![]() |
Anding, Isma dan Zahiril misi besar perkukuh nama dalam bidang seni
KALAU mahu dikira status senior, Anding, 26, terlebih dulu menerjah persada seni berbanding Isma Hanum, 23, dan Zahiril Adzim, 25. Mahu dikenali sekarang ini dengan nama komersial Anding Indrawani, pelakon kelahiran Bumi Kenyalang itu mula dikenali selepas menyertai Akademi Fantasia (AF) musim kedua. Manakala, Zahiril dan Isma pula masih dianggap mentah kerana usia pembabitan seni mereka masih terlalu baru.
Ketiga-tiganya membintangi drama 13 episod, Ghost musim kedua yang kini sedang rancak bersiaran di 8TV. Pengalaman berada di lokasi penggambaran yang menggunakan khidmat lima pengarah itu memberi satu dimensi berbeza dalam kerjaya mereka. Saling berkongsi rasa bertuah, mereka sebenarnya mempunyai visi dan misi yang cukup besar untuk terus memahat nama di dalam liga seni.
Ada yang mengandaikan drama misteri dan penuh mendebarkan bercorak urban musim kedua ini tidak sehebat musim terdahulu. Plot ceritanya mula berkembang dan ada yang berpendapat ia mirip drama terbitan Hollywood, Ghost Whisperer.
Ada yang mahukan versi kedua ini kembali seperti yang asal. Namun, biar apa jua tanggapan orang, ketiga-tiga pelakon berbakat besar itu percaya kepada kekuatan jalan cerita musim ini. Untuk mengetahui kesudahannya, jangan lupa menonton drama itu yang disiarkan setiap Ahad, jam 10.30 malam bermula 19 April lalu.
Mengalih cerita kepada Anding dan jika diukur usia dan pengalaman yang dilalui, profesion sebenar yang diingininya sejak dulu iaitu bergelar penyanyi masih belum menjadi kenyataan. Malah, Anding kini lebih terarah menjadi pelakon dan pengacara di stesen TV. Bukan tidak mahu mengejar cita-cita menjadi penyanyi, malah Anding masih memenuhi undangan membuat persembahan secara tertutup, cuma belum rezekinya untuk memiliki album.
![]() |
| ISMA bertuah kerana dapat berlakon dalam penerbitan drama hebat seperti 5 Jingga dan Ghost 2. |
Tidak terlalu mengharap dan percaya kepada ketentuan Tuhan, Anding masih mampu memastikan survival namanya terus bertahan biarpun akuinya dia tidak sehebat bintang AF lain yang terus mencipta populariti sekelip mata. Pernah digosip bercinta dengan rakan seperjuangan pertandingan realiti yang sama iaitu Edlin, Anding bersyukur dia mampu mencipta perspektif berbeza di dalam dirinya.
Dan apa yang dilakukannya ialah menerusi bidang lakonan biarpun muzik masih belum berkubur di dalam hatinya. Bahkan, menerusi drama Ghost 2 dan bekerja dengan produksi Popiah Pictures, ia ibarat membuka lembaran baru kepadanya. Watak Alam seorang ahli psikik yang dipegangnya memberi impak yang cukup kuat. Tanpa sebarang syarikat pengurusan tertentu, Anding terus berkongsi bakat seni yang dimilikinya.
“Saya difahamkan setiap watak yang diwujudkan di dalam Ghost 2 mempunyai pengikut yang tersendiri. Paling menghairankan apabila saya melayari laman maya, setiap watak itu mempunyai kelab peminatnya. Malah, jalan cerita drama itu juga mengundang spekulasi dan diperdebatkan walaupun ia masih belum tamat siarannya.
“Selepas tamat kontrak dengan Maestro yang sudah berkubur, saya masih meneruskan perjalanan sebagai anak seni. Pada mulanya, saya akui terkapar-kapar kerana perlu menguruskan semua dengan sendiri termasuklah jadual dan rundingan berlakon. Namun, seiring dengan peningkatan usia dan tahun, saya mula belajar untuk membiasakan diri untuk berdikari.
| ZAHIRIL antara pelakon baru yang semakin mendapat perhatian. |
“Dulu, saya akui pernah menyesal mengambil dua kerja berlakon dalam satu masa. Ia satu beban yang akhirnya menjadi pengalaman berharga untuk saya meniti hidup. Mungkin saya tamak ketika itu hingga saya terlajak tidur dan mengundang kemarahan produksi. Berat badan saya pun turun mendadak. Saya tidak pernah berasa diri ini sudah popular dan apa yang penting ialah untuk saya memperbaiki ilmu perhubungan awam,” katanya yang tidak pernah menyesal menyertai AF2.
Dalam perkembangan lain, Anding akan menjalani penggambaran drama The Cup terbitan produksi sama yang menerbitkan Ghost 2. Drama arahan Manesh dan Joyce itu memerlukan Anding memegang karakter sebagai wartawan.
Zahiril terus cipta magis
SEMENTARA itu, Zahiril juga dilihat antara pelakon pelapis yang mula mengisi ruang industri seni. Bersaiz genit, namun mempunyai hati besar, dia kini terus mencipta magis apabila mendapat kepercayaan hari demi hari daripada pengarah dan penerbit tempatan. Selain drama Ghost 2, baru saja selesai siaran yang membabitkan dirinya ialah drama Merah Puteh, telefilem 100 Hari Jadi dan Abang.
Malah kalau ada yang masih ingat dia pernah menunjukkan persembahan mantap di dalam filem Kami. Terbaru filem indie arahan Chris Chong lakonannya iaitu Karaoke turut menempa nama di peringkat antarabangsa apabila ditayangkan di Director's Fortnight, Festival Filem Cannes ke-62 Mei lalu.
Namanya turut tersenarai dalam dua kategori Shout! Awards iaitu Anugerah Lelaki Kacak dan Gandingan Terbaik Di Layar. Untuk Lelaki Kacak, Zahiril bersaing dengan nama seperti Zizan Nin, Faizal Tahir, Jonathan Putra dan Tony Eusoff. Untuk Gandingan Terbaik Di Layar pula Zahiril dipadankan dengan Liyana Jasmay menerusi filem Kami.
“Saya sendiri tidak menyangka akan tercalon dalam dua kategori. Bagaimanapun saya seronok untuk sama-sama memeriahkan anugerah kemuncaknya di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 17 Julai depan. Bagi saya, anugerah ini sangat ‘cool’ seperti anugerah MTV Movie Awards dan Nickelodeon,” katanya yang baru saja tamat pengajian diploma teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tahun lalu. Malah, dia juga sedang berkira-kira untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang yang sama di luar negara.
Seperti Anding, Zahiril juga selesa bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat pengurusan kerjaya. Akuinya, bukan tiada yang berminat untuk menguruskannya, cuma setakat ini, dia masih mampu merencana kerjayanya sebaik mungkin.
“Pening kepala juga pada mulanya menguruskan kerjaya seni secara sendiri. Tapi setidak-tidaknya, saya lebih puas hati dan boleh belajar perhubungan awam termasuk hubungan dengan media secara semula jadi. Lagipun, saya ini jenis orang seni yang selalu ‘memberontak’, biarlah saya sesuaikan diri dulu sebelum terikat dengan mana-mana pihak,” katanya ringkas.
Mengenai wataknya sebagai Ridzuan di dalam Ghost 2, dia berpendapat musim terbaru ini lebih banyak unsur menyentap jiwa. Berbanding Merah Puteh, pengarahnya lebih menekankan kepada aspek lakonan dan pengarahan tetapi tidak dengan Ghost 2 yang lebih terperinci.
“Pada mulanya saya sendiri pelik dengan perkembangan ceritanya dan pada akhirnya kita sendiri yang mengukuhkan karakter yang dibawa. Apa yang saya lihat produksi drama ini sanggup melakukan apa saja demi memastikan keghairahan yang diingini dan dipenuhi seadanya,” kata Zahiril yang kini memberi tumpuan untuk lakonan teater Kompilasi Volume 2 yang difahamkan bakal dipentaskan di Stor Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) mulai 30 Julai hingga 2 Ogos nanti. Kali pertama teater itu dipentaskan, dia memikul tugas sebagai pengarah, namun kali ini, dia hanya mengisi ruang sebagai pelakon.
Lancar sejak sertai Aquilla Emas
ISMA Hanum pula belum sampai tiga tahun menjejakkan kaki ke dalam dunia seni, namun dia harus berbangga kerana diberi peluang berlakon dalam projek drama besar seperti 5 Jingga dan Ghost 2. Menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini turut belajar separuh masa dalam Pendidikan Jarak Jauh jurusan ijazah teater di Universiti Manchester, United Kingdom sejak tahun lalu.
Demi mengukuhkan kemahiran lakonan, dia turut mengikuti kelas drama bimbingan David Lim di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre. Sejak Mac lalu, Isma menyertai pengurusan Aquilla Emas dan melihat tindakannya itu sebagai berbaloi dan sangat wajar kerana ia landasan terbaik untuk memasarkan diri ke peringkat yang lebih baik.
“Sebelum ini pun saya pernah mencari syarikat pengurusan kerjaya yang sesuai, namun kebanyakannya tidak serasi dan memenuhi piawaian. Tapi, selepas menyertai Aquilla Emas, kerjaya seni saya semakin berjalan lancar. Biarpun syarikat itu mempunyai lebih 11 artis yang diuruskan, saya yakin perhatian terhadap saya tidak sesekali terabai.
“Apa yang saya perhatikan, selepas menyertai Aquilla Emas, tawaran berlakon dan publisiti terhadap saya mula teratur. Tanpa pengurusan yang betul, saya pasti terumbang-ambing dan duit yang diterima lebur begitu saja tanpa sebarang impak. Menyertai dunia seni ini ibarat menceburi bidang perniagaan, lalu dengan Aquilla Emas saya mula belajar selok belok kerja yang betul untuk dicontohi,” katanya yang terpilih ke uji bakat Ghost 2 selepas mendaftarkan namanya di laman seni, kakiseni.com
Tambahnya lagi yang memegang watak hantu gothic bernama Harum, peluang berlakon di dalam Ghost 2 boleh diibaratkan sebagai kesempatan berharga yang sentiasa dikenang selama-lamanya. Dia sendiri tidak pernah bermimpi untuk berlakon dalam produksi hebat seperti Popiah Pictures.
“Sebelum ini saya pernah berlakon sekitar 10 buah drama. Telefilem pertama yang saya lakonkan ialah Cinta Segi. Saya pernah menjadi pelakon undangan untuk drama Kekasihku Seru dan Frontpage,” katanya yang bakal memulakan penggambaran drama Katarsis arahan Asri Alias bagi siaran RTM. Selain Isma, drama itu turut membabitkan Datuk Jalaludin Hassan, Zizan Nin, Airis Yasmin dan Nazim Othman.
Profil
ANDING
Nama Penuh : Anding Indrawani Zaini
Tarikh Lahir : 25 April 1983
Penyanyi Kegemaran : Justin Timberlake
Pelakon Kegemaran : Edward Norton dan Drew Barrymore
Drama: Akademi Polis, Klon Teja, Ghost 2, Akademi
ZAHIRIL ADZIM
Nama penuh: Mohd Zahiril Adzim
Nama komersial: Zahiril Adzim
Tarikh lahir: 23 Januari 1984
Tempat lahir: Taiping, Perak
Drama: Kami The Series, Seandainya Aku Siti, Merah Puteh
Filem: Kami The Movie, Karaoke
E-mel: bobbamario@hotmail.com
ISMA HANUM
Nama Penuh: Isma Hanum Husein
Nama komersial: Isma Hanum
Tarikh lahir: 27 Ogos 1985
Adik-beradik: Anak bongsu daripada tiga beradik
Pendidikan: A Level, Institut Help, tahun kedua Diploma Pengajian Teater di Kolej Rosebruford, United Kingdom
Drama: Ghost 2, 5 Jingga (8TV), Kekasihku Seru, Kasanova XXL, Sutera Maya (TV3), Frontpage, Cinta Tiga Segi, Agi Idup Agi Ngelaban (NTV7), Incredible Tales (Mediacorp) dan Wira Siswi (Astro Ria)
Info Ghost 2


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: