Thursday, June 4, 2009

Nyaris maut ditelan lubang


Anggota bomba menjalankan kerja menyedut air dari lubang besar yang menyebabkan sebuah kereta dan tiga motosikal terperosok ke dalamnya di Jalan Cheng-Krubong, Melaka semalam.


MELAKA - "Apabila motosikal saya jatuh ke dalam lubang yang dipenuhi air, saya hanya ingat saya akan mati lemas."

Demikian cerita Md. Desa Efon, 58, mengenai detik-detik cemas selepas motosikal Medenas Kriss yang ditungganginya sambil dibonceng oleh anak perempuannya, Norwahida, 24, terjunam ke dalam sebuah lubang sedalam hampir dua meter di Jalan Cheng-Krubong di sini semalam.

Selain motosikal Md. Desa, dua buah lagi motosikal dan sebuah kereta Perodua Kancil turut terperosok ke dalam lubang itu yang terbentuk akibat paip air bawah tanah yang pecah pada pukul 6.30 pagi.

Cerita Md. Desa, sebelum kejadian, dia sedang menunggang motosikal bersama anak perempuannya dari rumah mereka di Kampung Panchor, Alor Gajah menuju ke tempat kerja anaknya itu di Taman Merdeka.


SEBUAH kereta Perodua Kancil terjunam ke dalam lubang besar dan berair akibat paip pecah di Jalan Cheng-Krubong, Melaka semalam.


Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian pukul 8.20 pagi, dia melihat sebuah kereta Perodua Kancil dalam keadaan terjunam namun menyangka kereta itu cuma terlanggar lubang kecil.

"Saya juga nampak air melimpah di atas jalan tetapi menyangka ia hanya takungan air cetek akibat banjir.

"Setelah saya dan anak turut terjunam, baru saya tahu rupanya air (lubang) ini dalam," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: