Thursday, June 18, 2009

Nabil 'harta' Media Prima?


NABIL dan Adruce bertindak menjadi hos Hartamania, sebuah program gameshow kanak-kanak di TV9.


SEJAK diumumkan sebagai juara Raja Lawak musim kedua, Mac tahun lepas, rezeki Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil sememangnya tidak pernah putus.

Lebih setahun berlalu, sehingga kini, jejaka kelahiran Negeri Sembilan ini masih laku di pentas seni tanah air.

Baik undangan berlakon mahupun iklan, kehadiran Nabil bagaikan satu kemestian bagi 'mengumpan' jumlah penonton yang tinggi.

Dengan lawak dan gayanya yang bersahaja di samping tidak banyak kerenah, ia membuatkan Nabil mudah untuk didekati pelbagai pihak termasuk 'dilamar' produksi drama mahupun perfileman.

Bukan sahaja laris di bidang lakonan, Nabil juga tidak kalah dengan tawaran menjadi pengacara untuk sesebuah program televisyen.

Dari Astro yang menjadi tapak asasnya, Nabil kini menguasai pula rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB) khususnya TV3 dan TV9.

Memulakan rentak dengan Melodi dan Ewah Ewah, Nabil kemudiannya melebarkan sayap ke TV9 menerusi rancangan Siapa Pintar?, Pondok-Pondok dan Studio Nabil.

Terbaru, Nabil terus disunting TV9 untuk mengendalikan sebuah program terbaru yang bercorak gameshow kanak-kanak iaitu Hartamania.

Bergandingan dengan Adruce, menerusi Hartamania yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Rabu, pukul 7 malam, Nabil bertindak selaku Kapten Bil.

Sungguhpun begitu, kelibat Nabil yang lebih tertumpu di TV3 dan TV9 mengundang seribu satu pertanyaan mengenai dirinya yang dikatakan seakan sudah melupakan Astro, stesen televisyen pertama bertindak mempopularkannya.

Menjawab mengenai perkara tersebut, Nabil yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie berjudul Cinta Meriam Buluh untuk slot Aidilfitri di Astro Prima bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

Masih mengingati jasa baik Astro, Nabil menjelaskan, ketika ini, dia terikat dengan kontrak bersama MPB untuk beberapa program sehingga 2011.

Seperti membawa maksud 'wajah eksklusif' MPB, Nabil juga memberitahu, buat masa sekarang dia bebas daripada sebarang kontrak bersama Astro.

"Terikat dengan kontrak sehingga 2011, saya sebetulnya selesa bersama TV3 dan TV9. Meskipun begitu, MPB tidak menghalang saya untuk muncul dalam mana-mana program di stesen televisyen lain.

"MPB juga telah memberi saya jadual kerja lebih awal yang membolehkan saya untuk 'mencuri' masa terlibat dengan program lain,'' katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran Hartamania di The Ship, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Nabil, bersama TV9, sepanjang tahun ini, dia sudah pun terikat dengan beberapa program khususnya menjelang Aidilfitri nanti.

Untuk itu, Nabil telahpun diterbangkan ke Perth, Australia pada 9 hingga 23 Jun ini bagi menjalani rakaman program Studio Nabil Raya dan Pondok-Pondok Raya.

Ditanya mengenai penglibatannya dengan stesen televisyen lain, Nabil berkata, dia masih menunggu jawapan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mengendalikan sebuah program pencegahan jenayah bersama penganalisis jenayah negara, Kamal Affandi Hashim.

"Rancangan itu berbentuk rakaman dan mengikut perancangan, saya akan menjadi hos di lokasi dan menemu bual remaja atau belia yang terlibat dengan gejala sosial.

"Selain itu, menerusi syarikat saya iaitu Lu Fikirlah Sendiri Sdn. Bhd., saya masih menunggu lampu hijau daripada TV3 untuk menerbitkan sebuah program motivasi berjudul Santai Motivasi.

"Selaku penerbit dan hos, ia akan menampilkan pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah. Tapi, ini semua masih di peringkat cadangan,'' jelas Nabil yang pernah dirisik sebuah produksi Indonesia untuk membintangi sebuah filem kerjasama Indonesia-Malaysia.

Mudah bekerja dengan Nabil - Noor Amy

Sementara itu, Pengurus Penjenamaan Kumpulan, Komunikasi Korporat dan Pembangunan Perniagaan TV9, Noor Amy Ismail berkata, kesudian TV9 menawarkan Nabil beberapa program bukan sahaja atas kehendak stesen televisyen tetapi penonton.

Katanya, Nabil amat disukai kanak-kanak menerusi Pondok-Pondok dan juga mampu mengambil hati penonton dewasa dalam rancangan Studio Nabil.

"Dia (Nabil) cukup versatil. Pondok-Pondok merupakan program yang mampu dibanggakan apabila menerima 800,000 ke sejuta penonton apabila disiarkan di kaca televisyen.

"Kami bertemu dengan Nabil pada tahun lalu dan terus berbincang untuk memberikannya beberapa slot program. Bekerja dengannya cukup mudah,'' jelas Noor Amy.

Menurutnya, selain program rancangan televisyen, Nabil turut ditawarkan berlakon untuk beberapa drama yang akan diterbitkan oleh TV9.

Ketika diajukan persoalan tentang peluang orang lain yang seakan tertutup di TV9 sebaik munculnya Nabil, Noor Amy menjelaskan, stesen itu tetap membuka peluang kepada bakat-bakat lain.

"Kami di TV9 pun tidak mahu memperlihatkan sangat penguasaan Nabil. Untuk program-program lain, kami akan pelbagaikan dan ketengahkan pengacara lain,'' katanya.

Kepada soalan tentang cakap-cakap yang mengatakan TV9 bakal melamar isteri kepada penyanyi dan pendakwah Akhil Hayy, Maizawati Zainal, selaku hos di TV9, Noor Amy bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

"Itu tidak benar. Kami belum ada apa-apa perbincangan bersamanya. Sebenarnya kami tidak menghalang sesiapa untuk menjadi hos sesebuah program di TV9 asalkan berbakat.

"Kalau bagus, kami pasti mengambilnya tetapi, perlulah menjalani sesi uji bakat,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: