Wednesday, June 24, 2009

Muzik nadi kekuatan Air Supply


AKSI Hitchcock (kanan) dan Russell sewaktu persembahan mereka di ibu negara baru-baru ini.


NAMA kumpulan duo Air Supply cukup dikenali seantero dunia sementelah mereka banyak melahirkan lagu-lagu cinta yang telah mencapai status klasik dan malar segar.

Jika mahu dihitung repertoir daripada senarai puluhan diskografi mereka, memang tidak terhitung jumlahnya.

Biarpun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu betapa getirnya perjalanan kumpulan ini di awal penubuhan mereka.

Ais Supply mula ditubuhkan pada tahun 1976 tetapi nama mereka hanya mula menjadi sebutan apabila muncul dengan album kelima mereka, Lost In Love yang juga menjadi single hits mereka.

"Kami pernah mengadakan persembahan kecil di Sydney, Australia sekitar lewat tahun 70-an iaitu ketika kami baru menceburkan diri dalam bidang seni.

"Bayangkan betapa luluhnya hati apabila melihat tiada siapa yang hadir menyaksikan persembahan kami. Kami ditertawakan oleh beberapa orang yang berada di situ.

"Memang kami sedih tapi kami tekad dan berjanji bahawa satu hari nanti, persembahan kami akan dibanjiri oleh peminat dan yang penting mereka mampu menyanyi bersama-sama kami," demikian luahan hati vokalis dan pemain gitar Air Supply, Graham Russell sewaktu membuat persembahan di ibu negara baru-baru ini.

Selain Russell, Air Supply turut dianggotai oleh vokalis utamanya, Russell Hitchcock dan sepanjang 35 tahun menyanyi, mereka sudah mengadakan lebih 3,500 persembahan di serata dunia.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Russell merupakan anak kelahiran Nottingham, United Kingdom manakala Hitchcock pula anak jadi Melbourne, Australia.

Mereka bertemu pada Mei 1975 sewaktu membuat persembahan untuk teater muzikal, Jesus Christ Superstar.

Air Supply sebetulnya dianggotai oleh lima anggota termasuk Russell dan Hitchcock dan setiap kali mereka mahu mengecapi kejayaan, ketika itulah anggota mereka silih berganti.

Akhirnya, mereka berdua sahaja yang tinggal dan meneruskan perjuangan Air Supply.

Berbalik kepada persembahan mereka, ternyata tarikh 16 Jun lalu menyaksikan kehadiran Air Supply ke negara ini untuk ke sekian kalinya bagi menghiburkan peminat-peminat setia mereka di negara ini.

Kehadiran mereka ke Malaysia juga sebagai rangka promosi awal sempena kelahiran album terbaru mereka, Mumbo Jumbo yang akan dipasarkan pada September depan.

Sememangnya apa yang diluahkan oleh Russell pada malam itu mengundang rasa terharu di kalangan peminat mereka.

Mana tidaknya, tiada siapa yang tahu kesukaran yang dilalui oleh Air Supply dalam mencipta nama.

Mungkin ramai yang mencebik mahupun mengerut dahi memikirkan tidak jemukah Air Supply bertandang ke negara ini untuk membuat persembahan?

Tetapi, pada malam persembahan mereka yang diadakan di Grand Ballroom, Hotel Hilton, Kuala Lumpur membuktikan Air Supply masih lagi relevan.

Biarpun kedua-dua mereka baru meniti usia awal 60-an, tetapi baik Russell mahupun Hitchcock membuktikan pengalaman sebagai anak seni melangkaui segala-galanya.

Bertenaga dan energetik

Mereka masih lagi bertenaga dan energetik di pentas sewaktu menyampaikan lagu-lagu popular mereka yang telah mendapat tepukan gemuruh oleh lebih daripada 1,000 peminat mereka yang membanjiri dewan berkenaan.

Impak Air Supply memang mengagumkan dan bayangkan tiket paling mahal iaitu RM498 bagi menyaksikan persembahan Air Supply Live In Kuala Lumpur itu habis dijual dalam masa yang singkat.

Tidak kisah untuk berdiri meskipun harga tiket yang paling murah adalah sebanyak RM138, peminat kumpulan yang ditubuhkan di Australia ini ternyata terhibur dengan persembahan kumpulan pujaan mereka itu.

Biarpun lagu-lagu dendangan mereka sudah berusia lebih daripada dua dekad, namun lagu-lagu tersebut kedengaran masih lagi segar seperti baru semalam ia mula diputarkan di corong radio.

Rangkaian lagu-lagu seperti Making Love Out Of Nothing At All, All Out Of Love, Lost In Love, Goodbye, The Power Of Love (You Are My Lady), Here I Am, Two Less Lonely People In The World, Without You, Even The Nights Are Better, The One That You Love dan Just As I Am menjadi nadi persembahan mereka selama hampir dua jam itu.

Air Supply sendiri tidak pernah menyangka bahawa lagu-lagu mereka mampu menjadi popular sehinggakan ada di antaranya telah dirakamkan semula oleh penyanyi-penyanyi antarabangsa terkenal seperti Laura Branigan, Celine Dion, Mariah Carey dan Westlife.

Dalam persembahan itu juga, Russell dan Hitchcock turut mengalunkan tiga buah lagu dari album Mumbo Jumbo yang dianggap sebagai 'pembuka selera' untuk peminat mereka.

Malah, sewaktu menyampaikan A Little Bit More, Russell menceritakan kisah benar yang mendorongnya untuk mencipta lagu berkenaan dan sememangnya kisah itu benar-benar menyayat hatinya.

"Ia merupakan kisah seorang wanita yang sanggup berkorban merelakan suami dan anaknya berjuang di medan perang meskipun tahu peluang untuk mereka kembali ke pangkuannya sangat tipis," ujarnya sebelum mengalunkan lagu indah yang disulami emosi yang menyentuh jiwa.

Sementara itu, dalam pertemuan bersama pihak media pada hari sebelumnya, Russell dan Hitchcock berikrar tidak akan berhenti menyanyi selagi belum tiba masanya.

Bagi mereka, menyanyi dan menghiburkan masyarakat merupakan minat yang cukup mendalam.

"Agak sukar sekali untuk kami menetapkan jangka masa untuk bersara. Selagi peminat memerlukan kami dan memberikan sokongan yang tiada berbelah lagi, di situlah kami akan terus berdiri untuk menghiburkan mereka," jelas Hitchcock yang meraikan hari lahirnya yang ke-60 pada hari yang sama.

Berbicara mengenai perkembangan album Mumbo Jumbo, dari riak wajah masing-masing ternyata terpancar rona gembira kerana album tersebut disifatkan mereka sebagai album bersifat peribadi.

Masakan tidak, setiap lagu yang terkandung menceritakan tentang kisah peribadi serta perjalanan seni merekai.

"Ada beberapa lagu mempunyai elemen moden muzik terkini namun masih mengekalkan identiti Air Supply.

"Kami tidak mahu melakukan perubahan drastik kerana muzik kami sudah sebati dengan jiwa peminat. Namun, itu bukan bermakna kami tidak mengikuti peredaran masa.

"Elemen-elemen seperti dance, tekno dan R&B kami terapkan dalam album ini untuk menampilkan variasi," ujar Russell yang turut memberitahu konsert jelajah dunia akan menyusul pada tahun 2010 sempena kelahiran album Mumbo Jumbo.

Selepas Kuala Lumpur, Air Supply akan ke Singapura untuk persembahan mereka sebelum berlepas ke Amerika Syarikat dan mengakhirinya di Tegucigalpa, Honduras pada 25 November depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: