|
|
GENRE lagu-lagu ghazal, langgam dan pop yeh-yeh bukan sesuatu yang asing buat primadona ini.
Kesemua irama lagu berkenaan bagaikan 'makanan rugi' buat seniwati Datin Orchid Abdullah.
Lalu, andai dipelawa mendendangkan lagu-lagu sedemikian, amat sukar untuk Orchid mengatakan tidak.
Selain kemahirannya menguasai lagu-lagu warisan serta kelunakan vokalnya, apa yang menyebabkan Orchid terus masyhur di kalangan pencinta seni tanah air ialah wajah Pan Asia yang dianugerah Tuhan buatnya.
Bahkan, suatu hal lagi yang sukar mengikis ingatan orang ramai pada penyanyi veteran ini ialah, keunikan namanya, Orchid yang menyamai nama bunga Orkid.
Menyelak kembali lembaran sejarah silam Orchid dalam gelanggang seni tanah air ialah, penyanyi yang kini berusia 62 tahun itu mula menempa kegemilangan menerusi lagu-lagu seperti Seruan Kasih, Penawar Rindu, Carilah Ganti dan Idaman Dara.
Ketika itu, Orchid bernaung di bawah bumbung syarikat rakaman EMI Singapura di era kegemilangan lagu-lagu pop yeh yeh.
Biarpun profil rekodnya menyenaraikan tujuh buah album pernah dirakamkannya selain Seruan Kasih menjadi lagu pertama rakamannya, namun hakikat yang sukar dinafikan ialah lagu Penawar Rindu meletakkan kedudukan Orchid pada kelas tersendiri.
Orchid sebelum bergelar artis ternama merupakan seorang pendidik dan pernah bertugas sebagai guru sementara di Sekolah Sri Mersing.
Bakat dan minat tersebut bagaimanapun tidak pernah menghalang beliau aktif dalam kerja-kerja kesenian khususunya ketika melanjutkan pelajaran di salah sebuah Maktab Perguruan di Johor.
Sebagai seorang gadis remaja yang pernah menempa kejayaan pada salah sebuah pertandingan nyanyian, Orchid tidak menafikan gejolak jiwa ketika itu sukar dikikis untuk mengasah bakat ke peringkat yang lebih besar.
"Ketika menjadi guru sementara, saya pernah memenangi tempat pertama dalam satu pertandingan menyanyi di Johor pada tahun 1966.
"Esoknya apabila muka keluar di akhbar, gembiranya bukan kepalang kerana bakat saya dalam bidang ini sudah terbukti," Orchid bercerita penuh rancak momen-momen manis yang masih melekat di fikirannya.
Bagaimanapun, sebaik diterima mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Harian di Johor pada tahun yang sama, mula terbit kesedaran bahawa beliau tidak mampu untuk aktif dalam bidang seni.
"Maklumlah sebagai pelatih saya tidak boleh terlalu terdedah dalam bidang ini. Jadi ketika itu tumpuan dan perhatian saya hanyalah pada pengajian di maktab tersebut.
"Cuma bila tiba waktu cuti, saya cuba memenuhi undangan menyanyi kerana ia merupakan hobi saya," kata Orchid menyambung cerita.
Minat dan cinta Orchid pada bidang seni suara tidak terhenti setakat itu.
Sebaliknya, apabila menjadi guru sepenuh masa Orchid masih meneruskan minatnya itu.
Pada masa yang sama, Orchid sama sekali tidak mengabaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya untuk mendidik anak-anak bangsa.
"Semasa menjadi guru, saya juga aktif menyanyi dan setiap kali cerita mengenai saya keluar di akhbar, anak-anak murid tumpang berbangga dengan saya.
Pilhan istana
"Secara tidak langsung ia mendekatkan anak-anak murid dengan saya," kata Orchid pada satu pertemuan yang indah di kediamannya di Ukay Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Orchid juga, penglibatannya dalam bidang nyanyian bukan sahaja dikagumi oleh anak-anak muridnya malah murid-murid sekolah bisu yang menjadi jiran sekolah tempatnya mengajar turut mengaguminya.
"Saya tidak pernah terfikir yang mereka juga meminati saya. Tapi bila saya muncul dalam rancangan terbitan stesen televisyen Singapura (RTS) dan RTM, dengan menggunakan bahasa isyarat mereka melahirkan rasa bangga dan kagum dengan bakat saya.
"Sebab itu walaupun nama saya popular sebagai penyanyi tapi saya enggan meninggalkan kerjaya saya sebagai guru.
"Saya cuma meninggalkan kerjaya itu apabila bersara kerana bagi saya antara guru dan menyanyi, kedua-duanya bidang yang amat saya sayangi," sambung bekas penyanyi utama kumpulan Les Coaster mengenai profesion perguruan yang menjadi kebanggaannya selama 20 tahun.
Mengimbas kenangan silam sebagai anak seni, Orchid berkata, ketika itu menceburi bidang seni tidak semudah yang disangka.
Menjadi anak seni ketika itu berdasarkan pengalaman beliau amat sukar kerana bakat merupakan keutamaan.
Paras rupas pula jelas Orchid, hanya sekadar bonus untuk mengiringi perjalanan seni seseorang itu.
"Dunia seni hari ini amat berbeza, dengan rancangan realiti yang banyak, kemunculan artis-artis baru bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan.
"Sebab itu kita tengok mereka yang jadi johan belum tentu boleh kekal lama atau diminati. Sebaliknya, mereka yang gagal, dapat mencipta nama dan mempertahankan populariti kerana bakat yang ada," komen Orchid mengenai trend semasa proses kelahiran bakat-bakat baru hari ini.
Selain memenuhi undangan menyanyi di RTS dan RTM, Orchid juga pernah melibatkan diri dalam dunia filem.
Seingat beliau, filem Ago Go Go '67 merupakan filem sulung lakonannya.
" Tapi penglibatan saya dalam filem itu bukan sebagai pelakon sebaliknya, sebagai penyanyi kelab malam yang mendendangkan lagu Ikatan Janji," kata Orchid yang juga pernah memegang karakter ibu kepada aktres Ziana Zain dalam filem Merah selain dalam drama Fitrah Kasih.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni juga, Orchid bukan sahaja sering menjadi pilihan RTM sebagai penyanyi undangan, bahkan beliau juga merupakan antara seniwati yang sering menjadi pilihan istana.
Menempa kemasyhuran di era industri muzik yang tidak sehebat masa kini, Orchid bagaimanapun tidak pernah kesal dengan ketentuan itu.
Jika mahu diukur pencapaian Orchid, tujuh buah album yang pernah dirakamkan sudah tentu dianggap sesetengah kita beliau mampu menikmati kemewahan yang bukan sedikit.
Hakikatnya, Orchid seorang yang sangat realistik mengakui, kehidupan beliau sebagai anak seni ketika itu tidak mendapat kemewahan yang total.
"Masa dulu-dulu sebaik habis rakaman kita diberi sejumlah wang sebagai hadiah. Macam album pertama Seruan Kasih dan yang terakhir Penawar Rindu saya cuma diberi ratusan ringgit sahaja.
"Walaupun saya mendapat tahu album itu berjaya dijual beribu unit tapi sudah begitu prosedurnya. Cuma keuntungan yang saya dapat sampai hari ini ialah lagu-lagu nyanyian saya masih diingati," luah Orchid mengenai perbezaan pengurusan industri hiburan lampau dan masa kini.
Kini, hubungan Orchid dengan industri hiburan semakin jauh.
Keutamaan yang diberikan oleh seniwati berdarah Arab dan Inggeris ini ialah kepada keluarganya.
Orchid sebetulnya sedang melalui kehidupan yang sungguh membahagikan di samping suaminya, Datuk Mokhtar Omar, 68, selain empat orang anaknya, Norshakina, 40, Mohd. Nor Shareen, 37, Mohd. Nor Shafri, 32 dan Nor Syafinaz, 29.
Keluarga beliau juga diserikan dengan kehadiran menantu serta empat orang cucu.
"Saya tidak pernah menyepikan diri dari bidang seni, cuma saya yang dipinggirkan oleh pihak stesen TV dan radio.
"Kadang-kadang saya rasa amat terkilan kerana bakat seni kami ini seolah-olah tidak dihargai.
"Dulu saya rasa seronok dan terhibur apabila membuka siaran FM Klasik kerana melalui saluran itu bukan sahaja saya dapat mendengar lagu-lagu lama saya, malah rakan-rakan yang lain juga.
"Sayangnya apabila Menteri Penerangan bertukar ganti siaran lagu-lagu klasik sudah tidak begitu meluas. Kalau dulu setiap hari kita boleh mendengarnya tapi sekarang hanya 15 minit sahaja dan dikongsi pula dengan lagu-lagu dari Indonesia," kata Orchid dalam nada berbaur kesal dan kecewa.
Sesekali, ada juga undangan nyanyian yang diterima Orchid.
Di akhir perbualan dengan Hits, Orchid melontarkan idea buat stesen televisyen khususnya RTM menerusi luahan rasa yang sudah lama terpendam di lubuk hatinya.
"Saya sangat berharap RTM akan membuat pertimbangan untuk menerbitkan semula rancangan Dendang Rakyat yang mana memberi peluang kepada penyanyi lagu-lagu ghazal, asli dan dondang sayang untuk muncul di kaca TV," ujar Orchid meluah rasa sebelum menoktahkan perbualan kami pagi itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: