Monday, June 1, 2009

Pakar kahwin besi


Zolsani memilih kayu yang sesuai dijadikan sarung dan ulu keris.

Tukar kerjaya daripada jaga kepada pembuat parang

'BERSAHABAT' dengan besi dan kayu serta 'bermain' dengan api adalah rutin harian Zolsani Busu, sejak hampir 17 tahun lalu dalam kerjayanya sebagai pembuat parang dan keris.

Tidak ramai orang membabitkan diri dalam bidang itu, tetapi bagi Zolsani, 41, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Zol Parang' kerjaya itu memberi kepuasan kepadanya, terutama selepas menghasilkan parang atau keris mengikut kehendak pelanggan yang menempahnya.

"Saya meminati bidang ini sejak kecil... perniagaan ini juga kurang saingan mungkin kerana tidak ramai yang berminat ataupun mungkin kerana tiada kemahiran atau kerana kerja ini memerlukan ketelitian," katanya di bengkelnya di Felda Pengeli Timur, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

Beliau berkata, pembabitannya dalam bidang itu bermula apabila beliau menempah mata parang dengan pembuat parang di Kampung Melayu, Kluang, 17 tahun yang lalu.

Pembuat parang itu, Abdul Hamid Abdul Halim secara berseloroh berkata: "Jika saya mahukan mata parang dengan segera, saya perlu membuatnya sendiri."

Parang yang dihasilkan Zolsani.

Kata-kata itu turut menjadi perangsang kepada Zolsani mendekati ilmu pembuatan parang.

"Saya faham maksud kata-katanya itu... saya kena belajar," katanya.

Sejak itu, beliau bertekad mempelajari cara membuat parang daripada Abdul Hamid dan kemudian keris daripada Adiguru Abdullah dari Kelantan. Beliau turut menyertai beberapa siri kursus di Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Zolsani yang ketika itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ladang Tabung Haji di Kluang, turut membantu sambil belajar cara membuat parang daripada Abdul Hamid selama tiga tahun.

Pada peringkat awal, beliau membuat parang dan keris secara kecil-kecilan di tempat tinggalnya di Ladang Tabung Haji itu sebelum mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan dan berpindah ke Felda Pengeli Timur pada 1999.

"Kira-kira sembilan tahun saya menyewa bengkel dan akhirnya selepas berjaya membeli sebuah rumah di Felda Pengeli Timur setahun yang lalu, barulah saya dapat membina bengkel sendiri," katanya.

Kini bengkel tetapnya didirikan di sebelah rumah bagi membolehkannya mengusahakan kerjaya itu sepanjang masa walaupun pada malam hari.

Katanya, bahan utama membuat parang dan keris iaitu besi, beliau peroleh dengan mencari atau membelinya daripada kedai besi lusuh, manakala kayu dibeli daripada kilang papan atau beliau cari di hutan berhampiran rumahnya.

Bagaimanapun, lazimnya bahan-bahan itu dibawa sendiri oleh pelanggan yang menempah parang atau keris.

Besi yang biasa digunakan ialah 'spring' lori, papan 'chain-saw' dan 'kun bearing' manakala kayu adalah daripada jenis kemuning, kerantai, rengas, penawar hitam, sentang dan jati mas.

Paling popular ialah penawar hitam kerana kayunya bertompok atau berbelang hitam dan putih.

Katanya, kerja membuat parang dan keris dimulakan dengan menyatukan besi melalui proses yang dipanggil 'kahwin besi' dengan membakarnya menggunakan api pada kadar suhu yang tinggi selama kira-kira 20 minit.

Apabila ia cukup mendidih, dengan keseluruhan warnanya merah kekuningan, besi itu diketuk dengan penukul dalam proses 'kahwin besi' itu untuk membentuk besi berkenaan. Kerja ini dilakukan penuh hati-hati kerana percikan api daripada ketukan itu boleh membahayakan sesiapa yang ada berhampiran.

Kerja-kerja melarik besi kemudian dilakukan yang biasanya mengambil masa kira-kira 20 minit.

Sesudah itu, apabila bilah atau mata sudah siap, barulah kerja membuat ulu dimulakan. Biasanya mengambil masa sehingga tiga jam bagi menyiapkan ulu dan sarung parang, manakala sehingga lebih enam jam untuk ulu dan sarung keris bergantung kepada ukirannya.

"Tempoh empat jam untuk menghasilkan sebilah parang berharga kira-kira RM100 iaitu sejam untuk membuat mata serta tiga jam untuk ulu dan sarung. Bagi keris pula, empat jam untuk membuat mata dan enam jam atau lebih untuk membuat ulu dan sarungnya," katanya.

Dalam sebulan, katanya, beliau menghasilkan kira-kira 15 bilah parang dan empat bilah keris, selain membuat parang panjang dan sabit.

"Harga parang dan keris hanya ditentukan selepas keris atau parang itu terhasil. Kita nilaikan mengikut hasil kerja berdasarkan kecantikannya... parang biasanya berharga antara RM100 dan RM300, manakala keris antara RM250 dan RM700," katanya.

Katanya, beliau juga menyertai pameran melalui usaha beberapa agensi termasuk Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), di ibu kota dan Putrajaya dan sudah menerima tempahan dari kawasan di luar Johor.

"Ahli korporat juga ada menempah keris untuk dibuat cenderahati. Tempahan dan edaran parang dan keris ini hanya di Malaysia saja kerana produk ini sukar untuk dihantar melalui pos, kurier atau seumpamanya ke luar negara," katanya.

Misinya ialah untuk membesarkan lagi perusahaan itu dan Zolsani sudah mengambil tiga pekerja sambilan untuk membantunya.

"Dua anak lelaki saya yang kembar Zol Fazli dan Zol Fazreen juga menunjukkan minat dalam bidang ini dan kerap membantu. Sejak berumur tujuh dan lapan tahun mereka sudah mula 'menyibuk' dan kini saya memberi tunjuk ajar dalam bidang yang mereka minati iaitu ukiran kayu sarung keris dan sarung parang," katanya.

Isterinya, Anita Sukir juga sentiasa mendorongnya untuk membesarkan lagi perusahaan itu.

"Isteri saya umpama pengurus, beliau sentiasa memberi semangat dan memastikan saya dapat menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan pelanggan.

"Beliau ingatkan saya mengenai masa atau tarikh pelanggan datang semula untuk mengambil tempahan. Beliau merekodkan segala-galanya dalam buku," katanya.

Zolsani berkata, matlamat akhirnya ialah untuk meningkatkan bilangan orang Melayu dalam kerjaya itu secara komersial termasuk dalam seni ukiran kayu.

"Sekarang ini tidak ramai orang Melayu menceburi bidang ini, mungkin kerana tiada pendedahan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: