TIADA langsung istilah merajuk atau kecewa dalam kamus hidup Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan sebelum ini apabila karyanya, Mana Setangginya belum diangkat di hierarki sepatutnya.
Penulis agung itu turut menafikan dakwaan kononnya dia berkecil hati gara-gara karya hebat itu ibarat dipinggirkan daripada pengetahuan umum dan peminat sastera.
Rupa-rupanya, ada cerita yang terselindung di sebalik 'penyepian' karya yang dibukukan pada tahun 2000 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu. Mana Setangginya sepatutnya diterjemahkan sejak 10 tahun lalu kerana ia menjadi naskhah yang didedikasi khas sempena pembukaan Istana Budaya sekitar tahun 1998.
Hakikat yang tidak dimengertikan ialah Noordin atau lebih gemar disapa sebagai Cikgu Noordin sendiri yang menarik karya itu daripada dipentaskan di Istana Budaya kira-kira sedekad lalu.
"Sebenarnya bukan pihak Istana Budaya yang menolak untuk mementaskan Mana Setangginya, sebaliknya saya yang membuat keputusan untuk mengambil semula naskhah itu.
"Ini disebabkan saya kurang senang dengan cadangan pihak tertentu yang ingin mengubah karya tersebut.
"Saya sekadar mempertahankan hak kerana tidak mahu tema dan tujuan Mana Setangginya lari daripada idea asalnya.
"Jadi saya terpaksa tarik semula Mana Setangginya daripada ditayangkan kepada masyarakat ketika itu," katanya ketika ditemui pada sidang media teater tersebut di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut lelaki berusia 80 tahun itu, selepas insiden dia menarik semula karya itu, ada rakan-rakan di sekelilingnya yang sempat mengatakan alangkah baiknya ia tidak dipentaskan pada waktu itu.
"Mereka berpendapat keputusan yang saya buat cukup baik kerana kalau dipentaskan juga, maka Mana Setangginya tidak akan berbau langsung.
"Saya harap dengan ketrampilan yang ada, pementasan kali ini akan menzahirkan sesuatu yang boleh diterima oleh setiap orang," jelasnya dalam nada penuh berhemah.
Kini setelah puas menanti dengan penuh sabar, seniman yang sarat sikap merendah diri dan berhati lembut itu akhirnya mampu tersenyum kegembiraan dalam kepuasan. Masakan tidak, karya nukilannya akan bertamu di pentas gah Panggung Sari, Istana Budaya pada 13 hingga 21 Jun akan datang. Ini sekali gus menutup bicara nakal orang ramai yang mendakwa karya itu tidak selayaknya dijulang ke tangga paling teratas.
Di bawah inisiatif Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, Mana Setangginya bakal menebarkan haruman di pentas tersebut bersempena mengisi slot khas naskhah agung dan naskah Sasterawan Negara.
Pengertian berselirat
Berbicara tentang idea Mana Setangginya yang muncul dalam hidup Cikgu Noordin, dia mengakui bahawa ada cerita di sebaliknya yang belum diceritakan kepada orang lain.
"Waktu itu saya bertugas sebagai guru di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.
"Saya selalu dinasihatkan agar tidak tulis sesuatu yang sensitif kerana takut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Jadi karya saya banyak menggunakan metafora dan simbol.
"Paling mengejutkan apabila saya menulis Bukan Lalang Ditiup Angin, ada pemimpin-pemimpin negara ketika itu tidak kisah. Mereka tidak kata apa-apa pun," katanya sambil menyerlahkan kebenaran.
Sewaktu Cikgu Noordin melihat senario tragedi 13 Mei 1969, terdetik dalam hatinya sambil membuat penilaian bahawa orang Melayu perlu disedarkan.
"Justeru dalam Bukan Lalang Ditiup Angin saya menggunakan metafora tersendiri. Saya turut terkenangkan satu formula.
"Saya sering membaca kisah Yahudi dalam kitab Taurat yang memberitahu orang Yahudi dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu disebabkan ia merupakan hari beribadat.
"Jadi mereka mengepung ikan pada hari Jumaat. Bayangkan apabila undang-undang Tuhan boleh diputar belitkan? Manusia selalu bersandarkan kepada Tuhan sejak azali lagi. Lantaran itu, bala dan bencana yang berlaku semuanya menjadi petanda dosa manusia terhadap Tuhan," ulasnya.
Bukan karya syirik
Dalam pada itu, Cikgu Noordin tidak tahu-menahu tentang karyanya yang dianggap boleh memesongkan akidah umat Islam dan dilabel sebagai karya yang boleh membuatkan orang lain menjadi syirik.
Ia disebarkan dalam sebuah penerbitan majalah yang menulis bahawa jalan cerita Mana Setangginya ada bau-bauan syirik.
"Saya tidak boleh beri sebarang komen sebab saya belum lagi membaca tentang artikel yang ditulis itu. Naskhah ini tidak menceritakan ajaran Islam sahaja sebaliknya ia universal sifatnya.
"Janganlah disebabkan tengok slot atau babak yang sedikit sudah ditujah ia tidak Islamik. Kalau ada unsur-unsur syirik dan dilihat boleh menimbulkan kontroversi maka ia tidak akan diterbitkan oleh pihak DBP.
"Lagipun pihak mereka cukup tegas dalam perihal yang boleh menimbulkan sensitiviti kepada orang lain," jelasnya yang mempercayai kredibiliti dan kreativiti pengarah muda Zaifri Husin untuk menyelenggarakan Mana Setangginya.
Proses akhir produksi
Dalam pada itu, pengarah Mana Setangginya memberitahu setakat ini graf perjalanan teater itu semakin meningkat sebelum ia boleh ditonton.
Zaifri, 43, menyatakan karya yang banyak menekankan tentang falsafah serta unsur tersurat dan tersirat itu masih terlibat dalam proses produksi.
"Alhamdulillah, latihan berjalan dengan lancar dan para pelakon juga dilihat memberikan komitmen terbaik.
"Cuma saya sedang melakukan persiapan kreatif di peringkat akhir demi mencantikkan lagi jalan cerita Mana Setangginya," katanya yang merupakan Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Pengukuhan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian.
Mana Setangginya dibintangi oleh Tony Eusoff, Sabrina Ali, Azman Abu Bakar, Shaharuddin Thamby, Mohd. Nor Fatih Moktar, Rudy De Luna Jr., Iqbal Taufik, Azizah Mahzan, Norhana Othman, Zambri Mohamad dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: