Monday, June 1, 2009

Cabaran seni Nik Zaiton

Selain memenuhi minatnya melukis, Nik Zaiton turut menjadikan bidang itu sebagai sumber pendapatan di samping mahu memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing.




TAPAK bisnes Nik Zaiton Mustapha hanya berlantaikan jubin dan berbumbungkan rimbun pohon. Meskipun tidak berdindingkan apa-apa, wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu setia meneruskan rutinnya.

Sesekali, proses melukisnya terganggu seketika apabila dia perlu mengejar beberapa keping koleksi lukisannya yang terbang ditiup angin.

"Inilah cabaran melukis di tepi jalan. Itu baru situasi lukisan ditiup angin, belum lagi hari hujan dan cuaca panas yang terlampau.

"Namun apabila cuaca mula mendung dan hujan rintik-rintik, saya pantas mengemas dan terus pulang," ujar Zaiton, 46, yang mencari rezeki dengan melukis di tepi jalan di depan Masjid Negara Kuala Lumpur.


NIK ZAITON turut menerima tempahan lukisan daripada pelancong asing.


Jelas Zaiton, sekiranya pada pagi hujan turun dia mengambil keputusan tidak keluar bekerja. Dia bimbang lukisannya rosak sekali gus menyukarkan pelancong membelek lukisan yang digemari.

Sambil jari-jemarinya asyik melakar panaroma indah sekitar Kuala Lumpur, Zaiton menceritakan minatnya terhadap melukis mula tercetus sejak menuntut di Sekolah Menengah Raja Sakti, Kelantan.

Hatinya pasti melonjak girang setiap kali tiba kelas Pendidikan Seni kerana sesi berkenaan memberinya kebebasan meluahkan mood yang dirasai pada kertas lukisan.

"Seronok tidak terkata apabila dapat memegang berus dan bermain dengan warna. Betapa indahnya tatkala melihat adunan warna-warna bersatu sehingga menghasilkan lukisan yang cukup cantik," tambahnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Bermula dari saat itu, cintanya terhadap dunia lukisan semakin bercambah sehingga Zaiton menyimpan impian bergelar pelukis kelak. Tapi, malangnya cita-cita tersebut sukar dicapai kerana tidak mendapat galakan daripada kedua ibu bapanya.


NIK ZAITON MUSTAPHA


Orang tuanya bimbang kerana pendapatan pelukis hanya bergantung pada hasil jualan lukisan dan tidak menjamin masa depan.

"Saya akur dengan kehendak ibu dan ayah. Biarpun tidak mendapat sokongan saya tetap melukis. Dengan cara menjadi mak andam dan jurusolek di kampung, terubat rindu setiap kali 'melukis' wajah orang.

"Bukan itu sahaja, saya turut berkhidmat di Hotel Temenggong, Kota Bharu, Kelantan sebagai kapten kumpulan bahagian makanan dan minuman," jelas Zaiton yang memiliki dua orang cahaya mata yang turut memiliki bakat melukis dan mereka.

Luah Zaiton, sebanyak manapun pekerjaan yang dilakukan pada usia muda, bidang lukisan tetap menjadi keutamaan dan terus dicintai.

Saban hari dirasakan jari-jemarinya seperti mendesak supaya memegang pensel dan mencalit warna bagi melahirkan lukisan mengikut permintaan pembeli.

"Maka, ketika usia menginjak 23 tahun saya berhijrah ke Kuala Lumpur. Gerai kecil yang terletak berhampiran Masjid Jamek ialah lokasi pertama perniagaan lukisan saya.


PENGUNJUNG berpeluang membeli lukisan Nik Zaiton di depan Masjid Negara.


"Hampir sedekad saya melukis di sana. Namun disebabkan ingin mengubah suasana saya berpindah ke Dataran Merdeka dan kini melukis di Masjid Negara," titip Zaiton yang mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sokongan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (TDC).

Luah anak kedua daripada sembilan orang itu lagi, rasa malu dan rendah diri tidak pernah menyelubungi dirinya sepanjang bergelar pelukis jalanan, malah berbangga kerana dapat memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing.

"Selain mencari rezeki, objektif utama saya ingin membantu kerajaan mempromosikan destinasi tarikan negara kepada kumpulan pelancong menerusi lukisan," ujar Zaiton yang boleh bertutur dalam bahasa Jepun, Cina dan Inggeris.

Menyusuri kehidupan Zaiton selama dua dekad sebagai pelukis, hari-harinya banyak terisi dengan kegembiraan dan ketenangan berbanding kepahitan.


PENGUNJUNG terpesona dengan lukisan Zaiton.


"Jujur saya katakan sukar menemui perkara yang menyakitkan hati. Semuanya manis-manis belaka terutama melihat ragam pelancong.

"Setiap masalah yang dihadapi lenyap apabila tangan mula melukis dan berbual mesra bersama pelancong yang datang membeli," tutur Zaiton yang keluar mencari rezeki dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Zaiton mengakui perjalanan hidupnya menjadi pelukis tidak seperti kakitangan kerajaan mahupun staf syarikat swasta yang memperoleh gaji bulanan.

Enggan membiarkan lukisannya terperap begitu saja tanpa dibeli sesiapa, Zaiton menghasilkan lukisan bertemakan destinasi pelancongan, pemandangan dan pemandangan flora.

"Biasanya pelancong lebih gemar membeli lukisan yang menggambarkan signatur negara seperti bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan Kereta Api Tanah Melayu, Dataran Merdeka dan Muzium Negara," jelas Zaiton yang kerap dikunjungi pelancong dari Eropah, China, Vietnam, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).


ANTARA peralatan lukisan yang digunakan oleh Zaiton.


Berbicara mengenai pendapatan, wanita berjiwa kental itu menganggarkan paling tinggi hasil jualannya sehari mampu mencecah RM150. Namun, dia juga pernah langsung tidak memperoleh sebarang pendapatan dua hari berturut-turut.

Harga lukisannya terbahagi kepada iaitu RM35 untuk saiz A4, manakala saiz 8R dijual pada harga RM20.

"Biasanya jualan mendapat sambutan pada hari Sabtu, Ahad, cuti umum atau cuti sekolah," terang Zaiton yang berbangga kerana hasil jualan lukisannya dapat menampung pengajian anak perempuan sulungnya yang kini menuntut di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: