|
|
MENGHABISKAN masa hampir dua jam bersama figura ini bersama empat daripada lima orang anaknya di sekitar taman yang terletak di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) petang Khamis lalu, membuat saya cukup ralit mendengar kisah rumah tangganya.
Melihatnya berdampingan bersama anak-anak dan melayan mereka seperti rakan sebayanya saat jurugambar, Djohan Shahrin Shah merakamkan aksi-aksi mereka, membuatkan saya tersenyum sendirian.
Masakan tidak, saya tidak pernah menyangka sama sekali di sebalik limpahan kemilau glamor yang dikecapinya sebagai vokalis kumpulan Flop Poppy dan komposer, sebenarnya dia merupakan seorang bapa yang cukup penyayang.
Sesi fotografi bersama Andy atau nama sebenarnya Megat Effendy Zakaria dan anak-anaknya ini sebenarnya diadakan sempena dengan sambutan Hari Bapa yang berlangsung semalam (21 Jun).
Tiap tutur katanya membuat saya terdiam seketika dan fikiran saya terus melayang sehingga saya mampu membuat satu kesimpulan.
Pada hemat saya, Andy telah berjaya mengubah stigma dan persepsi lapuk bahawa mereka yang hidup dan mencari rezeki dengan muzik juga mampu mendidik serta mempunyai keluarga yang cukup bahagia.
Apatah lagi, Andy mendirikan rumah tangga dalam usia yang cukup muda iaitu 20 tahun manakala isterinya, Nurul Shafizan Othman atau lebih mesra dengan panggilan Baby ketika itu hanya berusia 19 tahun.
Baby juga sebenarnya adalah cinta dan kekasih Andy yang telah dikenalinya sejak kecil lagi dan usia perkahwinan mereka bakal mencecah 18 tahun pada 2 November ini.
Menghabiskan masa hampir setiap masa setiap hari dan juga bersekolah di sekolah yang sama, membuatkan kedua-duanya dinasihati keluarga untuk segera berkahwin.
"Biarpun usia kami muda, tetapi kami berjaya mengharungi segala rintangan dengan baik sekali dan jujurnya, saya tidak pernah menyesal kahwin dalam usia muda.
"Isteri dan anak-anak saya merupakan kekuatan dan pendokong utama dalam kerjaya seni saya," kata Andy yang kini berusia 38 tahun itu membuka bicaranya.
Hasil daripada ikatan suci mereka itu telah dikurniakan dengan dua putera dan tiga puteri iaitu Megat Daniel Ataullah, 17; Megat Zarul Mukhriz, 15; Puteri Adlin Natasya, 12; Puteri Adlin Syafinie, 11 dan si kecil, Puteri Adlin Syafinaz, enam.
Hanya Puteri Adlin Natasya sahaja yang tidak dapat hadir untuk sesi fotografi kerana menetap di Gombak, Selangor bersama ibu bapa Baby yang kebetulan sedang uzur.
"Dia memang tinggal di sana sejak kecil. Setidak-tidaknya dapatlah dia menjaga datuk dan neneknya," ujarnya saat ditanya tentang ketidakhadiran puteri sulungnya itu untuk sesi fotografi ini.
Pada saya, kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga Andy memang mengagumkan. Di kala ada pasangan selebriti yang tidak mampu mengekalkan jangka hayat perkahwinan mereka, Andy membuktikan sebaliknya.
Bukan mahu mendabik dada atau sengaja mengada-adakan cerita tentang kisah rumah tangganya, jelas anak kelahiran Kangar, Perlis ini apa yang dititik beratkan dalam keluarganya adalah komunikasi.
"Biar sesibuk mana pun saya, tanggungjawab sebagai bapa dan suami tidak pernah saya abaikan. Saya akan menganggap diri saya gagal sebagai seorang bapa kalau anak saya mengatakan mereka belum menjamah makanan.
"Sekurang-kurangnya sebulan sekali kami sekeluarga akan duduk bersama dan berbincang tentang permasalahan yang berlaku dalam keluarga kami serta meluahkan isi hati mereka terhadap saya dan Baby.
"Cara ini adalah untuk memudahkan kami sekeluarga menyelesaikan masalah dan kemelut yang berlaku. Saya tidak suka anak-anak memendam perasaan dan menyimpannya di dalam hati.
"Saya dan isteri memang bersikap terbuka dengan anak-anak dan pada saya, gelaran suami dan bapa bukanlah satu tiket untuk menjadi dominan.
"Saya seorang yang cukup liberal dengan anak-anak tetapi tetap ada batasnya dan saya tegas dengan mereka juga," ujar Andy yang merupakan anak kedua daripada enam beradik ini panjang lebar.
Menyambung bicara, pelantun lagu Cinta dan Sewaktu Dulu ini menyifatkan lima orang anaknya itu merupakan anugerah yang tidak ternilai daripada Allah SWT kerana merekalah punca rezekinya sehingga dia menjadi seperti hari ini.
Memang benar. Berkahwin dalam usia yang cukup muda dan apatah lagi ketika itu, cabarannya bukan calang-calang langsung tidak mematahkan semangat Andy untuk meneruskan hidup.
Lebih-lebih lagi, penglibatan Andy dalam bidang muzik bagaikan tidak direstui oleh kedua orang tuanya meskipun kata Andy, mereka memberikan sokongan.
Malah, demi menjaga hati bapanya yang disifatkannya amat garang dan tegas terhadap dirinya dan adik-beradiknya yang lain, dia telah menyambung pelajarannya dalam bidang seni bina di United Kingdom semata-mata mahu melunaskan impian bapanya.
Tetapi bagi dirinya sendiri, dia tidak pernah menetapkan impian dan cita-cita untuk anak-anaknya. Sebaliknya Andy menyerahkan segala-galanya kepada lima orang cahaya matanya untuk menentukan arah hidup masing-masing.
"Saya memberitahu mereka bahawa saya amat pantang kalau anak-anak tidak pandai menghormati orang. Bagi saya, hormat itu adalah 'ibu' kepada segala adab.
"Kalau itu tidak ada, bagaimana kita hendak orang lain menghormati kita dan membawa kita ke depan. Bukan itu sahaja, saya juga berulang kali memberitahu mereka jangan sesekali mendekati najis dadah.
"Kerana, jika saya mendapat tahu memang saya tidak akan bertoleransi lagi dan saya sendiri yang akan menghantar mereka ke pusat serenti," katanya dalam nada yang cukup tegas.
Jika bapanya sudah terlibat dalam bidang muzik, pastinya darah itu tetap mengalir dalam diri anak-anaknya.
Kata Andy, selain Daniel yang sememangnya bersungguh mahu mendalami ilmu muzik, empat orang anaknya yang lain turut meminati bidang muzik.
"Saya berikan apa yang mereka mahu dan minat tetapi pelajaran itu tetap saya titik beratkan. Konsep saya mudah. Saya membandingkan kerjaya saya dengan status mereka sebagai seorang pelajar.
"Saya kata mana lebih mudah antara belajar yang bahannya ada depan mata dan saya yang perlu memerah keringat dan idea untuk mencipta lagu. Mereka faham dengan apa yang saya katakan dan tahu apa yang perlu dilakukan," ujarnya yang sibuk bertanding bersama Daniel dalam rancangan realiti, Ooh La La yang kini ditayangkan di TV9 pada setiap hari Sabtu pukul 9.30 malam.
Demi masa depan anak-anaknya juga, Andy dan Baby telah mempersiapkan segala yang dirancangkan termasuk dua bangunan empat tingkat yang akan menyaksikan kesinambungan legasi Andy menerusi syarikatnya, Floppy Records Sdn. Bhd.
Mengikut perancangan Andy, bangunan yang bakal siap pada tahun 2011 akan menempatkan studio rakaman, studio latihan serta sebuah auditorium kecil yang mampu memuatkan 200 hingga 300 orang dalam satu-satu masa.
"Apa yang saya buat semuanya untuk anak-anak dan juga kecintaan saya terhadap muzik yang sama sekali tidak akan pudar. Jika mereka mahu meneruskan legasi saya, semuanya sudah tersedia untuk mereka," kata Andy dalam makna yang cukup mendalam.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaru tentang Flop Poppy, Andy sempat menyampaikan satu berita gembira khusus buat peminat setia kumpulan itu.
Album studio kelima Flop Poppy akan dipasarkan pada bulan depan dengan menyaksikan dimensi baru Flop Poppy yang sebelum ini terkenal dengan imej lagu alternatif dan rock.
"Album kali ini akan lebih lembut sedikit dengan muziknya yang lebih santai dan ada pengaruh blues sedikit. Sengaja kami tampilkan perubahan kerana semua kumpulan masa kini tampil dengan muzik rancak.
"Kalau asyik sama sahaja, kedengaran agak bosan dan tiada pilihan untuk pendengar. Saya pasti album ini akan mendapat tempat di hati peminat dan pendengar menerusi 12 lagu yang ditampilkan dalam album ini," ujar Andy optimis tentang album yang diterbitkan oleh Floppy Records Sdn. Bhd., dan bakal diedarkan oleh Warner Music Malaysia itu.
Bukan itu sahaja, sekitar Ogos depan, Andy dan Flop Poppy akan ke Sydney, Australia untuk satu persembahan di sana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: