Thursday, June 4, 2009

'Jari jemari' pemusnah industri seni




SISTEM khidmat pesanan ringkas (SMS) mempunyai 'kuasa' yang sangat besar dalam menentukan masa depan dunia hiburan tanah air.

Mana tidaknya, di sebalik SMS terdapat jari-jemari yang begitu megah mendapat mandat oleh pihak stesen televisyen (TV) dalam menentukan juara sesebuah program realiti terutama yang membabitkan bidang nyanyian.

Jika sepuluh tahun lalu kuasa SMS menentukan juara pertandingan nyanyian seperti Akademi Fantasia dan One In A Million, nampaknya strategi itu sudah berjangkit ke dunia lakonan pula.

Kemunculan rancangan seperti Pilih Kasih dan Anak Wayang baru-baru ini membuktikan bahawa strategi penggunaan SMS tidak akan berakhir sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat ini.

Jangka hayat rancangan memilih pemenang berdasarkan undian SMS ini terus 'menyelerakan' stesen TV kerana ia membawa keuntungan berlipat ganda kepada mereka dan juga syarikat telekomunikasi.




Dakwaan tersebut memang tepat kerana program realiti Akademi Fantasia (AF) misalnya, berjaya mengaut jutaan ringgit setiap tahun penganjurannya.

Malah, jumlah undian yang diterima juga besar bermula daripada AF1 sebanyak RM4.5 juta undian manakala AF2 berjaya mengaut keuntungan paling tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM7.5 juta daripada 15 juta SMS yang diterimanya.

Barangkali sedar diri semakin 'tertipu' dengan fantasi sementara yang diketengahkan stesen TV, kemeriahan undian untuk AF tidak bertahan lama kerana pola undian yang diraih Astro menerusi AF semakin menurun.

Penurunan itu boleh dilihat dengan begitu ketara apabila AF3 mengaut 10.7 juta undian, AF4 (7.4 juta), AF5 (6.6 juta) dan AF6 (3.8 juta).

Khabarnya untuk AF7 yang baru saja menemui juara pada 9 Mei lalu, terdapat sedikit peningkatan, bagaimanapun ia tidak begitu ketara.

Berdasarkan penurunan undian yang diraih menerusi program realiti paling popular itu, apakah ini bermakna program realiti bukan lagi trend yang diingini penonton?


PEMINAT dikatakan sudah semakin sedar bahawa mereka telah dipergunakan.


Ataupun, kepercayaan penonton terhadap sistem yang diguna pakai dalam memilih juara semakin diragui atau mereka tidak mahu terus 'ditipu' dan menjadi mangsa yang mana keuntungannya diraih pihak lain?

Menolak dakwaan tersebut, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul menjelaskan, keraguan terhadap proses undian AF bukan penyebab kepada turunnya kuasa mengundi penonton.

Malah keraguan itu sendiri katanya, tidak perlu wujud kerana Astro telah melantik badan audit bertauliah untuk memantau setiap undian yang masuk.

"Tidak perlu timbul sebarang isu tentang ketelusan peratusan setiap SMS yang masuk. Ini kerana semua keputusan telah diaudit sebelum diumumkan oleh pihak Astro. Kebanyakan penonton juga telah mengetahui sistem yang diguna pakai Astro sejak ia mula diterbitkan," ujarnya.

Berbeza pula dengan Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar yang mengakui dalam beberapa situasi, sistem penjurian SMS tidak membantu melahirkan penyanyi yang berkualiti.


VINCE, juara pertama yang dilahirkan oleh rancangan bercorak realiti TV dMalaysia


Bagaimanapun perkara itu tidak boleh dijadikan persoalan kerana semua keputusan adalah mengikut kehendak pengundi yang mengeluarkan wang sendiri untuk memilih peserta kegemaran mereka.

Stesen TV tidak boleh dengan sesuka hati mengubah 'emosi' pengundi kerana jika itu berlaku itu bukan sahaja menjejaskan reputasi program, bahkan merugikan stesen untuk jangka masa panjang di samping membuatkan pengundi marah.

"Sama juga seperti stesen lain, 8TV ada melantik syarikat yang dipercayai untuk mengira undi, tidak ada sebab untuk penonton meragui keputusan.

"Saya sendiri pun tidak tahu keputusan sebenar sehingga diumum oleh pengacara program. Pihak produksi tidak campur tangan bab undian. Sepanjang program berlangsung hanya dua hingga tiga orang sahaja yang boleh mengetahui keputusan sebenar sebelum diumum," beritahu Izham.

Dalam temu bual yang sama, Izham bagaimana pun menafikan program One In A Million terbitan 8TV mengaut keuntungan besar sama seperti rancangan AF terbitan Astro.


OIAM antara rancangan realiti yang menguntungkan stesen 8TV tetapi dalam skala sederhana.


Menurut beliau, penjurian SMS di dalam OIAM bukan untuk mencari keuntungan semata-mata tetapi untuk melihat sejauh mana sambutan penonton terhadap program realiti tersebut.

"Siapa kata kami untung juta-juta daripada undian SMS? Kebanyakan keuntungan telah pergi ke syarikat telekomunikasi, bukan stesen TV. Untung tu adalah, tetapi tidak banyak," katanya lagi.

Tidak Tahan Lama

Jika diteliti, kebanyakan juara yang dipilih oleh jari-jemari ini tidak bertahan lama meskipun meraih populariti yang menggunung semasa program realiti tersebut berlangsung.

Mereka juga tidak berjaya mengubah atmosfera dunia seni tempatan yang dilihat semakin mengecut semenjak lebih lima tahun lalu.

Lihat saja beberapa pemenang realiti seperti Suki (OIAM), Vince (AF 1), Faizal (AF4), Nita (Malaysian Idol) dan Daniel Lee (Malaysian Idol), apa sudah jadi?

Jelas kelihatan mereka masih tercari-cari arah yang sesuai untuk meletakkan diri di persada seni tempatan, malah ada yang terus 'lesap' tanpa sebarang khabar berita dengan hadiah kemenangan mereka.

Juga tidak keterlaluan jika dikatakan penyanyi bergelar Raja SMS, Mawi juga semakin hilang auranya apabila album terbarunya Allah Habeebi kurang sambutan setelah setengah tahun di pasaran.

Begitu juga dengan ramai lagi penyanyi kelahiran program realiti yang semakin merudum populariti mereka sejurus program berakhir.

Kalau begitu, mengapa masih berlambak program realiti yang secara tidak langsung merobek poket penonton setia melalui SMS, sedangkan penyanyi yang dipilih tidak bertahan lama dalam industri seni?

Persoalannya juga, kenapa dan mengapa rakyat Malaysia masih lagi menggilai penyanyi yang bukan dilahirkan oleh undian SMS seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah dan Amy Search setelah berdekad pengabdian mereka kepada dunia seni?

Menyokong kenyataan tersebut, Izham berkata, memang terdapat perbezaan antara bintang realiti dan bintang yang terbit dengan sendirinya.

"Bintang realiti merupakan bintang ciptaan televisyen. Bintang ini hanya gah dalam program yang mereka sertai, menang kerana mendapat undi tertinggi. Selepas itu, kalau tidak kena gayanya mereka akan gagal di pertengahan jalan.

"Namun, tidak semua begitu. Contohnya Jacyln Victor dan Faizal Tahir, mereka berubah daripada seorang penyanyi realiti kepada seorang penghibur. Mereka tidak mahu terus dikenali sebagai penyanyi rancangan realiti tetapi mencipta imej berbeza selepas keluar daripada pertandingan yang mereka sertai.

"Itu bezanya. Bila orang nampak perubahan itu minat orang pada mereka tidak akan berubah dan mereka diterima sebagai penyanyi yang sebenar-benarnya mampu bergelar bintang," katanya.


MAWI masih dianggap sebagai Raja SMS, gara-gara mendapat undian tertinggi dalam AF3, berbeza dengan Faizal Tahir yang berjaya merobah identiti seninya dengan cara tidak terlalu bergantung kepada status peserta OIAM.


Menurut Izham, meskipun peminat mengundi mengikut emosi, bukan semua juara program realiti tidak berkualiti. Semuanya bergantung pada nasib dan strategi pihak stesen untuk terus mengekal populariti juara program terbitan mereka.

"Setiap juara program nyanyian harus mempunyai album yang berkualiti, ini bermakna apabila juri SMS sedar bahawa pilihan mereka tepat, mereka akan terus menyokong penyanyi tersebut," katanya yang berpengalaman sembilan tahun mengetuai label sebuah syarikat rakaman tempatan, Positive Tone.

Kepada Izham juga, aliran juri SMS masih lagi relevan untuk terus dipraktikkan.

Ini kerana ia bukan sahaja sebagai penanda aras bagi menilai sejauh mana sambutan terhadap sesuatu program, sebaliknya boleh menjadi mekanisme menambah pendapatan sesebuah stesen TV.

"SMS masih relevan. Tidak perlu tukar kepada konsep lama kerana SMS antara cara terbaik bagi mengekalkan penonton setia. Malahan, apabila penonton terlibat dalam sesebuah program, mereka akan rasa ia satu tanggungjawab untuk mengikuti dan mengundi bagi memilih juara pilihan hati. Kita kena akui kebanyakan penonton mengundi mengikut emosi, bukannya kualiti. Bagaimanapun undian SMS tetap membawa banyak kelebihan lain" katanya.

Nampaknya benarlah andaian mengatakan SMS adalah faktor yang mampu membunuh industri seni tempatan, kerana Izham sendiri mengakui jurinya memilih pendekatan emosi kala mengundi.

Ini bermakna mereka yang mempunyai kualiti diketepikan dan masa depan industri hiburan akan terus malap, tidak bermaya jika aliran ini terus menguasai.

Apa yang boleh dikatakan, dalam kekecohan kemunculan artis 'mi segera', penyanyi program realiti kurang kualiti ataupun SMS diragui, hakikatnya, penonton masih suka dan setia menanti program realiti ini.

Mereka tidak pernah peduli kepada realiti sebenarnya, bahawa menjadi juri tanpa tauliah melalui jari jemari, hanya menghidangkan keseronokan yang sementara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: