Sunday, June 14, 2009

Pesawat dalam kapal terbang


HARUN SALIM BACHIK (tengah) turut terlibat menjayakan klip video Mirage.


PEMILIHAN nama grup dengan metafora yang ditebarkan kadangkala membawa tuah yang tidak dijangkakan. Pesawat, sesuai dengan nama yang mereka pilih untuk muzik mereka cepat sampai kepada pendengar – sepantas kapal terbang, kini satu lagi kebanggaan diletakkan dalam portfolio mereka.

Sesuatu yang tidak pernah dibayangkan berlaku baru-baru ini apabila mereka melancarkan klip video Mirage di dalam pesawat Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mirage adalah single pertama yang memperkenalkan Pesawat kepada khalayak.

Idea dan peluang ini berawal dengan kolaborasi antara Pesawat (Jipie, Mann, Kudux dan Camel) dan Rewan Ishak yang merupakan pengarah muda yang sedang membiak dengan idea yang kreatif.

Antara klip video arahan Rewan adalah Aurora dan In No Time (Estranged) dan Bila Aku Sudah Tiada dan Jiwa Kelajuan (Hujan).

Menurut Rewan yang berdiri dengan syarikat Rodeodscope, idea klip video ini terhasil selepas sesi lampas otak dan ia mengetengahkan konsep D.I.Y (Do it yourself).


CHANNEL V berharap bukan sekadar membantu Pesawat sahaja, tetapi band-band lokal lain yang berpotensi dipasarkan di negara serantau lain.


Membayangkan jika lokasi yang dipilih adalah lapangan terbang sebenar akan memakan kos yang tinggi, maka penggunaan studio dengan dilengkapi panel hijau dipilih sesuai dengan bajet dan lagu nyanyian grup ini.

“Saya dan ahli grup muncul dengan idea pementasan yang memaparkan atmosfera yang seronok dan memberi injeksi attitude sebenar grup ini.

“Kami merakamkan klip ini dalam masa satu hari di studio Finas, Hulu Klang. Inilah hasilnya atas idea yang segar,” ujar Rewan sewaktu ditemui di KLIA.

Dia juga bersetuju dengan idea Pesawat untuk memanggil Harun Salim Bachik sebagai cameo memandangkan pelawak terkenal itu sangat diminati oleh ahli grup tersebut di samping karakter kuat yang dipamerkan oleh Harun.

Konsep yang dipilih ini juga bertepatan dengan kelajuan yang kini diciptakan oleh grup ini dalam industri muzik tempatan.

Malah Channel [V] yang diwakili oleh Nini Yusuf selaku Naib Presiden Pemasaran STAR menyatakan bahawa bersesuaian dengan nama yang dibawa oleh grup yang ditubuhkan pada tahun 2005 itu, pihaknya bersetuju berkolaborasi dengan Malaysia Airport Berhad dan MAS bagi mengadakan pelancaran di atas sebuah pesawat.


DENGAN bajet terhad, klip video ini dihasilkan mengikut imaginasi mereka.


“Ini adalah salah satu kempen yang dianjurkan Channel [V] dalam menyokong kehadiran kumpulan muzik tempatan,” ujarnya yang menyeru grup tempatan mendaftar di laman web www.channelv.com jika mahu muzik dan nama mereka dipilih oleh Channel [V].

Klip video kumpulan Pesawat bertajuk Mirage secara eksklusifnya telah disiarkan di Channel [V] (Saluran 714) pada 31 Mei lalu dan diikuti sebuah rancangan khas AMP Around Asia pada 7 Jun pukul 11 malam di saluran yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: