Wednesday, June 24, 2009

Chris Brown mengaku pukul Rihanna


Penyanyi Rihanna menghadiri perbicaraan awal Brown (gambar kecil) yang didakwa memukul Rihanna di mahkamah jenayah di Los Angeles semalam. – REUTERS


LOS ANGELES 23 Jun – Penyanyi R & B, Chris Brown mengaku bersalah memukul bekas teman wanitanya yang juga penyanyi, Rihanna dan dijatuhi hukuman menjalani khidmat komuniti selama 180 hari.

Menurut peguam, Brown yang pada mulanya mengaku tidak bersalah di atas tuduhan melakukan serangan berkenaan, tetapi menukar pengakuan melalui peguamnya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Los Angeles untuk perbicaraan kes tersebut, semalam.

Pengakuan bersalah itu membolehkan Brown, 20, terlepas daripada hukuman penjara kerana menyerang Rihanna yang popular dengan lagu ‘Umbrella’, ketika pasangan berkenaan memandu pulang daripada parti menjelang Anugerah Grammy, pada awal tahun ini.

Insiden berkenaan mengejutkan dunia muzik.

Dalam kejadian itu Rihanna mengalami luka-luka dan lebam-lebam di muka, selain terpaksa membatalkan persembahan pada Anugerah Grammy di Los Angeles pada hari yang sama.

Susulan kejadian itu, Brown menulis surat menyatakan beliau ‘minta maaf dan bersedih’ dengan apa yang berlaku dan sedang mendapatkan kaunseling daripada paderi, rakan-rakan dan keluarga.

Afidavit yang difailkan dalam kes tersebut mendakwa Brown menghempas kepala Rihanna pada tingkap kereta yang sedang bergerak sebelum menumbuk dan menggigitnya berulang kali.

Berdasarkan pengakuan bersalah yang dibuat itu, Brown akan diletakkan di bawah pemerhatian selama lima tahun dan menjalani kerja komuniti ‘berorientasikan buruh’ selama 180 hari di negeri yang didiaminya, Virginia, kata para pendakwa.

Keputusan hukuman itu akan buat pada perbicaraan yang akan berlangsung pada Ogos ini.

Semalam, Rihanna turut muncul di mahkamah selepas Brown meninggalkan mahkamah yang penuh sesak.

Komen daripada kedua-dua penyanyi tidak dapat diperolehi, walaupun peguam Rihanna, Donald Etra memberitahu bahawa anak guamnya berpuas hati dengan keputusan itu.

‘‘Rihanna percaya ini merupakan resolusi yang adil dan setimpal dengan kes ini,’’ Etra memberitahu pemberita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: