disusuli acara memotong kek.

Pasangan pelakon, Aqasha dan Abby Nadzri menjadi pengapit kepada pasangan mempelai sepanjang majlis berlangsung.

Adlin, 38, sah bergelar suami kepada Emelda, 29, dengan sekali lafaz pada 23 Mei lalu apabila pasangan ini dinikahkan oleh Pegawai Nikah, Cerai & Rujuk, Pasukan Gerak Am Hulu Kinta, Zainuddin Abdul Arshad.

Pada majlis itu, Emelda menerima wang hantaran berjumlah RM30,000 berserta mas kahwin sebanyak RM1,000 selain tujuh dulang hantaran dibalas sembilan.

Usai upacara pernikahan selesai, diadakan majlis berinai yang disempurnakan di rumah pusaka keluarga Emelda di Kampung Batu Lapan, Chemor.

Mengulas mengenai perjalanan karier lakonan Emelda, Adlin dalam temu bual sebelum ini berkata, dia tidak menghalang isterinya untuk meneruskan kerjayanya itu. Bagaimanapun, katanya apabila dikurniakan cahaya mata kelak, besar harapannya Emelda dapat menumpukan perhatian penuh terhadap rumah tangga.

"Waktu itu saya membayangkan tugas Emelda adalah membesarkan anak-anak dan menyambut saya pulang selepas seharian penat bekerja.

"Saya menjadikan pasangan ipar saya iaitu Emylia Rosnaida dan suami, AC Mizal sebagai contoh terbaik dalam melayari bahtera perkahwinan kami.

"Mereka benar-benar bahagia dengan Emylia menjadi tulang belakang kepada suami dengan menguruskan kerjaya seni AC Mizal di samping tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada rumah tangga mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: