Saturday, June 6, 2009

Populariti tidak merobah Miley Cyrus

"Saya mahu peminat saya mencontohi saya semasa saya melakukan keputusan bijak dan belajar apabila saya membuat kesilapan. Saya juga manusia biasa" – MILEY




POPULAR sebagai bintang sensasi siri TV, Hannah Montana di seluruh dunia, Miley Cyrus membuktikan bahawa dirinya mampu bertahan lama di Hollywood dengan membintangi filem yang diadaptasi daripada siri TV itu, Hannah Montana The Movie.

Malah, baru-baru ini, Miley dilaporkan baru sahaja menandatangani kontrak baru selama setahun untuk meneruskan siri TV terbitan Disney Channel itu yang mula menemui penonton sejak Mac 2006.

Hannah Montana The Movie adalah filem komedi yang segar, kelakar dan penuh dengan muzik hebat. Miley sudah pastinya memegang watak Miley Stewart (seperti dalam TV), gadis yang mempunyai persona rahsia sebagai penyanyi pop, Hannah Montana. Miley merupakan pelajar sekolah tinggi dan merupakan bintang pop pada waktu malam. Tiada orang yang mengetahui rahsia itu kecuali orang rapat dengannya.

Ceritanya bermula dengan Miley yang berdepan dengan kesukaran untuk menyeimbangkan kehidupannya sebagai selebriti dan remaja biasa. Dia mengecewakan kawan baiknya dan semua benda dalam hidupnya menjadi kucar-kacir. Miley telah terperangkap dalam kehidupan seperti selebriti lain sehingga menjadi terlalu pentingkan diri dan obses dengan diri sendiri.

Bimbang dengan keadaan minda anaknya, Robby Ray (Billy Ray Cyrus) mengambil keputusan untuk memberi pengajaran kepada Miley. Dia telah membawa anaknya pulang ke kampung halaman mereka di Crowley Corners, Tennessee.

Miley pada mulanya menyangka mereka akan bercuti secara mewah di New York tetapi mendapati dirinya berada di rumah neneknya dan tiada orang melayan dia seperti bintang popular. Di kampung neneknya, Miley jatuh cinta dengan lelaki tempatan yang dibintangi Lucas Till, Miley juga perlu berdepan dengan wartawan yang mengikutinya ke Tennessee.

Penggambaran dijalankan di sekitar Nashville, Tennessee serta Los Angeles dan memaparkan 12 buah lagu baru. Selain daripada ayahnya, pelakon dari siri TV, Emily Osment, Jason Earles, Mitchel Musso dan Moises Arias serta model terkemuka Tyra Banks dan penyanyi Taylor Swift, Rascal Flatts, Margo Martindale, Barry Bostwick, Melora Hardin, Peter Gunn dan Vanessa Williams juga menjayakan filem itu.

Miley hanya berusia 16 tahun tetapi sudah mengukuhkan dirinya sebagai aktres dan penyanyi terkenal. Membesar di Nashville dan menyaksikan ayahnya, penyanyi muzik country Billy Ray membuat persembahan yang menjadi inspirasinya menjadi pelakon, Miley pernah muncul dalam filem arahan Tim Burton, Big Fish.

Berpakaian sederhana dalam temu bual yang mengambil tempat di Los Angeles, Miley berkongsi pendapat mengenai populariti, keluarga dan kariernya yang semakin berkembang. Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan penggambaran filem terbarunya, ikuti petikan temu bual yang disediakan oleh Buena Vista Columbia TriStar Films.

Boleh ceritakan apa yang menarik mengenai filem itu?

Miley: Saya rasa penonton akan menyukai filem ini kerana ia adalah mengenai fantasi dan dunia bintang antarabangsa yang diimpikan ramai. Ia akan membiarkan imaginasi anda menjadi liar. Ceritanya amat menarik bagaikan kisah superhero kepada setiap gadis remaja.

Apa yang anda pelajari serta apa yang berlaku kepada Miley dan Hannah dalam filem itu?

Ia adalah mengenai pengembaraan saya dan bagaimana saya mencari diri sendiri. Pada permulaan siri TV, Hannah dan Miley ialah dua orang yang berbeza. Hannah merupakan sisi lain Miley yang memberikan peluang kepadanya untuk mencapai impiannya. Namun, Miley sendiri merupakan gadis biasa yang menjalani kehidupan seperti manusia lain.

Apa yang anda akan saksikan dalam filem ini pula menceritakan perwatakan Miley dan Hannah bergabung dan menjadi kucar-kacir. Ia telah memusnahkan kehidupannya serta persahabatan dan membawa masalah kepada keluarganya.

Jadi dia kembali kepada tempat asalnya di Tennessee. Dia tidak pasti dengan masa depannya dan tidak tahu berapa lama dia akan menetap di sana. Ceritanya agak realistik kerana anda akan melihat Miley membesar dan berdepan dengan cabaran. Itulah aspek cantik mengenai filem itu untuk melihat bagaimana dia berubah dan membesar.


MULA mengecapi populariti pada usia 13 semasa berlakon dalam siri Hannah Montana.


Apabila dia tiba di Tennessee, Miley mula sedar bahawa itu bukan kehidupan yang dikehendaki. Apa yang dilaluinya?

Semasa tiba di Tennessee, Miley sedar bahawa dia telah lupa bagaimana untuk menikmati kehidupan seperti manusia biasa. Dia sudah bersifat materialistik di Hollywood dan perlu mencari semula perwatakan dirinya. Miley perlu memahami dirinya serta cita-citanya dan mengimbas kembali siapakah dirinya sebelum dia menjadi bintang popular.

Apakah perasaan anda untuk balik ke kampung anda dan menjalankan penggambaran di kawasan luar bandar?

Saya suka pergi ke Nashville, kerana ia bukan sahaja merupakan kampung sebenar saya dalam kehidupan realiti tetapi kampung saya dalam siri TV dan filem. Maka, perasaannya amat menarik untuk kembali dan menikmati keamanan kawasan luar bandar.

Bagaimana kehidupan anda berubah sejak anda berpindah dari Nashville ke Los Angeles?

Ia satu perubahan yang besar semasa saya berpindah ke Los Angeles. Semuanya amat berbeza dengan Nashville tetapi saya menyukainya dan telah mempelajari banyak benda di sini. Lagu dalam filem itu, The Climb menceritakan pengalaman hidup saya. Ia bukannya mengenai mana anda pergi atau mana destinasi terakhir. Tapi ia adalah mengenai cita-cita anda dan menghargai setiap saat dalam perjalanan peribadi anda. Saya sukakan sentimen itu.

Anda sudah popular sekarang. Pernahkah anda terfikir untuk berehat dan menjalani hidup seperti orang biasa seperti yang dilakukan oleh Miley dalam siri Hannah Montana?

Sudah banyak saya ditanya soalan yang sama. Sebenarnya saya amat berbeza dengan watak yang anda lihat di TV. Saya mempunyai kehidupan yang senyap apabila berjauhan daripada populariti. Terdapat perbezaan besar antara saya semasa berada di karpet merah di mana paparazi merakamkan gambar saya dan diri saya di rumah. Rasanya saya ialah diri saya sebenar semasa berada di rumah sendiri.

Dinamik antara anda dan ayah anda, Billy Ray semasa di dalam dan luar skrin?

Kami berseronok kerana dalam filem, penonton berpeluang untuk menyaksikan sisi kami yang tidak pernah dilihat. Orang akan beranggapan bekerja dengan ayah sendiri amat ganjil tetapi kami amat serasi dan gembira sepanjang pengambaran. Saya tidak boleh memikirkan siapa yang lebih sesuai memegang watak itu. Kami sering ketawa dan ayah amat memahami saya.

Perasaan bekerja dengan ayah anda?

Kami berdua suka bermain dan berseronok. Saya tidak perlu risau semasa berada dengan ayah saya. Apa yang penting, kami berpeluang untuk menghabiskan masa kualiti bersama yang sudah lama tidak dilakukan.

Ayah anda memberi pengaruh besar kepada karier serta kehidupan anda? Bagaimana dengan ibu anda?

Ayah memberikan pengaruh besar kerana dia yang membenarkan saya melakukan apa yang disukai dan melindungi saya. Ibu pula seorang yang berkeyakinan tinggi. Saya berasa bangga apabila ramai orang memuji dia cantik.

Bagaimana anda menggambarkan filem itu?

Saya rasa ia sebuah filem romantik komedi yang dipenuhi dengan drama dan muzik.

Peranan lagu dalam filem itu?

Setiap lagu pada saya menggambarkan filem itu dengan caranya yang tersendiri. Lagu seperti Back To Tennessee yang dinyanyikan oleh ayah saya dan You'll Always Find Your Way Back Home adalah lagu baru Hannah Montana. Tidak dilupakan juga lagu The Climb yang merupakan lagu tema menarik. Ada lagu yang membawa saya kembali ke Nashville terutama lagu country, Butterfly Fly Away.


PERWATAKAN ceria dan sederhana Miley telah menjadikan dia lebih disukai peminat.


Ceritakan sedikit mengenai babak kegemaran anda dalam filem itu?

Antaranya adalah babak saya bersama ayam dan cuba untuk mengutip telur ayam dan babak semasa saya tiba di kawasan luar bandar. Saya sukakan babak itu kerana penonton dapat melihat saya bergelut untuk menjayakan tugas-tugas itu. Ia amat kelakar.

Filem itu menguji erti persahabatan. Sejauh manakah nilai persahabatan dalam kehidupan anda?

Saya rasa seorang kawan ialah seseorang yang anda boleh percayai dan dianggap sebagai ahli keluarga. Emily Osment (yang memainkan watak Lilly dalam filem itu) sebenarnya ialah kawan rapat saya kerana saya menganggap dia sebagai sebahagian daripada keluarga saya. Kami bergaduh seperti adik-beradik. Kami amat selesa bersama dan saya mempercayai dia. Itu amat penting dalam menjamin hubungan persahabatan.

Apakah perasaan anda sebenarnya untuk menjadi contoh kepada gadis-gadis remaja?

Rasanya ia sudah menjadi sebahagian daripada kerja saya tetapi ada kalanya ia amat sukar kerana saya sendiri masih dalam proses membesar. Saya mahu peminat saya mencontohi saya semasa saya melakukan keputusan bijak dan belajar apabila saya membuat kesilapan. Saya juga manusia biasa.

Pernahkah anda berasa penat dengan populariti dan glamor yang diperolehi daripada kerjaya anda?

Tidak kira apa kerjaya yang anda lakukan, pastinya ada masa yang anda akan berasa tertekan dan tidak gembira. Namun, saya menyukai karier saya. Apabila saya mendapati berpuluh-puluh ribu peminat menyampaikan lagu yang ditulis oleh saya, itu memberi makna yang tidak ternilai kepada saya.

Bagaimana populariti telah mengubah hidup anda dalam beberapa tahun kebelakangan ini?

Saya rasa saya telah membesar dan menjadi matang lebih cepat berbanding mereka yang seusia dengan saya. Tapi saya tidak berfikir ia telah mengubah saya kerana bagi saya kehidupan adalah lebih penting berbanding kerjaya.

Gambarkan hari yang sempurna bagi anda?

Saya suka tidur. Sebenarnya saya seperti seekor burung hantu. Saya tidak akan tidur pada waktu malam dan hanya akan tidur bila hari sudah subuh. Jadi hari yang sempurna adalah bila saya boleh bangun lewat dan kemudian lepak di kolam renang bersama ibu saya sambil menulis, membaca atau menonton filem.

Apa perancangan pada masa akan datang atau impian Miley dalam masa 10 tahun ini?

Diharap saya masih akan bekerja sebagai aktres kerana saya suka berlakon dan membikin filem. Saya juga mahukan kehidupan yang lebih stabil tetapi berlakon pada masa lapang serta menghabiskan masa bersama keluarga. Saya tidak tahu apa yang sedang menanti saya pada masa akan datang tetapi saya akan melakukan apa yang disukai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: