Sunday, June 7, 2009

Muzikal adaptasi cerita rakyat


Muzikal Pak Pandir menggunakan 45 pelakon, 22 pemuzik dan lapan penyanyi latar.


SETELAH hampir empat tahun tidak mementaskan teater, Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) kini kembali dengan Muzikal Pak Pandir. Muzikal ini akan dipentaskan pada 17 dan 18 Jun ini di Dewan Filharmonik Petronas.

Muzikal Pak Pandir mengenai sepasang suami isteri miskin yang tinggal di sebuah kampung. Pak Pandir adalah seorang yang lurus dan dungu. Segala kerja yang dilakukan melambangkan kelurusan fikiran dan sering berakhir dengan kerja yang sia-sia.

Kedunguan Pak Pandir telah memeningkan kepala isterinya, Andeh dan kemuncak kepada kedunguan Pak Pandir apabila dia memandikan anaknya dengan air panas yang menyebabkan anaknya mati.

Selaku pengarah KSPP, Hartini Abdullah berkata pihaknya amat berbesar hati apabila berpeluang mementaskan teater memandangkan teater muzikal Uda & Dara pada tahun 2005.

"Banyak mesej yang tersurat dan tersirat yang boleh kita lihat apabila menonton teater ini. Walaupun sebuah cerita lama yang diolah kembali, ia tetap disulam dengan elemen muzik, tarian, komedi dan nasihat.

"Saya juga berbangga apabila dengan usaha yang dilakukan oleh semua pihak terutama daripada pengarah teater ini, Zahari Hamzah yang banyak berusaha memberikan yang terbaik kepada pementasan ini.

"Bagi saya tanpa penglibatan dan usaha daripada semua pihak, mungkin teater ini tidak dapat dipentaskan dalam dalam masa terdekat," kata Hartini ketika ditemui pada sidang media Muzikal Pak Pandir Khamis lalu.

Jika melihatkan atmosfera ketika ini, sudah tidak ramai generasi muda yang mengetahui cerita-cerita rakyat sebegini, sudah pasti pementasan ini menjadi titik tolak kepada usaha untuk mengembalikan cerita-cerita rakyat kepada umum.

Kali ini, Muzikal Pak Pandir akan dibarisi seramai 45 pelakon, 22 pemuzik dan melibatkan lapan orang penyanyi latar. Walaupun masih berdebar menunggu maklum balas daripada peminat, KSPP yakin ia bakal memberikan kepuasan kepada penonton.

Mengulas mengenai jalan cerita muzikal ini, selaku pengarah dan penulis skrip, Zahari yakin olahan yang dibuat terhadap jalan cerita muzikal Pak Pandir tetap relevan untuk ditonton pada masa kini.

"Saya cuba mengekalkan cerita asal Pak Pandir yang diketahui oleh umum. Tapi sudah ada sedikit olahan yang dilakukan bagi menjadikan ia lebih menarik.

"Jika kita lihat kembali, tidak ada rujukan khusus mengenai Pak Pandir. Tapi saya menghasilkan skrip mengikut kajian dan bahan-bahan yang ada sahaja memandangkan ia adalah cerita turun temurun.

"Menariknya kebanyakan lagu-lagu yang terkandung adalah lagu baru dan segar yang kita cipta untuk memberikan yang terbaik kepada penonton yang hadir nanti," katanya yang pernah terlibat dalam drama tari Awang Sulung Merah Muda satu ketika dahulu.

Teater yang bakal dipentaskan selama satu setengah jam ini bakal disulam dengan 20 buah lagu yang diolah oleh Ahmad Muriz Che Ros yang mengandungi unsur moden dan tradisional.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: