KUALA LUMPUR: Selepas sembilan hari menyembunyikan diri di tiga negeri, seorang pemandu van syarikat keselamatan yang melarikan sekarung beg berisi wang tunai RM250,000 di Menara Perkeso, Jalan Ampang di sini, Isnin minggu lalu ditahan polis dalam serbuan di sebuah bengkel kereta di Rompin, Pahang, malam kelmarin.
Agak mengejutkan apabila suspek berusia 38 tahun itu sempat membeli sebuah kereta pacuan empat roda terpakai Mitsubishi Pajero bernilai RM50,000 di Ipoh, Perak menggunakan nama teman wanitanya sebelum menuju Dungun, Terengganu untuk bersembunyi.
Suspek pergi menemui teman wanitanya berusia 26 tahun di Rompin yang menunggu sambil membawa sebuah beg berisi sebahagian wang rompakan.
Namun, sehari selepas kejadian, polis memperoleh petunjuk awal apabila mengesan transaksi kiriman wang tunai berjumlah RM1,100 dilakukan suspek menggunakan perkhidmatan pos laju kepada isterinya yang menetap di Shah Alam, Selangor.
| |
Petunjuk itu diperkuatkan lagi apabila polis mengesan transaksi pembelian kereta pacuan empat roda terbabit dan hasil risikan serta maklumat membawa kepada penahanan suspek di sebuah bengkel di Rompin, pada jam 7.40 petang kelmarin.
| |
Suspek mahu mengambil kenderaan yang dibaiki di bengkel itu sebelum menemui kekasihnya di kawasan berhampiran.
Berikutan itu, polis menahan wanita berkenaan untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata hasil penahanan kedua-dua suspek membawa kepada penemuan sebahagian wang tunai rompakan iaitu berjumlah RM113,450 selain empat telefon bimbit, enam kad sim dan dua cincin.
“Siasatan awal mendapati suspek bekerja di syarikat keselamatan itu sejak tiga tahun lalu manakala teman wanitanya yang berasal dari Rompin pernah bekerja di syarikat berkenaan lima bulan.
“Kami memperoleh maklumat berhubung kedua-dua supek selepas menjalankan soal siasat terhadap isteri suspek berusia 30-an yang menetap di Shah Alam,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: