Tuesday, June 2, 2009

Rencah orang kota dalam slot Lestary


JASMIN Hamid (dua dari kiri) bersama para pelakon Datin Wan Abe (dari kiri) Nadia Kesuma, Shamsul Ghau-Ghau dan Winnie pada majlis pelancaran La Dolce Amira baru-baru ini.


SLOT Lestary yang disiarkan menerusi TV3 pada setiap Selasa pukul 9 malam seringkali menampilkan jalan cerita yang dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini sama ada di kota atau desa.

Mulai 26 Mei lalu, slot itu mula menayangkan drama bersiri 13 episod berjudul La Dolce Amira yang diarahkan oleh Aida Fitri Buyong dan Ebrahim Alias di mana ia berkisar tentang kisah hidup golongan muda-mudi yang tinggal di kota.

Menurut Aida, biarpun trend yang cuba ditampilkan dalam drama itu lebih berunsur gaya kehidupan urban tetapi terdapat banyak nilai moral positif yang cuba diserapkan menerusi drama tersebut.

"Walaupun drama ini membawa pengaruh budaya yang moden dan daripada luar (Barat) tetapi banyak nilai positif yang boleh dihayati oleh para penonton termasuklah untuk tontonan seisi keluarga.

"Antaranya, kami cuba mengetengahkan nilai persahabatan dan kekeluargaan yang semakin luntur dalam masyarakat hari ini," katanya ketika ditemui selepas pelancaran La Dolce Amira di TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

La Dolce Amira yang bermaksud Si Manis Amira dalam bahasa Latin juga menampilkan para pelakon remaja generasi baru seperti Faezah Elai yang melakonkan watak utamanya sebagai Amira.

Ketika ditanya tentang penggunaan judul drama itu dalam bahasa asing, Aida menjelaskan ia adalah permintaan serta pilihan daripada TV3 yang mahukan kelainan berbanding judul-judul drama lain yang pernah disiarkan melalui stesen itu.

"Pada mulanya kami letak pelbagai judul untuk drama ini antaranya, Si Lenggang Amira tetapi atas nasihat TV3 kami tukar kepada La Dolce Amira. Ia kemudiannya dipersetujui oleh semua pihak terutamanya TV3," ujarnya.

Jelasnya judul drama dan jalan cerita karya itu begitu bersesuaian, apatah lagi ia berdasarkan realiti trend kehidupan remaja pada hari ini yang lebih ceria, moden dan urban dalam meniti kehidupan seharian mereka.

Sebagai contohnya, drama ini memaparkan gaya berpakaian watak-wataknya dengan menampilkan pelbagai fesyen remaja hari ini yang sentiasa berubah-ubah dan menjadi ikutan ramai.

Faezah Elai yang melakonkan watak Amira tidak terkecuali berdepan cabaran itu apabila beliau cuba sedaya upaya menghayati watak tersebut agar gambaran gadis urban yang ditonjolkan menepati jalan cerita dan citarasa pengarahnya.

"Watak yang saya lakonkan itu berada di luar diri saya yang sebenar. Apa yang boleh saya katakan watak Amira yang 'bermasalah' itu jauh lebih teruk daripada apa yang saya pernah lalui.

"Sebelum menjalani penggambaran kami semua (pelakon) telah berlatih selama hampir tiga minggu bagi menghayati watak masing-masing. Ia bagi memastikan kami dapat berlakon dengan baik dan mesejnya akan dapat disampaikan kepada para penonton," jelasnya.

Tambah pelakon filem Otai ini, dia begitu teruja melakonkan watak Amira kerana ia berlainan dengan watak-watak yang pernah dilakonkannya sama ada menerusi drama atau filem sebelum ini.

Malah, kata Faezah lagi, drama lebih banyak membantu menyerlahkan bakatnya dalam bidang lakonan berbanding filem yang lebih awal diceburinya kira-kira tiga tahun lalu.

"Saya akui filem pertama lakonan saya, Otai kurang menyerlahkan bakat saya sebagai pelakon.

Watak lakonan saya, Mawar dalam filem itu agak kaku. Ia berbeza dengan drama di mana saya ada banyak masa untuk berlatih berlakon.

"Apatah lagi dengan13 episod drama ini, ia seakan-akan suatu latihan buat saya untuk memantapkan lagi gaya lakonan saya," katanya.

Selain Faezah, pelakon lain yang membintangi La Dolce Amira antaranya Iqram Dinzly, Siti Elizad, Amelia Chan, Linda Hashim dan Joanna Bassey.

Selain slot Lestary, TV3 turut melancarkan drama bersiri terbaru siaran mereka berjudul Datin Wan Abe yang ditayangkan setiap Selasa mulai 19 Mei lalu pukul 10 malam.

Drama 13 episod dalam genre komedi itu turut mengetengahkan gaya kehidupan golongan urban dan elit yang tinggal di kawasan-kawasan bandar besar.

Jasmin Hamid merupakan pelakon utama drama arahan Emi Suffian Sabhe ini dengan melakonkan watak Datin Wan Abe iaitu seorang wanita kaya dengan gaya kehidupannya yang sentiasa mewah dan penuh keceriaan.

Selaku pelakon watak itu, beliau tidak menafikan cabaran untuk menyelitkan pelbagai unsur sindiran masyarakat menerusi gaya lakonan dan dialog-dialog yang dituturkannya.

"Drama ini dalam kategori light comedy di mana ia banyak menyelitkan gaya lakonan dan mesej-mesej tertentu di sebalik dialog serta watak-watak yang ditonjolkan.

"Saya cuba mengelakkan watak Datin Wan Abe supaya tidak nampak slapstik. Ini merupakan cabaran saya. Sebabnya bukan mudah untuk membuatkan orang ketawa apatah lagi menerusi genre light comedy," ujarnya.

Menariknya, Datin Wan Abe bukan sekadar cerita di atas skrip, tetapi ia banyak berlaku dalam masyarakat hari ini yang begitu dicengkam dengan gaya pemikiran yang bersifat materialistik.

Beliau juga tidak menafikan kisah daripada watak Datin Wan Abe memang wujud dalam masyarakat hari ini berdasarkan sambutan dan reaksi daripada para penonton yang telah menontonnya.

"Secara kebetulan watak itu sedikit sebanyak ada kaitannya dengan kawan saya. Tidak perlulah saya dedahkan siapa orangnya, tetapi ia banyak berlaku di mana-mana. Siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya," komennya ringkas.

Selain Jasmin Hamid, pelakon lain yang membintangi Datin Wan Abe ialah Shamsul Ghau-Ghau sebagai Bakar, Wan Elyas (Faiz) dan Zaris (Fazi).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: