Monday, June 1, 2009

Nuansa busana muslimah

Festival Fesyen Islam 2009 di Jakarta menyaksikan pereka fesyen Malaysia dan Indonesia bergabung di satu pentas peragaan untuk mempamerkan busana muslimah anggun.


IAN ADRIAN menunjukkan kredibiliti kreatif melalui himpunan fesyen berona hitam.


MASYARAKAT sering mengaitkan fesyen tradisional Islam dengan gaya dan busana yang stereotaip serta membosankan. Jangan terlalu awal membuat andaian kerana hari ini, fesyen busana muslimah semakin moden, kreatif dan mempesona.

Malah, rekaan kreatif barisan pereka fesyen tempatan dan antarabangsa membuka ruang menerapkan elemen kontemporari dalam busana muslimah.

Sentuhan kontemporari itu acap kali mengambil tempat pada festival fesyen Islam yang menjadi satu agenda tahunan yang dinanti-nantikan kebanyakan penggemar fesyen muslimah.

Festival Fesyen Islam 2009 sudah pun membuka tirai di ibu kota Indonesia, Jakarta baru-baru ini.

Agenda fesyen bertaraf antarabangsa itu adalah untuk mempamerkan ciptaan pereka terkenal dan muka baru dari Malaysia dan Indonesia kepada audiens antarabangsa.


PEREKA fesyen, Malik Moestaram menonjolkan kreativiti kostum signatur wanita Muslim.


Antaranya termasuklah Sebastian Gunawan, Ian Adrian, Arifan Mas, Sofie, Irna Mjutiara, Melinda Looi, Rudy Chandra, Malik Moestaram, Defrico Audy, Jarumas, Khadani, Alphiana Chandrajani, Tom Abang Saufi dan Khoon Hooi.

Festival fesyen selama dua hari itu, selain menjadi pentas peragaan rekaan busana berunsur Islam sekali gus platform menonjolkan keunikan kreativiti kostum signatur wanita Muslim.

Ia juga ditujukan kepada umat Islam yang mahu mengekalkan identiti Islam dengan ciptaan fesyen kontemporari yang mematuhi syariah tetapi bergaya.

Daripada gaya rekaan sofistikated sehingga moden dan tradisional, variasi elemen dipertontonkan di pentas peragaan.


PEREKA fesyen tempatan Malaysia mempamerkan koleksi pakaian mendukung elemen oriental.


Misalnya, pakaian ciptaan pereka terkenal Indonesia, Sebastian Gunawan yang diadunkan dengan kristal Swarovski mengetengahkan rekaan berunsur sofistikated dan penuh feminin.

Pereka fesyen tempatan Tom Abang Saufi, Khoon Hooi dan Melinda Looi pula masing-masing mempamer koleksi pakaian yang mendukung elemen-elemen oriental yang menjadi kegemaran mereka.

Pereka fesyen Rudy Chandar dan Irma Mutiara pula memperagakan himpunan rekaan ideal untuk pengantin moden Muslim.

Eksperimentasi fabrik berona putih bukan sahaja menampilkan kesopanan malahan mencerminkan kesucian wanita.

Sementara itu, pereka fesyen dari Indonesia, Ian Adrian juga menunjukkan kredibiliti kreativitinya dengan himpunan fesyen yang diwarnai dengan gaya warna primer iaitu hitam.


EKSPERIMENTASI fabrik sutera berona biru menampilkan kesopanan, kelembutan dan keayuan seorang wanita.


Jubah panjang mempunyai lengan labuh mahupun gabungan blaus longgar dengan skirt panjang berkedut-kedut diselitkan dengan rekaan kontemporari yang sesuai agar tetap menutup aurat.

Walaupun, rekaan fesyen berunsur futuristik cuba diterapkan dalam beberapa rekaan pakaian namun, rentak fesyen antarabangsa itu masih berjaya mengelak daripada bercanggah dengan norma-norma Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: